Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Thursday 19 July 2012



SALAM RAMADAN




Selamat berpuasa buat semua. Ampun maaf dipinta andai sepanjang kita bersama ada salah dan silap serta keterlanjuran kata. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna dan bererti buat kita semua. Buat yang berada diperantauan.... jangan sedih dan jangan berduka. Semoga anda semua tabah dalam mencari rezeki dan ilmu di bumi ALLAH SWT ini.

Sayang anda semua...






Friday 13 July 2012

Si Pencuri Hati! Bab 14


DI TERATAK RAUDHAH, Tengku Faridah tidak duduk diam. Hatinya tidak tenang selagi tidak melihat wajah anak bongsunya. Sudah berhari-hari Darwisy tidak pulang ke rumah. Tidak pernah anak lelakinya berkelakuan sebegini. Jika hendak ke mana-mana anaknya itu pasti akan memberitahunya. Bingung dia memikirkan perubahan anaknya yang secara mendadak itu. Nak kata outstation, baru sahaja balik. Nak kata kena culik, takde pula orang telefon minta duit tebusan. Manalah anak bertuah ni pergi? Selisihkanlah Ya ALLAH anak aku itu daripada malapetaka dan musibah yang tidak diingini, doa Tengku Faridah.

“Danish takde ke adik kamu bagi tahu ke mana dia pergi? Manalah tahu masa tu bonda tiada di rumah,” tanya Tengku Faridah sambil memandang tepat mata anak lelaki sulungnya itu.

Danish memandang Tengku Dzulkarnain memohon bantuan.

“Bonda tanya kamu. Yang kamu tengok muka ayah kamu tu kenapa? Marah Tengku Faridah.

“Manalah Danish tahu bonda. Seminggu ni kan Danish sibuk kat pelabuhan dengan manager Danish. Manalah Danish ada masa nak jumpa Darwisy. Lagipun dia dah besar panjang, bukannya budak kecik nak kena jaga dua puluh empat jam,” dalih Danish. Dia sebenarnya tahu ke mana adiknya itu menghilang. Begitu juga dengan ayahnya.

“Hah... abang! Tahu tak ke mana anak bongsu awak tu ghaib?”

Terbatuk-batuk Tengku Dzulkarnain bila dia pula disoal siasat.

“Entah-entah kena sorok dengan puteri bunian, tak?” Tambah Tengku Faridah.

Pecah tawa di ruang tamu rumah agam itu.

Honey ni! Kalau ya pun nak buat kenyataan, janganlah babitkan puteri bunian. Marah mereka nanti. Lagipun takde maknanya mereka hendak buat menantu dengan perangai anak awak yang nakal macam hantu tu,” terang Tengku Dzulkarnain dengan ketawa yang masih bersisa.

Amboi, laki aku ni! Kita punyalah risau, dia boleh ketawa kelucuan, bebel Tengku Faridah dalam hatinya.

Tengku Dzulkarnain memandang wajah risau isterinya.

“Adalah tu urusannya! Tak payahlah awak nak kongkong dia. Dia dah besar panjang dan dah layak untuk pikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa.” Tengku Dzulkarnain berkias.

“Lain macam aje bunyi ayat abang! Anak kita dah kahwin lari dekat Siam ke? Manalah tahu awak bersekongkol dengan dia sebab tak setuju dengan calon menantu pilihan saya,” serkap Tengku Faridah.

Tengku Dzulkarnain tersedak. Pandai sungguh isterinya ‘menembak’. Dia menarik nafas sebelum bersuara. Dalam pada itu dia mencari ayat sesuai agar rahsia yang tersimpan kemas tidak bocor sebelum waktunya.

“Awak ni honey! Tak baik tahu tuduh abang macam tu. Kalau dia nak kahwin atau dah kahwin, kita bukannya boleh halang. Dia tu anak lelaki, tak perlukan saya sebagai wali.” Tengku Dzulkarnain memujuk isterinya. Dia memeluk erat bahu isteri kesayangannya itu. Walaupun mereka kahwin atas pilihan keluarga namun dia bersyukur kerana Tengku Faridah memenuhi ciri-ciri wanita idamannya. Isterinya itu bukan sahaja cantik tapi pandai memasak dan bijak menguruskan rumah tangga.

“Tapi kenapa dia tak beritahu saya ke mana dia pergi?” Tengku Faridah masih belum berpuas hati.

“Mungkin ada kerja yang perlu dibereskan dan tidak mahu sebarang gangguan. Honey tak telefon hotel tempat dia biasa menginap? Darwisy kan selalu ke situ jika ingin bersendirian.”

“Dah...! Mereka kata tak ada.”

Danish memandang wajah ayahnya dengan senyuman yang mereka sahaja yang tahu rahsianya.

Nadira memandang pelik wajah suaminya.

“Abang ada rahsiakan sesuatu daripada pengetahuan bonda ke? Ira lihat pelik semacam aje senyuman abang tadi,” bisik Nadira.

Danish menoleh ke arah isterinya.

“Tak adalah! Sahaja je senyum dekat ayah,” dalih Danish. "Kenapa? Tak boleh ke?” Danish bertanya.

“Bukan tak boleh. Tapi senyuman abang tu, lain macam sangat. Bagai menyembunyikan sesuatu.”

Hisy... mana ada! Abang sebenarnya kagum dengan ayah dan bonda. Walaupun dah hampir tiga puluh tahu mereka berkahwin tetapi mereka tetap bahagia dan romantik, macam orang baru berkahwin sahaja lagak mereka,” ujar Danish. Dia tidak mahu rahsia mereka tiga beranak terbongkar. Mahu mengamuk Darwisy jika rahsianya pecah. Dan bondanya pula tentu marah kerana Darwisy telah membelakangkan dirinya.

“Abang nak pergi tandas sekejap,” bisik Danish ke telinga Nadira.

“Hah... nak lari ke mana tu? Macam takut kena soal dengan bonda aje,” tegur Tengku Faridah.

“Nak pergi tandaslah bonda. Dah tak tahan ni,” dalih Danish sambil mengerutkan mukanya. Dia berlari pantas menuju ke kamar tidurnya. Segera dia mengunci bilik tidur tersebut. Nombor Darwisy segera ditekan.

“Assalamualaikum... bro! Wah... dah jumpa bini, terus lupa nak telefon bonda!” Perli Danish.

Darwisy di hujung talian sudah ketawa lepas.

“Waalaikumussalam. Bukan tak nak telefon. Bimbang bonda soal siasat. Mampuslah Darwisy jika terperangkap.”

“Tapi Darwisy kena juga telefon bonda sekarang. Tak larat abang dengan ayah nak tepis soalan maut bonda yang datang bertalu-talu. Lagi pun kesian bonda. Buatnya jatuh sakit, lagi teruk. Kamu kan anak manja dia. Tapi tak boleh lawan abanglah. Abang anak kesayangan bonda.” Tergelak Danish dengan kata-katanya.

“Abang ingat bonda sayang abang sorang ke?” Rajuk Darwisy. Dia sengaja nak buat abangnya merasa bersalah. Dia sedikit pun tidak berasa kecil hati dengan kata-kata abangnya. Dia tahu abangnya itu sekadar bergurau. Bondanya tidak pernah membezakan kasih sayangnya.

“Eleh... gurau sikit pun merajuk! Mengalahkan orang perempuan,” sindir Danish.

“Mana ada merajuk! Cuma nak bermanja dengan abang aje,” ujar Darwisy sambil ketawa. “Insya-ALLAH... petang esok Darwisy balik. Sebelah pagi Darwisy nak bawa Damia cari barang dapur dulu. Kesian nanti anak-anak dan isteri Darwisy kelaparan.”

“Tak kisahlah nak balik bila. Tapi jangan lupa telefon bonda. Sekejap pun jadilah. Kesian abang tengok dengan bonda tu,” pinta Danish.

“Yalah... yalah! Jap lagi Darwisy call bonda.”

“Macam itulah adik abang.” Usai memberi salam, Danish turun kembali ke ruang tamu.

Terdengar bunyi telefon rumah, Danish melarik senyuman sambil menuruni anak tangga. Tersengih dia melihat kekalutan bondanya mengangkat ganggang telefon. Tengku Dzulkarnain memandang wajahnya bersama senyuman dan kenyitan. Mujurlah Nadira tidak perasan akan perbuatan dia dan ayahnya. Isterinya itu sibuk memberi tumpuan terhadap perbualan bondanya.

“Jom Ira kita ke dapur. Abang dahagalah.”

Nadira memandang pelik wajah suaminya. Tak akan lepas 'membuang' terus dahaga, getusnya. Namun dia mengikut juga langkahan suaminya.



DAMIA menghampiri Darwisy yang sedang berbual di telefon. Melihat Damia menghampirinya, Darwisy tersenyum. Sebelah tangannya merangkul erat pinggang isterinya.

“Ya... esok Darwisy janji Darwisy akan balik. Dahlah jangan merajuk, nanti tak larat Darwisy nak pujuk. Esok jangan ke mana-mana pulak. Tunggu hingga Darwisy balik,” ujar Darwisy sambil ketawa.

I miss you two, three, four,” luah Darwisy. “Assalamualaikum.”

“Bonda,” jelas Darwisy sepatah sambil mengucup dahi isterinya.

Naik meluat pulak Damia mendengar aksi pujuk-memujuk itu. Boleh percaya ke... kata-kata dia? Tak akanlah pujuk bonda dia macam tu sekali! Siap miss you lagi...!!! Kalau dia letak nama bonda untuk isteri kedua dia, aku bukannya tahu. Orang kahwin banyak ni, memang arif bab-bab reka cerita dan temberang. Jika bukan kaki auta, macam mana mereka boleh menjerat wanita lain! Gerutu Damia 

Emmm...” jawab Damia.

Aiks... bunyi macam berjauh hati dan marah aje!”

Hisy... buang karen ajelah nak marah-marahkan awak! Lagipun buat rugi lemak dalam badan saya ni je terbakar berkilo-kilo sekiranya makan hati atau marahkan awak,” sindir Damia.

Ketawa Darwisy mendengar sindiran Damia. Walaupun dia tahu Damia tengah meradang, namun terselit juga lelucon dalam ayat-ayatnya. Ada ke orang marah-marah boleh bakar lemak dalam badan? Kalau begitu untunglah. Tak payah susah-susah nak beli ubat kurus atau berdiet. Marah atau makan hati sahaja, terus terbakar lemak dalam badan.

“Untung juga sayang marah. Tak habis duit abang. Hari ni sahaja sayang dah buat silap sebanyak lima kali. Disebabkan peristiwa itu berlaku di rumah, ini bermakna wang saku sayang, abang tolak lima ratus ringgit,” ujar Darwisy sambil tersengih.

Damia menjeling geram. Menyampah pula dia dengan perangai Darwisy yang suka mengugut.

Darwisy menghampiri Damia. Lantas tubuh itu dicempungnya.

Terjerit-jerit Damia bila Darwisy mengacah hendak mencampaknya ke dalam kolam renang. Segera dia menutup mulutnya, bimbang mengganggu lena anak-anaknya. Leher Darwisy dipeluk erat.

Darwisy merenung wajah isterinya yang bercahaya bagaikan bulan purnama.

“Abang terlalu cintakan sayang. Hanya maut yang akan memisahkan kita berdua.” Lalu dia mengucup lembut pipi Damia.

Damia tertunduk malu bila bola matanya gagal membalas renungan Darwisy. Tidak termampu dia menentang biasan cahaya cinta yang terpancar di mata suaminya itu. Dia terkesima dan keliru. Apakah cinta Darwisy hanya miliknya seorang atau sudah terbahagi dua? Masihkah ada lagi ruang kosong di hati Darwisy untuk insan lain selain dirinya? Adakah cinta Darwisy juga menjadi milik perempuan bernama Nurul itu?

“Abang sayang dan cintakan Nurul?” Damia memberanikan diri bertanya.

Nurul? Nurul mana yang Damia maksudkan? Adakah? Darwisy memandang pelik wajah Damia. Dia cemburukan kakak ipar aku ke? Bila masa mereka berjumpa? Tak akanlah aku nak sayang dan cintakan kakak ipar aku tu. Gila!

Emmm... abang sayang kan dia, tapi abang tak cintakan dia! Sayang abang pada dia juga tidak sekuat sayang abang pada sayang. Kalau sayang seratus peratus, dia mungkin kosong perpuluhan kosong satu peratus sahaja,” luah Darwisy sambil merenung anak mata Damia dengan harapan luahannya itu akan meresap jauh hingga ke dasar hati isterinya.

Benarkah apa yang Darwisy katakan? Atau sekadar ingin menyedapkan hatinya sahaja? Mungkin di hadapannya lain dan di belakangnya lain pula cerita Darwisy. 

“Bila masa sayang kenal dia?” Tanya Darwisy gusar. Dia bimbang jika Damia menceritakan siapa dia kepada Nadira sebelum waktunya. Aku kena beritahu Danish tentang perkara ini dengan segera, bisik hatinya.

Damia merenung Darwisy. Dia lihat ada keresahan di wajah lelaki itu bila mendapat tahu yang dirinya sudah tahu tentang perempuan bernama Nurul itu. Sampai bila lelaki ini hendak berselindung tentang statusnya sebagai isteri pertama? Tidak mahu terlalu memikirkan tentang perkara itu dan bimbang berakhir dengan sengketa, Damia mengajak Darwisy menuju ke kamar beradu mereka. Soalan Darwisy juga dibiarkan sepi tidak berjawab.

“Abang jom kita masuk. Sayang mengantuklah,” ujar Damia dengan senyuman nipis. Nampak sangat dia terpaksa. Isteri mana yang mampu bertahan jika berkongsi  kasih-sayang-cinta dengan wanita lain!

Tanpa membantah Darwisy menuruti sahaja kemahuan isterinya. Dia juga enggan memanjangkan cerita tentang perempuan yang bernama Nurul itu.



SEAWAL PAGI telefon bimbit Damia menjerit-jerit minta diangkat. Damia masih lagi tidur dengan pulasnya. Darwisy bangun menjawab panggilan tersebut.

“Helo...!” Darwisy bersuara sambil menguap. Dia masih lagi mengantuk.

“Boleh saya bercakap dengan Damia?” Tanya suara di sebelah sana.

“Sekejap ya.”

Darwisy menolak lembut bahu isterinya.

“Sayang bangun, ada panggilan telefon.”

“Siapa bang?” Damia bersuara malas.

“Entah!” Jawab Darwisy sambil menjongket bahunya. Setelah menyerahkan telefon bimbit kepada Damia, dia melihat jam yang tergantung di dinding. Dah pukul enam pagi rupanya. Lantas dia bangun membersihkan diri untuk bersolat Subuh.

“Helo... siapa ni?” Tanya Damia. Dia masih lagi belum hilang mengantuk.

“Hoi... mak cik! Pukul berapa kau nak bangun? Mentang-mentanglah ada bantal peluk kacak, susah sungguh kau nak bangun, ya?” Perli Jeslina.

Bulat mata Damia mendengar suara Jeslina di hujung talian.

“Adoi... kau ke ni Jes? Apa hal kau call aku pagi-pagi buta ni? Kacau aku nak tidur ajelah kau ni!”

“Pagi-pagi buta wak lu!” Sindir Jeslina. “Cuba kau bukak bijik mata kau bagi besar dan tengok jam. Sekarang dah pukul enam pagilah! Dah... pergi mandi, pastu sembahyang,” arah Jeslina laksana warden asrama. “Opps... sebelum aku terlupa mak pesan suruh datang sini. Dia nak jumpa dengan cucu-cucu dia. Rindu katanya. Dia juga dah buat nasi kerabu untuk kau. Jangan kau tak datang pula,” ujar Jeslina senafas. Terus dia memutuskan talian sebelum Damia memberi kata putus.

Tersengih Damia mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Memang dia berhajat ingin ke rumah emak angkatnya itu, tapi bukan hari ini. Memandang emak angkatnya sudah berpesan, terpaksalah juga dia ke sana. Teringat dia bagaimana terperanjatnya Jeslina dan ahli keluarganya bila melihat dia dan si kembar.

“Sampai hati kau kahwin tak bagi tahu aku,” rajuk Jeslina.

“Aku bukannya tak nak bagi tahu kau. Tapi peristiwa itu berlaku secara tiba-tiba. Dan aku sendiri pun tak pernah terfikir akan perkara itu. Maafkan aku Jes,” ucap Damia sambil menitiskan air mata.

Puas dia memujuk teman baiknya itu. Mujurlah Jeslina mengerti dan dapat menerima penjelasannya. Damia menceritakan bagaimana dia boleh berkahwin dan kenapa dia merajuk hingga tidak mahu pulang ke Malaysia.

Bergegas Damia menuju ke bilik mandi setelah Darwisy selesai menggunakannya. Usai solat jemaah, Damia dan Darwisy menuju ke kamar anak-anaknya. Mereka masih lagi enak dibuai mimpi.

“Abang... lepas anak-anak bangun, kita pergi rumah Jeslina boleh? Mak angkat sayang nak jumpa Reez dan Isyalah.”

“Boleh! Kat mana rumah mereka?” Tanya Darwisy sambil memeluk bahu isterinya.

“Dekat Selayang.”

“Insya-ALLAH,” ujar Darwisy sambil tersenyum. Lantas pipi isterinya dikucup.



CUACA cerah hari ini bagaikan merestui perjalanan mereka menuju ke Selayang. Riuh suara anak-anaknya di tempat duduk belakang. Nomi tinggal di rumah memandangkan gadis itu enggan mengikutnya.

Darwisy menghentikan keretanya di bahu jalan untuk menjawab panggilan telefon.

“Assalamualaikum bonda.”

“Waalaikumussalam. Pukul berapa nak balik?”

“Tak tahu lagi pukul berapa. Darwisy nak pergi Selayang kejap.”

“Bonda nak kamu balik sekarang!”

“Tak bolehlah bonda, Darwisy dah janji dengan orang.” Darwisy mengeluh.

“Bonda tak kira, kamu mesti balik sekarang! Jangan nak berdalih lagi. Siapa yang lebih penting? Bonda atau orang tu?” Tengku Faridah sudah mengeluarkan nada tegasnya.

“Yalah... yalah...! Sekejap lagi Darwisy balik.” Darwisy memberi persetujuan.

Darwisy memandang isterinya. Tangannya mencapai jemari Damia dan diusap kasih. Dia tahu Damia mesti sudah mendengar perbualannya dengan bonda.

“Sayang... kalau abang hantar sayang sahaja ke rumah Jeslina tak mengapakan? Abang tak boleh nak singgahlah, bonda suruh balik segera. Petang nanti abang ambil  sayang.” Darwisy memandang Damia mohon pengertian.

“Takpe... abang tak payah risaukan sayang. Tahulah macam mana sayang nak balik nanti. Abang dapat hantar ni pun dah kira baik,” ujar Damia. Dia mengukir senyuman hambar menutup kekecewaan di hati. Mesti madunya yang suruh telefon, fikir Damia.

“Terima kasih sayang kerana memahami. Tapi abang akan pulang ke rumah kita malam ini.” Darwisy meneruskan semula pemanduan.

Setelah berbual seketika dengan Pak Cik Abdullah dan Mak Cik Juriah, Darwisy mohon beredar.

“Mari masuk Mia,” pelawa Mak Cik Juriah. Farisya sudah berada dalam dukungannya manakala Fareez bersama Pak Cik Abdullah.

“Mujurlah ada anak Mia, boleh juga merasa ada cucu. Nak harapkan Jes ni, entah bilalah agak?” Usik Pak Cik Abdullah sambil memandang anak sulungnya.

"Bukan tak nak kahwin abah, tapi jodoh belum tiba lagi,” usik Jeslina pula.

Mereka sudah ketawa.

Sorry... Mia! Aku nak keluar kejap lagi. Ada hal sikit kat tempat kerja. Kau tak kisah, kan? Aku pun baru aje dapat call tadi,” luah Jeslina dengan perasaan bersalah.

Hisy... kau ni! Janganlah risau tentang aku. Macamlah aku tidak biasa kat rumah kau ni,” jelas Damia. Dia tidak mahu sahabatnya itu serba salah meninggalkan dia di rumahnya sendirian.

Selepas menikmati sarapan pagi bersama, Jeslina bergegas ke tempat kerjanya. Ada dokumen yang memerlukan tindakannya segera. Itulah kekurangannya kerja makan gaji. Hujung minggu pun perlu ke tempat kerja sekiranya sudah mendapat arahan daripada bos.

Damia bermain dengan anak-anaknya. Mak Cik Juriah dan Pak Cik Abdullah juga tidak ketinggalan. Begitu juga dengan Mazlan dan Ridwan.

Telefon bimbit Damia berbunyi. Tersenyum dia melihat nama pemanggilnya.

“Assalamualaikum Req. Ada apa?” Sapa Damia.

“Jom... keluar! Aku nak jumpa anak-anak akulah. Rindu kat mereka.”

Emmm... boleh juga. Tapi kau kena ambil aku kat rumah Jes. Boleh?” Tanya Damia.

“Boleh! Sekejap lagi aku sampai.”

Selepas memutuskan talian, Damia menemui Mak Cik Juriah dan Pak Cik Abdullah.

“Mak... abah... tadi Req telefon, dia ajak Mia dan anak-anak keluar. Dia dah rindu sangat-sangat dengan budak-budak ni. Mungkin Mia akan terus balik ke rumah lepas tu,” ujar Damia dalam keadaan serba-salah. Dia dapat melihat wajah sayu Mak Cik Juriah dan Pak Cik Abdullah.

“Abah dengan mak janganlah buat muka sedih! Insya-ALLAH... minggu depan, Mia datang lagi.”

“Ingat... minggu depan datang lagi.” Mak Cik Juriah menagih janji daripada Damia. Melihat anggukan Damia, dia berasa lega. Tidak puas rasanya dia bermain dengan cucu-cucu angkatnya itu.







Friday 6 July 2012

Si Pencuri Hati! Bab 13



DAMIA sudah tidak mampu menghalang Darwisy lagi setelah lelaki itu berkeras ingin menolongnya. Dia ikutkan sahaja rentak suaminya itu. Cuma dia sedikit musykil, tidakkah isteri kedua Darwisy akan tercari-cari sekiranya lelaki itu tidak pulang ke rumah? Tidak takutkah Darwisy jika isteri keduanya mengamuk dan mengadu kepada bondanya? Mungkin lelaki ini bijak mencipta alasan, fikir Damia. Jika tidak masakan dia boleh beristeri lebih daripada satu.

Darwisy juga jarang pulang awal ke rumah isteri keduanya jika berada di hotel penginapannya. Kadang-kadang sampai bergaduh dia dengan Darwisy semata-mata ingin lelaki itu pulang ke rumahnya lebih awal. Adakalanya lelaki itu buat tidak tahu sahaja mendengar bebelannya malahan dengan selamba tidur di sebelahnya. Dia tidak mahu diserang oleh madunya walaupun dia mempunyai hak ke atas Darwisy.

“Sayang ada tak plastik hitam atau beg pakaian yang tidak berguna?” Soal Darwisy. Wajah isterinya yang sedang berkhayal ditatap. Entah apa yang dimenungkan pun dia tidak tahu.

Malam ini dia akan bermalam di hotel penginapan Damia. Dia ingin membantu isterinya berkemas. Esok dia akan membawa isterinya ke Taman Casuarina. Di situlah letaknya syurga mereka sekeluarga. Dia akan pastikan Damia dan anak-anaknya bahagia dan menerima dirinya sebagai ketua keluarga dalam erti kata yang sebenar. Dia akan berusaha menjadi suami dan bapa yang diredhai ALLAH. Dia mahukan kasih sayang daripada isteri dan anak-anaknya serta memberikan kasih sayangnya yang tulus ikhlas.

Lontaran suara Darwisy yang sedikit nyaring membubar ingatannya terhadap perihal madunya.

“Abang nak buat apa dengan plastik hitam?” Damia menyoal kembali. Hairan juga dia tiba-tiba sahaja Darwisy minta plastik.

“Abang nak bungkus baju Reez dan Isya ni. Mana yang tak elok kita buang.”

Damia segera mendapatkan Darwisy. Rasanya semua baju anak-anaknya masih elok lagi. Dia melihat Darwisy mengasingkan pakaian si kembar.

“Semua elok lagilah abang.” Protes Damia. Dia mengirai satu persatu pakaian yang Darwisy asingkan.

“Memang elok. Tapi dah sendat dengan anak kita. Tengok... kan dah tak muat ni.” Darwisy mengacu pakaian tersebut ke tubuh Fareez. “Esok abang bawa pergi beli pakaian baru untuk mereka.”

Damia rasakan pakaian tersebut masih muat lagi. Terasa sayang pula hendak dibuang begitu sahaja.

“Nomi... awak ada adik atau anak saudara?” Melihat anggukan Nomi, Damia bersuara lagi. “Awak pilih mana pakaian yang awak rasa elok dan berkenan. Mana yang awak tidak mahu, isi dalam beg plastik ni.” Damia mengunjukkan plastik hitam kepada Nomi.

“Kak Mia... kalau Nomi ambil semuanya tidak mengapakan?” Nomi bertanya dengan takut-takut. Baju-baju tersebut masih baharu. Terasa sayang pula hendak membuangnya.

“Ambil sahaja Nomi. Daripada dibuang, lebih baik guna. Lagipun masih cantik dan baru lagi.” Damia mengakui badan Fareez dan Farisya semakin berisi sekarang. Mungkin bahagia kerana daddy mereka sering memberi perhatian dan kasih sayang kepada mereka.

“Terima kasih kak.”

“Sama-sama Nomi. Emmm... Nomi nak bawa pulang sendiri atau mahu di pos? Jikalau mahu pos, Kak Mia boleh tolong. Nomi jangan bimbang, Kak Mia support semua kosnya.”

“Jika begitu, kita pos sahajalah Kak Mia. Terima kasih sekali lagi ya,” ujar Nomi  tersenyum  manis.

“Sama-sama.”

Setelah itu, Nomi berlalu masuk ke kamar tidurnya bersama pakaian yang telah Darwisy asingkan.

Bila tahu sahaja Nomi ingin mengambil pakaian tersebut, makin rancak Darwisy mengasingkan pakaian anak-anaknya. Sudahnya hanya tinggal beberapa helai sahaja lagi untuk kegunaan budak-budak itu. Memang melampau betul daddy Fareez dan Farisya ini. Darwisy hanya tersengih bila dia membuntangkan biji mata.

“Apa salahnya kita bagi baju anak-anak kita tu pada Nomi? Bukannya kita buang. Nanti bila ada baby, kita beli yang baru. Tak akanlah nak bagi baby pakai baju abang dan kakaknya,” bisik Darwisy sambil mencium pipi Damia.

“Abang ni memang suka mengambil kesempatan,” marah Damia manja.

“Along Reez dengan Angah Isya nak adik, tak?” Darwisy bertanya kepada si kembarnya.

Fareez dan Farisya mengangguk kepala mereka. Bagaikan faham apa yang dikatakan oleh daddy mereka.

Hendak terjojol biji mata Damia melihat perlakuan suami dan anak-anaknya. Hisy... budak-budak ni! Kecik-kecik lagi dah pandai bersekongkol dengan daddy mereka.

Darwisy tersengih nakal melihat mata bulat isterinya. Lantas dia menghampiri isterinya dan merangkul erat tubuh langsing itu. Tangan kanannya diletak atas perut Damia.

“Sebelum hujung tahun ini, abang akan pastikan ada benih abang membesar di sini,” ujar Darwisy sambil merenung mata Damia.

Muka Damia sudah membahang. Matanya dilarikan. Tidak sanggup rasanya membalas renungan Darwisy yang mengancam itu. Sudahlah senyuman Darwisy buat dia tidak lena tidur. Mahu dia termimpi-mimpi bila membalas renungan itu. Tangisan Farisya menyelamatkan dirinya.

Darwisy segera melepaskan rangkulannya dan berlalu mendapatkan puteri mereka.

“Kenapa dengan anak daddy ni? Abang kacau ya?” Darwisy memujuk anak perempuannya yang masih belum berhenti menangis.

Damia berasa bahagia dengan sikap ambil berat Darwisy. Sekiranya dia tidak berkeras menyuruh Darwisy pulang ke rumah madunya tentu lelaki itu sentiasa ada di sisinya sepanjang masa. Damia menghampiri Fareez.

“Abang buat adik ya?” Damia bertanya anak sulungnya. Tiba-tiba sahaja anak lelaki itu mencebik dan kemudiannya menangis. “Lah... umi bukannya marah! Umi tanya sahaja.” Jadi satu kerja pula dia hendak memujuk anak lelakinya itu. Akhirnya bergabung tangisan Fareez dan Farisya.

“Abang rasa mereka ni dah mengantuk. Itu yang meragam. Bawa ke sini Reez. Sayang pergi buat susu mereka.” Kini hero dan heroin berada dalam dukungan daddy mereka.

Setelah siap membancuh susu buat putera dan puterinya,  Damia  mengambil  Farisya dari dukungan Darwisy dan membawa ke kamar tidur. Setelah habis sebotol susu, kedua-duanya tertidur. Bijak sungguh daddy mereka. Tahu sahaja apa yang si kembar hajati.



JAM SEBELAS PAGI, Darwisy membawa isteri dan anak-anaknya membeli-belah. Dari satu gedung ke satu gedung pakaian kanak-kanak mereka jelajahi. Naik lenguh kaki Damia mengikut langkah Darwisy. Ada sahaja yang tidak berkenan di mata lelaki itu. Setelah berpuas hati barulah Darwisy mengajak mereka menikmati makan tengah hari.

“Sayang boleh tunggu abang dekat kerusi depan tu tak? Abang nak pergi gent kejap,” ujar Darwisy sambil menepuk perutnya.

Tahu sangatlah Damia apa yang cuba Darwisy sampaikan kepadanya. Damia menolak  twin stroller anaknya manakala Nomi menolak troli yang mengandungi barang-barang yang mereka beli sebentar tadi. Baru sahaja Damia hendak melabuhkan punggung, ada orang yang datang menyapanya.

“Hai! Masih ingat saya lagi?” Tegur seseorang.

Terkejut Damia melihat madunya di situ. Patutlah Darwisy meminta diri pergi ke tandas, rupanya dia ternampak isteri mudanya, gumam Damia geram. Damia angguk kepala dan senyuman manis tetap dihadiahkan buat madunya itu.

 “Banyaknya membeli-belah, macam nak raya pulak,” tegur perempuan itu ramah.

          “Takdelah banyak sangat,” ujar Damia. Sekadar tidak dikatakan sombong. “Seorang sahaja ke? Mana suami?”

Aah... saya seorang saja! Bosan duduk rumah dan takde apa yang hendak dibuat, itu yang saya jalan-jalan. Abang pula ada urusan penting. Ada customer kompelin, jadi dia terpaksa turun padang. Jika kena saman lagi teruk. Jenuh dia kena menjawab dengan ayah nanti.”

Pandai sungguh Darwisy menipu. Ada urusan penting konon! Getus Damia.

“Marilah join Mia. Boleh kita shopping sama-sama.” Sengaja Damia mempelawa madunya. Dia ingin lihat bagaimana menggelabahnya Darwisy nanti. Biar padan muka lelaki itu.

“Oh! Boleh ke? Menarik juga idea Mia tu,” ujar perempuan itu teruja. Dia juga bosan berjalan seorang diri. “Lupa pulak nak perkenalkan diri. Nama saya Nurul...” Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, telefon bimbitnya berbunyi.

“Sekejap ya Mia, saya nak jawab panggilan suami saya dulu.” Selesai bercakap dengan suaminya, dia memandang Damia.

“Maaflah Mia, saya tak dapat ikut awak. Abang suruh balik rumah. Kejap lagi dia nak balik. Lain kali kita shopping sama-sama.” Selepas bersalaman dengan Damia dan Nomi, dia beredar.

Damia hanya mampu memandang madunya yang bernama Nurul itu berlalu pergi. Bijak sungguh Darwisy berbohong. Nahas dia nanti! Bisik hati Damia. Tidak lama kemudian dia terlihat susuk tubuh Darwisy baru keluar dari tandas lelaki. Hebat sungguh berlakon, getus Damia.

“Nak shopping lagi atau nak balik?” Tanya Darwisy seraya memandang wajah isterinya.

“Abang... kita pusing-pusing dulu nak tak? Sayang nak beli barang lagilah,” Damia melontarkan alunan suara yang manja untuk menarik perhatian Darwisy. Damia ingin melengah-lengahkan Darwisy. Dia hendak melihat, mampu atau tidak Darwisy bertahan tanpa rasa resah gelisah mengingati janji-janjinya dengan isteri kedua. 

          “Hmmm... boleh juga! Abang ingat nak suruh sayang pilihkan baju kerja untuk abang dalam tiga empat helai.” Darwisy menyambut riang permintaan Damia. Memang dia ingin menghabiskan masa hujung minggu dengan anak-anak dan isterinya.

Setelah membeli beberapa helai pakaian untuk dia, Darwisy dan Nomi, Damia mengajak Darwisy pulang ke hotel. Badannya terasa letih dan lenguh. Waktu Zohor juga sudah menghampiri ke penghujungnya. Bimbang juga dia jika terlewat solat akibat sakan membeli-belah. Tak pasal-pasal dapat dosa kerana sengaja melengah-lengahkan solat.

Damia menjeling Darwisy yang tenang memandu. Hebat sungguh Darwisy bersandiwara. Tiada langsung tergambar riak khuatir, bimbang atau rasa bersalah di wajahnya. Darwisy dilihatnya begitu gembira dapat menghabiskan masa bersamanya dan anak-anak. Terasa takjub pula Damia melihat lakonan mantap Darwisy. Entah apa pula helah yang hendak dipersembahkan oleh lelaki itu kepada isteri keduanya nanti?



TAMAN CASUARINA menyambut ketibaan mereka dengan hembusan bayu yang mendamaikan. Di sini bermulalah kisah hidup mereka sekeluarga yang sebenar. Damia begitu teruja tatkala melepasi post pengawal. Di kiri kanan jalan tersergam rumah-rumah mewah dengan landskap yang mengagumkan. Sungguh menarik! Setiap rumah mempunyai reka bentuk yang berlainan dan unik. Menurut Darwisy, syarikat TDF telah menyediakan lebih dua puluh contoh model banglo untuk pilihan pembeli.

Terpegun Damia melihat rumah yang akan dia dan anak-anak diami. Benar-benar memukau pancainderanya. Hiasan taman yang indah, kolam renang, tempat istirahat dan taman permainan kanak-kanak berserta rumah kecil untuk anak-anaknya bermain pondok-pondok turut dibina.

Puas menikmati keindahan di luar banglo, dia masuk ke dalam pula. Sekali lagi Damia terpaku melihat suasana yang terdapat di dalamnya. Sungguh mewah dan mempesonakan sekali hiasan dalamannya. Selama ini dia merasakan rumah nenek dan mamanya sahaja yang cantik dan menarik. Tetapi rumah tempat dia menumpang teduh dan berlindung ini lebih hebat dan sukar hendak digambarkan dengan kata-kata. Memang superb!

Damia meneliti ke setiap ruang banglo dua tingkat itu. Banglo itu mempunyai tujuh kamar tidur dan satu bilik khas untuk Darwisy bekerja. Tiga bilik di tingkat bawah dan empat bilik di tingkat atas. Semuanya dihias cantik. Ruang rehat keluarga di tingkat atas dan bawah sudah dihiasi dengan perabot mahal dan mewah. Ruang tamu juga diberi sentuhan istimewa. Ruang makan dan dapur juga tidak kurang hebatnya. Semuanya nampak sempurna di mata Damia.  Tidak mungkin rumah seperti ini dibina untuk pekerja TDF, fikir  Damia.

“Abang... semua pekerja TDF tinggal di sini ke?” Tanya Damia setelah Darwisy menyertainya di dalam kamar tidur mereka. Sebentar tadi suaminya dan Nomi membawa anak-anaknya ke kamar tidur si kecil kerana semuanya sudah terlena. Dan Nomi sedang menjaga mereka ketika ini.

Darwisy menggaru kepalanya sambil tersengih.

“Rumah ni sebenarnya abang sediakan khas untuk sayang. Kira macam hadiah perkahwinan kita jugalah.”

“Jadi abang dan pekerja abang tipu sayanglah kononnya ada rumah yang disediakan untuk kakitangan TDF?” Damia merenung tajam mata Darwisy, pura-pura marah. Sengaja dia ingin mengusik suaminya itu. “Disebabkan abang dah tipu sayang, abang tak boleh tidur di sini,” tegas Damia.

Ala... bagilah abang tidur sini! Malam ini aje pun tak apa.” Darwisy buat muka kasihan. “Lagipun kesian sayang nak kemas baju, tak ada orang yang nak tolong.” Darwisy berusaha meraih simpati Damia.

“Tak payah susah-susah, sayang boleh buat sendiri. Bukannya banyak mana pun baju-baju tu.” Damia memberi alasan. Sudah beberapa hari Darwisy bersamanya. Bimbang juga dia jika madunya tiba-tiba datang menyerang dan mengamuk.

Darwisy mengetap bibirnya menahan geram. Kepalanya digaru. Idea yang pertama tadi tidak berkesan, dia mencari helah lain pula.

“Sayang tak kasihan ke, dekat anak-anak kita? Tentu mereka akan cari abang bila nak tidur malam nanti. Mereka kan dah terbiasa ada abang. Bagilah abang tidur sini barang semalam dua.” Darwisy memujuk rayu.

Damia menggeleng kepalanya. Dia tergelak dalam hati. Suka dia melihat muka Darwisy yang cemberut itu.

“Anak-anak... sayang boleh handle sendiri, abang usah risau,” balas Damia selamba.

Melihat gelengan dan alasan Damia, Darwisy semakin hangat. Pipi Damia ditarik geram. Dia tetap tidak akan ke mana-mana walaupun Damia berkeras dengannya. Mana mungkin dia meninggalkan isteri dan anak-anaknya tanpa dia tahu tahap keselamatan di rumah tersebut. Dia tidak mempercayai seratus peratus tahap sistem keselamatan yang terdapat di rumahnya.

“Abang... sakitlah!” Damia mengusap pipinya yang terasa perit.

Darwisy tidak mengendahkan kesakitan Damia. Hatinya lagi sakit dan perit dengan tindak-tanduk Damia.

“Abang tetap akan tidur sini. Muktamad!” Darwisy sudah tunjuk belangnya.

Dua-dua sama sahaja perangainya, degil dan tidak suka mengalah!

“Abang nak tidur sini ya?” Damia meleretkan nada suaranya. “Boleh! Tak jadi masalah. Tapi abang tidur kat bilik tetamu.”

Eeii... tak naklah abang tidur kat bilik bawah tu sorang-sorang! Dah hilang akal ke sayang? Bilik tu kan berhampiran dengan bilik Nomi. Buatnya dia mengigau dan masuk bilik abang, tak ke kes niaya? Siapa yang nak tanggung? Sayang?” Darwisy mencipta alasan.

Damia mencebik.

“Eleh! Entah-entah bukan Nomi yang masuk bilik abang tapi abang yang pergi merayap ke bilik dia!” Sindir Damia pedas.

Hisy... ke situ pulak sayang fikir! Sayang ingat abang ni apa? Binatang? Takde akal? Tak boleh nak bezakan mana yang halal, mana yang haram?” Marah Darwisy. “Yang halal terhidang depan mata pun abang tak tertekam, inikan pula nak cari yang haram! Memang  tebiat nak mampuslah abang sekiranya buat macam tu!” ujar Darwisy lagi dengan perasaan sebal.

“Jika abang tak nak tidur di bilik bawah, bilik kat atas pun banyak yang kosong, abang pilihlah yang mana abang suka,” ujar Damia lagi. Sengaja dia ingin mengusik suaminya.

“Mana boleh abang tidur sendirian. Abang kan dah biasa tidur dengan sayang.” Darwisy bersuara. Ada nada rajuk di situ. “Tak apalah kalau tak suka abang tidur sini, abang balik Teratak Raudhah sekarang.” Darwisy sudah berura-ura hendak bangun. Perbuatannya terhenti apabila tangan Damia menariknya semula.

“Apalah abang ni! Gurau sikit pun dah nak terasa.” Damia menolak sedikit bahu Darwisy sambil tersenyum manis. Terserlah lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Damia sebenarnya berasa bersalah kerana menuduh Darwisy yang bukan-bukan. Tak akanlah suaminya hendak mengambil kesempatan ke atas pengasuh anaknya pula.

“Gurau aje ke? Abang ingatkan serius tadi! Kalau gitu tak jadi nak merajuklah.” Darwisy juga sudah tersenyum. Terpujuk dia dengan kata-kata Damia.

Damia menggeleng kepala mendengar kata-kata Darwisy. Dah jadi bapa budak pun masih lagi nak merajuk-rajuk.

“Dah lama abang nak tegur. Sayang pun ada lesung pipit macam abang. Patutlah anak-anak menurun kita.” Darwisy mencucuk manja pipi Damia. Ingin rasanya dia memanjangkan kemesraan mereka dengan sesuatu yang lebih romantis. Tetapi dia tidak mahu tergesa-gesa. Masih banyak lagi waktu, fikirnya.

“Makan malam kita macam mana abang? Nak masak atau makan di luar sahaja?” Damia bertanya. Dia tidak kisah sekiranya Darwisy ingin dia memasak. Tetapi mereka perlu ke pasar raya membeli barang dapur dan bahan basah.

“Abang rasa kita makan di luar sahajalah. Tentu sayang penat. Kalau sayang malas nak keluar, abang order aje dari restoran berhampiran. Mereka ada menyediakan servis penghantaran ke rumah.” Darwisy memberikan pendapatnya.

“Okey juga macam tu. Tapi untuk malam ini sahaja ya. Sayang sebenarnya dah muak makan di luar. Teringin juga hendak masak sendiri untuk kita sekeluarga. Abang belum pernah rasa masakan sayang lagi, kan?” Damia bertanya manja. Entah mengapa dia terasa ingin bermanja dan bermesra pula dengan Darwisy sekarang ini. 

“Pandai ke isteri abang ni masak? Macam tak percaya je!” Usik Darwisy.
See the leg lah abang! Jangan pandang isteri awak ni sebelah mata,” gurau Damia.

“Hah... tengok! Guna awak lagi. Potong gaji!”

“Helo... ini kat rumah bukan tempat kerja! Kat rumah mana ada istilah potong gaji. Lainlah kalau abang ada sediakan wang saku.”

Hmmm... bagus juga idea sayang! Abang memang terfikir nak bagi wang saku untuk sayang setiap bulan. Wang nafkah memang abang tak boleh nak sentuhlah sebab itu memang tanggungjawab abang.” Darwisy senyap seketika memikirkan sesuatu.

“Di pejabat abang potong dua ratus ringgit setiap kali salah cakap. Dekat rumah akan abang potong seratus ringgit setiap kali ada kesilapan. Macam mana? Setuju?” Tanya Darwisy sambil menjongket kedua belah keningnya.

“Abang nak bagi berapa wang saku?” Laju sahaja Damia bertanya. Lebar senyuman di bibirnya. Dalam kepalanya juga sudah tumbuh bermacam-macam idea bagaimana hendak diagihnya duit tersebut.

Huh! Mata duitan juga bini aku ni! Kutuk Darwisy dalam hatinya. Hisy... tak baik buruk sangka dengan isteri sendiri, bisik hatinya kembali.

“Wang saku? Abang bagi seribu cukuplah. Duit gaji sayang memang tak berusik sebab abang akan bagi lima ribu ringgit sebulan sebagai wang nafkah untuk kegunaan sayang dan anak-anak. Barang dapur abang akan sediakan. Nak membeli-belah pun abang yang tanggung. Gaji Nomi juga abang akan bayar,” ujar Darwisy sambil menatap wajah isterinya.

“Cuba sayang kira berapa sebulan sayang akan dapat campur duit gaji, duit saku dan duit nafkah yang abang bagi setiap bulan?” Darwisy mula mengira jumlah yang bakal Damia perolehi setiap bulan. “Wah... untungnya sayang! Dapat duit pukal dekat sepuluh ribu sebulan,” jelas Darwisy. “Tapi jika asyik buat silap, dapat lima ribu ajelah.”

Wau... banyak tu! Jikalau semua ditanggung beres, memang boleh menyimpanlah lepas ni. Elaun dari syarikat papa lagi...!  Wah... mak cik kaya! Bisik hati Damia. Harap-harap bolehlah control lidah aku ni. Eleh... isteri dia yang lagi satu tu pun mesti dapat sama banyak macam aku! Hati Damia mula terasa sayu. Terpancar riak sedih di wajahnya.

Darwisy lihat wajah mendung Damia. Adakah kata-katanya membuatkan Damia sedih?

“Hei... kenapa sedih ni? Sayang marahkan abang ke? Atau abang ada tersalah cakap?”

Damia menggeleng kepala.

“Taklah! Sayang teringatkan arwah papa. Dia baik sangat, sama macam abang,” dalih Damia. “Abang nak tengok tak gambar papa? Dia kacak tau!” Damia berusaha menceriakan dirinya. Dia tidak mahu larut dalam kesedihan yang belum tahu bila penghujungnya. Tangannya segera menyelongkar beg pakaian. Album milik keluarganya ditunjuk kepada Darwisy.

Darwisy meneliti satu persatu gambar yang terkandung dalam album tersebut. Baru dia teringat album milik Damia yang berada di rumah bondanya.

“Lupa abang nak bagi tahu. Sewaktu kita di rumah Pak Long Kamal, abang ada ambil album milik sayang.”

“Patutlah sayang cari tak jumpa. Rupanya ada yang mencopet!”

“Tak baik tuduh abang macam tu. Abang cuma nak tatap wajah-wajah sayang untuk hilangkan kerinduan semasa kita berjauhan.”

“Ya... ke? Macam tak percaya aje dengan alasan abang tu. Jangan-jangan abang dah kahwin lagi satu tanpa pengetahuan sayang?” Damia menanti reaksi daripada Darwisy.

Darwisy menarik geram hidung mancung Damia.

“Jangan suka menuduh jika tak ada bukti,” sangkal Darwisy.

Damia hanya mencebik mendengar alasan Darwisy. Lelaki memang bijak mencipta seribu alasan untuk menutup temberang mereka. Yang menjadi mangsa keadaan adalah wanita. Wanita bagi mereka ibarat pakaian. Jika tidak suka atau sudah lusuh, dengan mudah mereka menukarkan dengan yang baru.

Wanita pula bila sudah bergelar isteri, mereka sentiasa patuh dan taat kepada suami. Mereka tahu... keredhaan suami adalah keredhaan ALLAH. Untuk mendapat keredhaan ALLAH, mereka perlu berusaha menyenangkan dan mengembirakan hati suami. Barulah mereka boleh masuk mana-mana pintu syurga yang disukainya.

Hmmm... kereta sayang nanti abang suruh pekerja hotel hantar ke mari. Tak apa kan biar di situ dulu hingga esok?”

Pertanyaan Darwisy mencantas pergi apa yang berlegar-legar di fikiran Damia.

“Tak apa... asalkan jangan hilang. Jenuh sayang nak kena ganti balik dekat nenek.”

“Oh... kereta nenek! Abang ingatkan kereta sayang.” Kagum juga Darwisy melihat kereta milik nenek Damia. Ada ke orang tua pakai Suzuki Swift? Berapa umur nenek Damia tu, ya? “Insya-ALLAH tak akan hilang,” balas Darwisy. Dia tersenyum memandang wajah isterinya. Bertuah rasanya kerana dapat memilik gadis secantik dan seayu Sayang Damia ini.