Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Friday 29 June 2012

Si Pencuri Hati! Bab 12



DARWISY DAN DAMIA tiba di Berjaya Teguh lebih awal dari yang dijadualkan. Mereka akan mengadakan perbincangan berkaitan dengan projek di Balakong. TDF Holdings telah melantik syarikat Berjaya Teguh milik Dato’ Brahim sebagai kontraktor yang bertanggungjawab untuk melakukan kerja-kerja di projek perumahan yang terletak di Balakong. Terdapat juga sebuah syarikat lain yang akan menjalinkan kerjasama dengan mereka iaitu syarikat Bumi Maju, milik Dato’ Hamdan.

Sedang Damia dan Darwisy berbual, muncul Benjamin Asyraf Dato’ Brahim di hadapan mereka sambil tersenyum menawan. Benjamin Asyraf menghulurkan tangannya bersalaman dengan Darwisy, rakan niaga merangkap kenalan semasa di universiti.

“Saya Benjamin Asyraf, panggil sahaja Benji.” Benjamin Asyraf memperkenalkan dirinya kepada Damia. Tangannya dihulur untuk bersalaman.

Namun tangan Darwisy yang dulu-duluan menyambut huluran salam tersebut.

Benjamin Asyraf memandang pelik perbuatan Darwisy. Wajah Darwisy direnungnya tajam. Bengang!

Damia melemparkan senyuman manis sambil menundukkan sedikit kepalanya tanda hormat. Melihat perlakuan Darwisy sebentar tadi, hatinya digaru kelucuan. Gelojoh sungguh!

“Kenalkan PA aku, Sayang Damia Dasuki Aqtar. Sayang kenalkan ini Benjamin Asyraf, anak pemilik syarikat Berjaya Teguh.” Darwisy memperkenalkan Damia kepada budaya darat terhebat di Kuala Lumpur.

Damia angguk kepala sekali lagi sambil menghulurkan senyuman buat Benjamin Asyraf.

“Dia tak berjabat tangan dengan lelaki. Jadi aku sebagai wakilnya,” jelas Darwisy kepada Benjamin Asyraf sambil menutup kekalutannya sebentar tadi. Masakan dia hendak memberi jalan kepada Benjamin Asyarf menyentuh isterinya. Tak boleh... tak boleh... Haram! Lagi pula dia nampak sinar kegatalan dan kemiangan di mata Benjamin Asyraf. Tidak akan dibenarkan sama sekali Benjamin Asyraf mendekati isterinya walaupun seinci.

“Oh... tak mengapa saya faham!” Jelas Benjamin Asyraf sambil tersenyum. “Sayang Damia... macam pernah saya dengar nama itu tapi tak ingat di mana.” Benjamin Asyaraf memulakan bicaranya. “Boleh saya panggil Sayang?” Tanya Benjamin Asyraf dengan aksi menggoda.

Huh... nak jual minyaklah tu! Bisik hati Damia. Tapi memang benar apa yang dikatakan oleh Benjamin Aysraf itu tadi. Dia pun seolah-olah pernah dengar nama tersebut. Hah... Ini mesti salah seorang calon menantu pilihan mama dulu. Belum sempat Damia hendak menjawab, Darwisy sudah membuka mulut.

“Tak boleh nanti ada yang cemburu,” ujar Darwisy selamba.

“Aku tanya dia, yang kau sibuk menjawab bagi pihak dia tu kenapa?” Soal Benjamin Asyraf tidak puas hati. Geram sungguh hatinya. Darwisy tu siapa yang hendak menyibuk? Macamlah Damia tu makwe dia. Dia panggil Damia 'sayang' tak mengapa pulak! Gerutu hati Benjamin Asyraf geram.

“Ehem... ehem...” Damia berdehem menghentikan pertikaman lidah yang berlaku.

Kedua-dua lelaki itu pantas memandang Damia.

“Memang benar apa yang Tengku Darwisy katakan. Tapi bukanlah kerana ada yang cemburu, cuma saya tidak selesa. Lagi pula jarang orang panggil saya dengan nama tu. Dan... saya pun tidak mahu mencipta kelainan,”  jelas Damia tenang.

Buntang mata Darwisy memandang Damia. Dia mengetap bibirnya tanda menahan geram. Suka-suka dia aje panggil aku Tengku Darwisy. Lepas tu siap cakap takde yang cemburu. Habis aku ni apa? Tunggul! Mustahil aku sebagai suaminya tidak cemburu. Normallah kan kalau suami cemburu!

Damia memandang wajah Darwisy yang kelihatan tegang. Aku ada salah cakap ke? Aku bukannya panggil dia ‘awak’. Tak akanlah dia marah aku panggil dia Tengku Darwisy? Habis tu aku nak panggil apa? Hisy... tak akan depan orang luar pun kena panggil abang juga?

          “Baiklah saya panggil Damia sahaja.” Benjamin Asyraf dapat melihat riak tegang di wajah Darwisy. Seolah-olah ada menyimpan sebuah rahsia dalam diri lelaki itu. Mungkin Darwisy sudah tertarik dengan Damia, fikir Benjamin Asyraf. Tapi... the best man win lah, kan? Apa salahnya dia cuba memikat PA Darwisy itu?

“Damia memang tak pernah ingat tentang diri saya? Sebab saya rasa macam pernah dengar nama Sayang Damia Dasuki Aqtar ni?” Tanya Benjamin Asyraf tidak berpuas hati. Raut wajah Darwisy yang kelihatan tegang dan bengang, langsung tidak diendahkannya. 

“Saya pun macam pernah dengar nama Benjamin Asyraf. Mungkia ada kaitan  dengan ibu bapa kita kut?” Damia memberi sedikit petunjuk kepada Benjamin Asyraf.

Wah... wah... mereka ni! Berborak sakan seolah-olah aku ni tak wujud antara mereka. Geram sungguh Darwisy melihat ragam Damia dan Benjamin Asyraf. Tak akan Damia pernah jadi salah seorang ‘koleksi peribadi’ Benjamin Asyraf sebelum ini? Hati Darwisy mula ditumbuhi syak wasangka.

“Hah... baru saya ingat! Damia ni anak Dr. Karina, kan? Ingat tak parents kita pernah nak jodohkan kita? Tapi kenapa hari tu wajah Damia lain sangat?” Soal Benjamin Asyraf tidak berpuas hati.

“Ingat juga Encik Benji! Dulu tu saya sengaja make over wajah saya macam tu. Saya nak tengok siapa yang benar-benar ikhlas hendak memperisterikan saya. Tapi orang lelaki ni, biasalah kan..., mereka lebih mementingkan kejelitaan berbanding keikhlasan hati.” Damia menyindir Benjamin Asyraf.

Benjamin Asyraf berasa terpukul dengan sindiran Damia. Memang benar apa yang dikatakan oleh Damia itu. Mana ada orang lelaki yang tidak melihat kecantikan terlebih dahulu dalam kriteria memilih pasangan hidup.

“Saya mohon maaf dengan sikap saya dulu,” luah Benjamin Asyraf jujur. Dia akan berusaha menjalin kembali hasrat mummynya.

“Saya maafkan. Lupakan sahaja tentang peristiwa itu. Perkara itu pun sudah lama berlaku,” ujar Damia sambil tersenyum. Itulah sifatnya, terlalu mudah memaafkan kesilapan dan perbuatan orang lain.

“Terima kasih sebab sudi maafkan saya,” ujar Benjamin Asyraf sambil tersenyum menawan.

Hati Darwisy semakin terbakar dan membara. Rupanya bukan dia sahaja yang menjadi calon menantu Dr. Karina tetapi Benjamin Asyraf juga. Mujurlah Damia kini sudah menjadi miliknya. Jika tidak... mahu cemburu tahap tak ingat!

Benjamin Asyraf meneliti jam tangannya.

“Marilah kita tunggu mereka di bilik mesyuarat.”


Damia dan Darwisy angguk kepala serentak.


Benjamin Asyraf mengiringi Darwisy dan Damia menuju ke bilik mesyuarat.

Emmm... saya hendak ke bilik saya dahulu, nak ambil dokumen untuk mesyuarat hari ini,” ujar Benjamin Asyraf sebelum beredar meninggalkan pasangan suami isteri itu.

Melihat hanya tinggal dia dan Damia sahaja. Darwisy mula menyoal.

“Kenapa tak panggil abang? Bukan ke abang dah pesan sebelum ini?” Serang Darwisy.

Kecut perut Damia melihat wajah garang Darwisy. Marah sungguh lelaki itu kerana tidak memanggil dia ‘abang’. Panggil ajelah abang. Bukannya susah pun! Gumam Damia.

“Eh... bukan ke abang tak bagi panggil ‘awak’ sahaja. Takde pula abang pesan jangan panggil Tengku Darwisy Firhad atau Tengku Darwisy atau Darwisy sebelum ini,” balas Damia tidak puas hati.

“Baiklahhh.... mulai saat ini, jam tiga lima minit petang, tidak ada lagi panggilan Tengku Darwisy Firhad atau yang sewaktu dengannya melainkan panggilan abang. Tak kira walau di mana pun kita berada. Muktamad!” Tegas Darwisy.

“Tak akanlah di majlis rasmi atau tengah bekerja nak panggil abang juga? Malulah sayang nanti,” ujar Damia manja. Mudah-mudahan Darwisy menerima pendapatnya.

“Tak payah nak bodek-bodek! Abang tak layan! Bukan ke abang dah pesan tadi. Tak kira di mana jua. Faham! Kalau sayang ingkar... sayang bukan sahaja mendapat dosa tetapi gaji sayang akan abang potong dua ratus ringgit setiap kali sayang buat salah. Berkuatkuasa sekarang!” Ugut Darwisy. “Tulis-tulis dalam buku tu, nanti abang terlupa.” Darwisy berpesan.

Damia mengetap bibirnya menahan geram.

Melihat Damia seperti entah tak endah, Darwisy bersuara.

“Abang kata tulis sekarang!” Darwisy bersuara tegas.

“Bencilah dengan abang ni! Suka mengugut!” Damia membentak. Namun dia turuti jua kemahuan Darwisy. Laju sahaja tangannya menulis arahan terbaru Darwisy itu. Hisy.... menyampah betul! Rungutnya dalam hati.

Darwisy hanya tersengih memandang wajah isterinya yang sudah mencuka dan merah menahan marah. Ingat senang... nak lawan cakap abang? Daripada orang lain mengorat... lebih baik abang jadi komunis sekejap!

Tidak lama kemudian muncul Natilia bersama papanya Dato’ Hamdan, Benjamin Asyraf dan daddynya Dato’ Brahim. Natilia memandang tajam ke arah Damia dan Darwisy.

Darwisy hanya memandang sepi renungan tajam Natilia itu. Lantak perempuan tulah nak tenung dia macam mana. Janji jangan kacau dan ganggu hidup dia sudah!

Damia pula berasa kurang senang dengan renungan berbaur ancaman itu. Apa ke hal perempuan ni? Kenal pun tidak, boleh pulak tenung-tenung orang macam nak telan! Ke... dia marah aku duduk sebelah Darwisy? Hai! Tak akan tak tahu lagi yang mamat sebelah aku ni dah kahwin. Bukan satu tau bini dia... tapi dua!

Perbincangan berjalan dengan lancar walaupun diselitkan dengan aksi-aksi mengada-ada Natilia. Berjaya Teguh bertindak sebagai kontraktor yang melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik ke atas projek perumahan milik syarikat TDF di Balakong. Manakala syarikat Bumi Maju selaku kontraktor pemasangan paip dan saliran. Mesyuarat yang berlangsung hampir empat jam itu telah berjaya mencapai kata sepakat melalui kertas kerja yang dibentangkan.



NATILIA menghampiri Darwisy. Damia telah keluar terlebih dahulu kerana ingin ke tandas. Papanya dan ahli mesyuarat yang lain juga sudah beredar. Sengaja dia menunggu Darwisy hingga lelaki itu siap mengemas dokumen-dokumennya.

“Siapa perempuan yang you bawa? I tengok bukan main mesra lagi?” Tanya Natilia berbaur cemburu. Belum pernah lagi dia melihat Darwisy membawa mana-mana perempuan menghadiri mesyuarat hatta setiausahanya sekali pun.

“Kenapa? Kau cemburu dan tidak berpuas hati?” Soal Darwisy kembali. “Siapa dia... itu bukan urusan kau!” Ujarnya lagi.

“Mestilah I nak tahu sebab dia akan berurusan dengan I lepas ni,” balas Natilia tidak berpuas hati.

“Betul juga apa yang kau katakan! Memang selepas ni kau akan berurusan dengan dia sebelum bertemu aku,” sinis Darwisy. “Kalau kau nak tahu, dia tu PA kesayangan aku dan akan menemani aku hingga ke Syurga,” ujar Darwisy bersahaja. Dapat dia melihat wajah cemberut Natilia.

“You yakin sangat-sangat ke... yang dia bakal temani you hingga ke Syurga? You dengan dia bukannya suami isteri,” sindir Natilia. “Jangan-jangan I yang bakal menjadi  isteri you dan menemani you hingga ke Syurga,” bisik  Natilia sambil tertawa lepas.

Darwisy hanya ketawa kelucuan mendengar kata-kata Natilia yang pada anggapannya hanya sebuah lawak bodoh. Dulu... sebelum aku berkahwin bolehlah kau bermimpi nak jadi isteri aku. Tapi kini... dah tak boleh dah, sebab aku sudah ada isteri yang cantik dan solehah serta permata hati yang akan mendoakan kesejahteraan hidup aku di dunia mahupun akhirat, suara hati Darwisy berkata.

“Rumah kau ada cermin besar tak? Kalau ada yang berukuran 20 X 20 kaki lagi cantik” Tanya Darwisy spontan.

“Takde kenapa? You nak belikan ke?” Soal Natilia pula.

Tersenyum Darwisy dengan kebodohan Natilia.

“Buat apa aku nak belikan untuk kau? Buat menghabiskan duit aku sahaja,” sindir Darwisy. “Apa kata kau cari cermin sebesar itu dan lihat siapa diri kau yang sebenarnya. Tengok betul-betul dalam cermin tu sama ada kau layak atau tidak hendak bergandingan dengan aku,” tempelak Darwisy dengan perasaan jengkel. “Sekiranya kau tak mampu nak beli, datanglah ke rumah aku. Kat rumah aku ada cermin yang lebih besar dari itu,” ujar Darwisy lagi.

“You jangan angkuh dan sombong sangat Darwisy.” Natilia mendengus marah. “Suatu hari nanti you pasti akan tersungkur di kaki I,” ujar Natilia bongkak.

Darwisy menceber. Perempuan ni jika bercakap ikut sedap mulut dia aje. Sekiranya perangai tu bagus takpelah juga. Ini perangai macam pelacur kelas atasan! Cemuh Darwisy dalam hatinya. Seandainya ada hati nak jadi isteri aku, ubahlah perangai tu jadi baik. Ini tidak! Tak berubah langsung. Makin teruk adalah. Dah aku sindir bagai nak rak pun... buat tak layan! Dia ingat senang agaknya nak bentuk manusia jadi baik tanpa kerelaan diri sendiri! Bebel Darwisy dalam hatinya.

Dan... dia ingat seronok agaknya jadi isteri aku kalau dia masih berperangai macam tu? Silap-silap dapat penyepak dan terajang tiap-tiap hari. Daripada aku menanggung dosa dia setiap hari, lebih baik aku jauhkan diri. Dahlah dia tak confirm lagi sama ada bakal ahli Neraka atau Syurga. Nanti tak pasal-pasal dengan aku... aku... sekali ALLAH tarik masuk neraka sebab gagal jalankan tanggungjawab sebagai seorang suami. Hisy... selisih malaikat empat puluh empat! Bisik hati kecil Darwsiy.

“Mana ada aku angkuh atau sombong. Aku cakap berdasarkan fakta. Dan aku tahu siapa kau yang sebenarnya. Berubahlah sebelum ajal datang menjemput kau. Lagipun perbuatan kau selama ini hanya menjatuhkan martabat kau sebagai seorang perempuan,” tegur Darwisy ikhlas. Wajah bengang Natilia ditatap seketika sebelum meneruskan kerja-kerjanya.

Natilia memandang Darwisy dengan perasaan marah yang sukar dibendung.

“Apa you ingat you tu baik sangat?” Tanya Natilia dengan nada suara yang tinggi. “You ingat orang macam I tak boleh masuk syurga?” Soal Natilia tidak berpuas hati sambil merenung tajam muka Darwisy.

“Aku tak kata aku terlalu baik. Setiap orang ada kekurangannya. Tetapi kalau kita tidak berusaha menghampiri kebaikan dan cuba mendapatkan keredhaan ALLAH, maka susahlah kita hendak mendapat rahmat-NYA. Kau pun berubahlah sebelum terlambat. Kasihan parents kau sekiranya mereka tahu siapa kau yang sebenarnya selama ini,” nasihat Darwisy sekali lagi.

Don’t try to teach me. Macamlah mati nanti kita duduk dalam liang lahad yang sama,” sindir Natilia yang masih tidak berpuas hati.

“Aku bukannya nak ajar kau. Aku tahulah ilmu agama kau lebih tinggi daripada aku,” perli Darwisy. Dia sudah terlampau bengang dengan sikap Natilia yang bodoh tapi sukar diajar. “Tetapi sebagai orang Islam, kita wajib berpesan-pesan ke arah kebaikan. Aku ada sedikit ilmu, apa salahnya kita kongsikan bersama.” Tenang sahaja Darwisy meluahkan kata-katanya. Tidak lama kemudian dia menyambung kembali kata-katanya setelah melihat Natilia ingin beredar.

“Aku pun memang berharap kubur kita lain-lain tempat atau daerah. Tak sanggup rasanya nak dengar kau menjerit setiap kali kena seksa dengan malaikat Mungkar dan Nangkir,” sinis Darwisy.

Orang seperti Natilia sukar diajar dengan cara berlembut sebab perempuan itu tidak akan faham. Bukan kerana dia tidak pandai berbahasa Melayu atau tidak pernah belajar pendidikan Islam tetapi hatinya terlalu kotor dan hitam. Baginya apa yang kita sampaikan ke arah kebaikan seperti mengajaknya terjun gaung. Sukar untuk dia terima. Mudah-mudahan Natilia mendapat hidayah sebelum ajal datang menjemputnya, doa Darwisy ikhlas.

Natilia merengus geram mendengar kata-kata Darwisy. Dengan pantas dia beredar bersama dendam yang membara. Dia akan pastikan Darwisy melutut dan memohon maaf kepadanya suatu masa nanti.



DARWISY menghampiri isterinya yang sedang berbual dengan Dato’ Hamdan dan Dato’ Brahim. Kelihatan juga Natilia dengan wajah mencuka dan Benjamin Asyraf yang begitu ralit merenung Damia. Darwisy cuba bersikap profesional semata-mata ingin menutup perasaan cemburunya yang tinggi menggunung.

“Maaf saya terlambat sedikit,” ujar Darwisy berbasa-basi. Tangannya  menghulurkan gulungan kertas projek kepada Damia.

Damia  menyambutnya dengan senyuman.

“Abang ke mana? Kenapa lambat sangat?” Bisik Damia. Dia tidak mahu orang lain mendengar perbualan mereka. Menuturkan perkataan ‘abang’ membuatkan dia rasa hendak tercekik apatah lagi tidak ada siapa yang tahu status antara mereka.

Darwisy melemparkan senyuman menawan buat Damia. Hatinya yang membahang seketika tadi terasa sejuk kembali.

“Nanti abang cerita,” ujar Darwisy. Dia juga mengunakan nada perlahan.

“Maaf Dato’, Benjamin dan Natilia, rasanya kami perlu beredar dahulu memandangkan waktu kerja pun dah tamat, bimbang sesak pula jalan raya nanti.” Darwisy mohon pamitan.

“Saya juga dah nak balik,” ujar Dato’ Hamdan kepada Darwisy.

Darwisy tersenyum mesra buat Dato’ Hamdan.

“Mari Lia, kita balik sekarang. Bising pula mama Lia sekiranya kita lambat balik untuk makan malam.” Dato’ Hamdan menggamit anak perempuan.

Natilia pandang wajah papanya kemudian dia mengangguk setuju.

“Okey Brahim, I pulang dulu. Kita jumpa lagi dalam mesyuarat akan datang.”

Darwisy dan Damia beriringan dengan Dato’ Hamdan dan Natilia untuk pulang. Tangannya merangkul erat pinggang Damia menuju ke kereta.


Damia cuba melepaskan rangkulan Darwisy tetapi tidak berhasil. Darwisy semakin mengemaskan lagi pelukannya. Akhirnya dia membiarkan sahaja.

Hampir tersembul biji mata Natilia melihat Darwisy memeluk erat pinggang Damia.

Huh... perangai tak ubah seperti lelaki di luar sana! Pantang nampak perempuan berdahi licin sikit, terus tergoda. Macamlah PA dia tu lawa sangat, omel Natilia dalam hatinya. Geram sungguh Natilia memandang perlakuan Darwisy itu. Ingatkan perangai macam malaikat! Rupanya sama aje dengan aku, gerutu Natilia.

“Jangan lupa mesyuarat kita minggu hadapan,” pesan Dato’ Hamdan sambil tersenyum memandang Darwisy.

“Insya-ALLAH,” balas Darwisy ringkas sambil membalas kembali senyuman Dato’ Hamdan.

Setelah Dato’ Hamdan beredar, dia turut beredar meninggalkan perkarangan Berjaya Teguh. Sekali sekala dia mengerling ke arah Damia. Isterinya kelihatan resah gelisah di tempat duduknya.

Damia bermain-main dengan jemarinya. Hendak tanya ke tidak? Soal hati Damia. Tapi... jika tak tanya, tak boleh tidur pula nanti. Sudahlah dia dah bagi aku madu sorang. Buatnya dia tambah lagi satu cawangan! Tak ke kasihan aku dan anak-anak? Entah mengapa perasaan cemburu berladung dalam hatinya. Dia sendiri tidak mengerti akan dirinya.

“Kenapa abang keluar lewat dari bilik mesyuarat tadi?” Hatinya dipagut rasa sangsi bila melihat Natilia tersenyum pelik sewaktu memandang wajahnya. Lagi pula hanya Darwisy dan Natilia sahaja orang terakhir yang meninggalkan bilik mesyuarat itu.

Darwisy menyimpan senyumannya ketika mendengar kata-kata Damia yang berbaur cemburu. Pandai cemburu juga bini aku ni! Nampak macam tak kisah aje dengan aku.

“Abang kemas kertas kerja dan pelan-pelan yang kita bentangkan tadi,” terang Darwisy sambil menggenggam erat tangan Damia. “Sayang jangan bimbang, abang tak ada apa-apa hubungan dengan perempuan tu,” ujar Darwisy. Bagaikan tahu apa yang bermain di fikiran isterinya. Tangannya mengusap lembut jemari Damia yang berada dalam genggamannya. Dia mahu Damia mempercayai kata-katanya.

Boleh percaya ke dengan cakap dia ni? Jangan-jangan dia tengah mengayat perempuan tu tadi untuk dijadikan bini nombor tiga. Orang lelaki ni mana ada yang puas dengan seorang bini, bisik hati Damia. Perasaan cemburu mula bermaharajalela di dalam hatinya apatah lagi bila mengenangkan senyuman yang terukir di bibir Natilia.

“Saya tak kisah pun sekiranya awak ada skandal dengan dia." Damia cuba berlagak selamba. Dia tidak mahu Darwisy tahu apa yang sedang bersarang di mindanya.

Aiks... macam berjauh hati aje bunyinya? Cemburu tahap melampau dekat abang pun ada,”  usik  Darwisy.

“Mana ada cemburunya. Awak ni suka sangat melalut.”

“Tadi sayang cakap apa? Awak? Saya? Emmm... memang betul-betul nak kena potong gaji ni!” Gurau Darwisy.

Sorry... sorry! Abang janganlah potong gaji sayang. Nanti sayang nak bagi Fareez dan Farisya makan apa? Lepas tu macam mana nak bayar gaji Nomi?”

Baru Darwisy teringat dia belum lagi memberi nafkah untuk isteri dan anak-anaknya. Ya ALLAH.... ampunkanlah dosa-dosa hamba-Mu ini.

“Mulai sekarang segala urusan perbelanjaan sayang dan anak-anak akan terpikul di bahu abang. Maafkan abang kerana mengabaikan tanggunjawab abang selama ini.” Darwisy mohon pengertian. Kemudian dia teringatkan sesuatu. “Tapi... abang rasa abang tak pernah gagal masukkan duit ke dalam akaun abang yang ada dalam simpanan sayang tu. Sayang tak pernah guna ke?” Tanya Darwisy inginkan kepastian.

“Oh... kad bank yang abang bagi tu sayang tertinggal kat rumah nenek masa nak balik UK dulu. Lepas tu tak tahu hilang ke mana.” Damia berdalih. Padahal dia telah memotong-motong kad bank itu hingga kecil kerana geramkan Darwisy berkahwin lain.

“Nanti abang dapatkan kad bank yang baru. Kalau sayang tak pernah ambil duit tu, mesti dah banyak dalam akaun. Sejak kita kahwin, abang masukkan tiga ribu ringgit setiap bulan sebagai wang nafkah daripada abang.”

Damia bagaikan tidak mempercayai kata-kata Darwisy. Selama ini Darwisy tidak pernah culas memberi wang nafkah kepadanya. Maknanya Darwisy sentiasa menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami. Apa lagi yang harus aku katakan? Dia terlalu baik dan bertanggungjawab. Cuma kisah lelaki itu menduakan dirinya sahaja yang membuatkan dia berdendam dan marah terhadap Darwisy.














Wednesday 20 June 2012

Si Pencuri Hati! Bab 11

Bagi menghargai kunjungan pembaca di BHSK, saya dgn ini... dgn senang hati memasukkan bab 11. Trima kasih atas sokong anda semua. Sungguh... saya tak sangka dah 100000 pengunjung di sini. Terima kasih sekali lg.
Maaf sekiranya tidak menepati kemahuan anda semua. Selamat membaca.....

     &*********************************************************************&

DAMIA merenung bangunan pejabat setinggi dua puluh tingkat yang tersergam indah di hadapannya. Selain foyer syarikat di tingkat satu, di kiri bangunan pejabat tersebut terdapat kafe dan Klinik Dr. Azila. Sewaktu Damia tiba, dia berasa pelik apabila melihat ramai ibu bapa yang membawa anak-anak mereka sekali. Ini nak pergi kerja atau apa ni? Siap angkut anak-anak sekali, desis hati Damia.

          “Maaf... kak, saya tak sengaja,” pohon Damia. Ralit melihat keadaan yang berlaku, tanpa sengaja Damia merempuh tubuh seseorang.

“Tak mengapa. Akak yang tak tengok depan masa menyapu,” jelas Sakinah jujur.

Mereka berbual beberapa ketika sebelum Sakinah memohon diri untuk menyelesaikan kerja-kerjanya. Menurut Kak Sakinah, tukang sapu di sini, syarikat TDF menyediakan pelbagai kemudahan bagi pekerjanya termasuklah pusat jagaan kanak-kanak dan tadika untuk kanak-kanak yang berusia empat hingga enam tahun yang terletak di tingkat dua dan tiga. Pekerja di sini juga mendapat rawatan kesihatan percuma melalui klinik panel yang dilantik. Kakitangannya juga turut menerima perlindungan insurans. Betapa bagusnya syarikat ini. Begitu prihatin dan mengambil berat akan kebajikan pekerja-pekerjanya, getus Damia.

Damia mengatur langkah dengan perasaan gementar. Selepas dia memberitahu hasratnya kepada Darwisy supaya tidak mengganggunya lagi. Darwisy pergi dalam keadaan marah. Namun lelaki itu sempat berpesan supaya melapor diri pada hari ini kerana bilik pejabatnya sedang diubah suai. Damia sedikit pelik, kenapa dia perlu mempunyai bilik sendiri? Dia bukannya eksekutif. Dan kenapa dia perlu berjumpa dengan Darwisy terlebih dahulu?

Damia menuju ke tingkat sepuluh. Semasa dia tiba, Sarah setiausaha Darwisy sudah pun ada.

“Assalamualaikum,” sapa Damia mesra.

“Waalaikumussalam. Cik Damia, kan?” Melihat anggukan Damia, Sarah meneruskan kata-katanya. “Bos suruh Cik Damia tunggu di biliknya.” Sarah bangun lalu membawa Damia menuju ke bilik Darwisy. “Cik Damia nak minum? Boleh saya sediakan,” ujar Sarah ramah. Senyuman manis juga menghiasi bibirnya. Walaupun Sarah jenis suka bergosip tapi hatinya baik juga.

“Terima kasih sajalah Sarah, saya dah minum pagi tadi.” Damia menolak sopan.

“Kalau begitu tak apalah Cik Damia, saya keluar dulu,” pamit Sarah.

Selepas Sarah keluar, Damia mengambil kesempatan menghubungi Nomi.

“Helo... Nomi! Reez dan Isya dah bangun?”

“Belum lagi Kak Mia.”

Emmm... kalau begitu tak apalah. Nanti kalau ada apa-apa, cepat hubungi Kak Mia ya,” pesan Damia kepada pengasuh anaknya. Mujurlah pengasuh anaknya tidak mendatangkan masalah buatnya setakat ini. Kalau tidak tentu susah jadinya.

“Dah lama sampai?” Tanya Darwisy yang baru tiba. Selepas meletak beg kerjanya Darwisy duduk di sisi Damia. Rapat!

Emmm... baru sahaja," balas Damia perlahan. Malas rasanya dia hendak berbual dengan lelaki itu.

“Anak-anak sihat?” Wajah Damia dipandang.

 "Anak-anak sihat,” jawab Damia acuh tak acuh tanpa memandang wajah Darwisy. Dia merasa tidak selesa berada begitu hampir dengan Darwisy. Hembusan nafas Darwisy terasa panas di pipinya. Pabila Damia menoleh, jarak muka mereka begitu hampir sekali. Damia segera menarik wajahnya ke belakang.

“Kenapa? Takut?" Soal Darwisy sedikit kehairanan pabila Damia menjarakkan dirinya. Wajah Damia diratah penuh minat.

Damia merengus. Sebal hatinya. 

"Bukan orang lain pun, suami sayang sendiri,” bicara Darwisy bersahaja. Memang begitulah sikap Darwisy. Bagi Darwisy... apa yang dirasakan betul olehnya, itulah yang akan dia katakannya tanpa mengambil kira  perasaan orang lain.

Damia menjeling geram.

“Boleh tak awak jangan panggil saya Sayang!” Bentak Damia.

“Kenapa? Ada masalah ke dengan panggilan ‘sayang’ tu?” Soal Darwisy. Wajah Damia yang sedang menahan marah ditatap. Comel sungguh dia ni!

“Saya tak suka. Lagipun apa kata pekerja di sini nanti.”

“Kenapa dengan pekerja di sini? Sayang takut mereka mengata atau mengejek? Bukan ke nama sayang, Sayang Damia? Jadi mereka tak boleh nak pertikaikan kalau abang panggil sayang. Beginilah... kalau sayang rasa malu dengan panggilan ‘sayang’ yang merujuk kepada panggilan istimewa daripada seorang suami buat isteri tercinta, anggaplah sahaja abang panggil nama pertama sayang iaitu Sayang dan bukannya Damia.”

“Awak jangan cuba nak guna perkataan cinta dan sayang dengan saya, saya tak suka,” tegas Damia. “Geli dan nak termuntah tahu, tak?”


Darwisy tergelak kecil mendengar nada-nada berbaur sindiran isterinya.

“Inilah penyakit orang perempuan yang abang tak faham! Bila kita ucapkan perkataan cinta dan sayang kepada mereka, mereka tak suka. Gelilah! Nak termuntahlah! Bila kita tak cakap yang kita cinta dan sayang kat dia, dia kata orang lelaki ni keraslah, tak romantiklah dan tak reti nak luahkan perasaan cinta dan kasih sayang. Jadi... mana satu perlu abang ikut? Hmmm...?” Soal Darwisy sambil merenung anak mata Damia.


Damia menahan geram. Ada aje ayat yang keluar dari mulut lelaki itu. Tak letih ke asyik bercakap sedari tadi?

“Untuk pengetahuan sayang, cinta abang ini adalah sebuah ikatan kasih sayang yang lahir dari hati yang tulus suci. Cinta abang terhadap sayang akan kekal abadi dan mekar mewangi hingga ke akhir hayat,” ujar Darwisy penuh penghayatan.

“Awak ni banyak betul alasan.” Damia mendengus geram. “Ikut suka hati awaklah nak panggil apa. Jangan timbul gosip dan fitnah suatu hari nanti sudah!” Malas Damia hendak bertekak dengan mat romeo yang terlebih jiwang karat ni. Mesti pagi tadi terlebih telan vitamin. Tak pun isteri kedua dia terlebih layan, itu yang terlebih merenyam pagi-pagi buta ni! Gerutu Damia. Meluat dia melihat perangai gatal Darwisy.

Darwisy bangun menekan butang intercom.

“Sarah bawa masuk fail peribadi Puan Sayang Damia Dasuki Aqtar.”

“Baik bos.”

Tidak lama kemudian Sarah masuk bersama fail yang dikehendaki. Dia berdiri di hadapan Darwisy. Rapatnya mereka duduk! Otaknya sudah mula merencanakan gosip panas pagi ini.

“Begini Sarah! Mulai ini hari ini Puan Sayang akan jadi PA saya. Ini bermakna awak juga akan jadi pembantu Puan Sayang selepas ini,” ujar Darwisy sambil memandang muka Sarah. Sengaja Darwisy menggunakan perkataan sayang supaya setiausahanya yang suka bergosip ini tidak salah faham selepas ini. “Tugas awak akan berlangsung seperti biasa cuma akan bertambah apabila Puan Sayang memerlukan bantuan awak.” Darwisy memandang Sarah dan Damia. “Awak faham apa yang sampaikan Sarah?”

“Saya faham bos.”

“Bagus! Mulai hari ini, apa jua yang berkaitan dengan saya, awak rujuk dengan Puan Sayang terlebih dahulu. Dan... mulai hari ini juga, awak tidak dibenarkan masuk ke bilik saya sewenang-wenangnya. Awak boleh keluar sekarang.”

Selepas Sarah beredar, Damia terus bertanya apa yang terbuku di hatinya sejak tadi.

“Kenapa saya kena jadi PA awak pulak? Bukan ke jawatan saya pegawai pemasaran?”

“Habis tu... hanya jawatan itu sahaja yang kosong setakat ini. Kalau sayang nak jawatan lain boleh juga. Jaga abang dua puluh empat jam di rumah dan pejabat, abang bagi sepuluh ribu sebulan. Macam mana setuju?” Tanya Darwisy sambil tersengih gatal.

Huh... memang merenyam sungguh dia ni! Isteri dia yang satu lagi tu nak humban ke mana kalau nak suruh aku jaga dia dua puluh empat jam? Marah Damia dalam hatinya.
  
Macam tengah mengutuk aku aje tu! Bisik hati Darwisy. Kenapalah kau cantik sangat sayang? Geramnya! Wajah Damia direnung tanpa puas. Bibirnya juga sempat mendarat di bibir Damia seketika.

“Apa yang awak buat ni, hah? Ingat sikit! Kita sekarang berada di pejabat dan pekerja di sini masih tidak tahu lagi siapa kita berdua,” marah Damia. Sakit hatinya dengan perlakuan Darwisy. Suka hati dia sahaja hendak cium orang.

“Abang boleh sahaja umumkan siapa sayang sekarang. Sayang tak kisah ke?” Tanya Darwisy sambil memandang wajah Damia.

Laju sahaja Damia menggeleng. Nak mampus! Ada nanti kena ganyang dengan madunya. Walaupun dia isteri pertama, namun dia tidak mahu mengecohkan suasana. Jika boleh dia ingin bekerja dengan aman dan damai hinggalah kontraknya dengan TDF tamat. Bukan Damia tidak mampu hendak membayar penalti sekiranya dia berhajat hendak menamatkan kontrak tersebut serta merta. Tetapi dia tidak mahu membazirkan wang simpanannya.

Darwisy menghela nafas lega. Mujurlah Damia menggeleng. Buatnya Damia bersetuju? Tidak ke mati kering dirinya nanti? Sebenarnya Darwisy pun gerun hendak mengumumkan pernikahannya. Mahu pendek umur dibuatnya andai berita perkahwinannya sampai ke telinga bonda kesayangannya itu. Hingga kini dia tidak punya keberanian hendak menerangkan hal yang sebenar kepada bondanya. Lagi pula hubungannya dengan Damia belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Masih belum sehati dan sejiwa lagi!

Damia menjeling geram. Ada sahaja jawapan yang keluar dari mulut Darwisy. Jika tidak menyakitkan hatinya, tak apalah juga! Ini... makin buat dirinya bengang dan menyampah!

“Jangan jeling abang macam tu,” sakat Darwisy. “Buatnya abang terterkam sayang di sini macam mana? Jangan salahkan abang pula,” giat Darwisy sambil tersenyum menawan. Terserlah lesung pipi  di kedua-dua belah pipinya.

Terpegun Damia melihat senyuman menawan yang dihiasi lesung pipit di pipi. Memang kacak! Gumam Damia. Baru hari ini dia dapat melihat senyuman ikhlas di bibir Darwisy.

          “Jangan renung abang dengan renungan berbisa macam tu, nanti abang tak senang hati nak buat kerja,” usik Darwisy lagi. Geli hatinya melihat wajah Damia yang merona merah bila malu. Hari ini Darwisy rasakan hari paling gembira dalam hidupnya.

          Damia mencebik mendengar kata-kata Darwisy. Miang! Perasaan malu juga mula menebal bila tertangkap sebegitu.

“Mari abang tunjukkan bilik Sayang.” Darwisy sudah menarik tangan Damia. “Sebelum itu, abang nak tunjuk ruangan solat dan bilik air. Sekiranya sayang nak solat dan nak guna bilik air, sayang boleh guna di bilik abang sahaja. Tak perlu nak berebut-rebut dengan pekerja lain. Lagipun bilik abang, abang tak benarkan orang lain masuk kecuali ayah, Abang Danish dan Sarah. Mulai sekarang, bilik abang akan jadi bilik sayang juga.”

Damia hanya mendengar kata-kata Darwisy. Bagus juga solat dalam bilik dia. Bolehlah aku tinggalkan kain telekung di pejabat.

“Eh... kita nak ke mana ni? Kata tadi nak tunjuk bilik saya.”

“Nak tunjuk bilik sayanglah ni.”

Darwisy membuka pintu yang menghubungkan biliknya dengan bilik Damia. Bagus juga idea canggih ayahnya. Tak perlulah dia keluar masuk bilik pejabatnya jika hendak berjumpa Damia. Pekerjanya pun tak tahu.

Terkejut Damia bila bilik pejabatnya boleh dibuka melalui bilik pejabat Darwisy. Saat terpandang susun atur dan hiasan di ruang kerjanya, dia sungguh tertarik. Cantik! Bisik hati Damia. Sungguh dia tidak menyangka begitu hebat sekali layanan yang dia terima. Sudahlah lebih seminggu duduk di hotel mewah. Kini ruang kerjanya juga cukup menarik dan selesa. Bagaimanalah agaknya tempat tinggal yang disediakan untuk aku kelak?

“Macam mana suka? Ini idea abang dan ayah.”

“Ayah?” Tanya Damia sepatah.

Aah... ayah! Dia mahukan yang terbaik untuk orang kanan abang,” jelas Darwisy penuh makna.

“Dekorasi yang menarik dan mewah. Dah macam pangkat bos pulak kat sini.”

“Walaupun tak jadi bos kat sini, tapi sayang kan isteri bos!” Darwisy tersenyum memandang wajah isterinya. Banyak aku dapat pahala hari ini sebab asyik tersenyum dari tadi, bisik hati Darwisy nakal.

“Kalau di sini sayang jadi bos dan kat rumah pun sayang bos, matilah abang. Nak buat apa-apa kena dapatkan keizinan terlebih dahulu. Walhal sayang yang perlu tunduk dan ikut arahan abang.”  sambung  Darwisy  lagi.

“Dalam Islam... abang ketua keluarga. Jadi arahan sayang supaya abang lupakan sayang tempoh hari terpaksa abang abaikan kerana kuasa pembatal terletak di tangan abang, bukan di tangan sayang. Ingat tu!” Ujar Darwisy tegas sambil mencuit hidung Damia.

Segera Damia menepis tangan Darwisy.

“Jangan nak menggatal kat pejabat,” marah Damia.

“Eleh... sentuh sikit pun nak marah. Bukannya orang lain, isteri sendiri.”

“Walaupun saya isteri awak, tapi saya tak suka awak buat macam tu,” tegas Damia.

“Yalah... yalah! Nanti abang cuba control sikit kenakalan dan kegatalan abang ni!” Jawab Darwisy selamba. “Sekarang abang nak terangkan bidang tugas sayang. Sekiranya abang berjumpa client, sayang kena ikut. Begitu juga bila abang melawat tapak projek.” Darwisy menyerahkan beberapa buah fail untuk tindakan Damia. “Abang nak sayang semak fail-fail ni. Lepas makan tengah hari nanti, kita ada meeting.”

“Boleh tak jangan bahasakan diri awak ‘abang’ di sini. Kalau ada pekerja yang dengar, bukan ke tak elok. Lagipun mereka bukannya tahu hubungan kita.”

“Peduli apa abang. Lantaklah mereka nak dengar atau nak kata apa pun! Ada abang kisah?” Terlupa dia seketika tentang bondanya.

Hisy... awak ni suka main-mainlah! Cubalah serius sikit! Kalau kat luar nanti saya nak awak panggil apa?”

          “Panggil ‘abang’ dan bahasakan diri sayang... ‘sayang’ muktamad!”

Eeii... geram betullah dengan awak ni,” marah Damia.

“Bukan awak tapi abang! Kalau tak panggil abang... ‘abang’ dan sayang... ‘sayang’, abang potong gaji sayang lima puluh ringgit setiap kali salah cakap. Cuba sayang bayangkan dari tadi sayang asyik guna perkataan awak dan saya, hmmm... abang rasa dah lebih empat kali sayang silap cakap,” ujar Darwisy sambil mengurut dagunya. “Lima puluh darab empat. Wah... dah dua ratus gaji sayang kena potong! Jadi mana yang sayang nak? Guna panggilan ‘abang’ dan ‘sayang’ atau potong gaji?” Ugut Darwisy.

Eeii... melampau betullah dia ni, gumam Damia. Wajahnya juga sudah merah menahan marah.

“Jangan marah-marah! Nanti abang tak boleh nak buat kerja sebab asyik memujuk sayang,” gurau Darwisy sambil ketawa.

Dia ni... tahu aje apa yang apa yang bermain di fikiran aku, bisik hati Damia. Damia sudah malas hendak bersoal jawab. Sekiranya mereka asyik berdebat, satu kerja pun tak jalan. Padahal banyak benda yang perlu dia pelajari. Sudahlah bidang yang ditawarkan untuknya terlalu asing buat dirinya.

Geram melihat wajah isterinya yang merona merah, Darwisy mendekati Damia. Pinggang Damia dirangkul dan bibirnya mencari ulas bibir Damia yang mungil dan seksi itu. Lalu bibir itu dipagut lembut menyalurkan seluruh kasih sayang dan cintanya yang membuak-buak serta melepaskan pergi semua beban kerinduan.

Damia sedikit terkejut dengan tindakan spontan Darwisy, namun dia tidak menolak bahkan turut hanyut dibuai gelora rasa. Tatkala wajah ‘perempuan itu’ menerjah di mindanya, pantas tubuh Darwisy ditolak.

“Hei! Apa yang awak buat ni hah? Jijik saya tahu, tak?” Rengus Damia sambil mengesat kasar bibirnya.

“Jijik ke?” Soal Darwisy sinis. “Bukan ke tadi sayang seolah-olah ingin mengajak abang ke dunia lain? Ke dunia yang lebih indah, hangat dan mengasyikkan!” Tokok Darwisy dengan senyuman sinis. “Betulkan apa yang abang kata? Abang dapat rasakan yang sayang juga sebenarnya rindukan abang. Jika tidak masakan sayang turut membalasnya tadi.” Wajah Damia direnung. Dia sememangnya merindui Damia. Dia juga ingin merasai kehangatan kasih sayang dan cinta isterinya itu.

Wajah Damia terasa hangat pabila darah mula menyerbu naik ke muka. Malu sungguh dirinya kerana gagal mengawal gejolak rasa ketika itu. Namun dia tidak mahu kelihatan lemah di mata Darwisy.

          “Gila!” Balas Damia sepatah. Mukanya masam mencuka. Malu usah ceritalah. Ada ke patut Darwisy sentuh bab-bab sensitif seperti itu.

“Gila? Mungkin kut!” Ujar Darwisy bersahaja. “Tapi kenapa muka sayang blushing macam tu sekali?” Usik Darwisy. Dia sedikit tidak terasa hati dengan kata-kata isterinya.

Akibat geram yang teramat sangat, Damia mencubit lengan Darwisy.

“Aduh! Sakitlah sayang. Sayang ni lahir tahun ketam ke apa?” Tanya Darwisy sambil menggosok lengannya yang terasa perit.

“Padan muka! Siapa suruh gatal sangat.” Marah Damia. Jelingan maut juga dihadiahkan buat Darwisy.

Darwisy menggeleng kepala sambil tertawa. Dia pasti sedikit masa lagi Damia akan jatuh ke dalam tawanannya.

“Makan tengah hari dengan abang. Jangan membantah!” Pipi Damia dikucup. Setelah itu Darwisy beredar meninggalkan Damia.

Huh! Suka sungguh memaksa, dengus Damia. Damia menyentuh pipi dan bibirnya. Dia turut merindui Darwisy sebenarnya. Cuma... bila teringatkan perempuan itu, hatinya menjadi tawar tidak bergula. Pedih, kecewa dan marah bergumpal menjadi satu bila terkenangkan perbuatan Darwisy.


DAMIA mengatur langkah mengiringi Darwisy. Ingatkan ke manalah Darwisy ingin membawanya keluar makan. Rupa-rupanya ke hotel tempat dia menginap. Ada baiknya juga mereka makan tengah hari di situ, bolehlah dia menjengah anak-anaknya seketika.

Setelah membuat pengesahan pesanannya, Darwisy mengajak Damia ke bilik yang didiami Damia bersama anak-anaknya. Riuh bunyi mulut anak-anaknya ketika melihat  wajahnya  dan  Damia.

“Umi... umi... umi...” Farisya dan Fareez memanggil Damia. Terkedek-kedek dua beradik itu mendapatkan uminya. Setelah itu mereka menghampiri Darwisy. Bagaikan tahu-tahu sahaja itu adalah daddy mereka.

“Nak mamam,” jelas Fareez mesra sambil memeluk leher Darwisy. Farisya pula melentok manja di bahu Darwisy.

“Anak daddy dah lapar ya?” Tanya Darwisy sambil mencium pipi Fareez dan Farisya dengan penuh kasih sayang. “Bila pesanan dah sampai, kita makan sama-sama. Nanti daddy suap Reez dan Isya makan.” Jelas kelihatan kasih seorang bapa di situ.

Tidak lama kemudian pesanan yang ditempahnya telah tiba. Sengaja Darwisy melarang Nomi memberi anak-anaknya makan awal. Dia ingin merebut kembali masa yang terbuang sebelum ini. Dia ingin anak-anaknya rapat dan mengenali dia sebagai bapa mereka. Darwisy mendudukkan anak-anaknya. Dia ke singki mencuci tangannya.

“Sayang pergi makan dulu. Anak-anak biar abang layan. Lepas makan sayang solat dulu ya. Nanti lewat pula kita nak menghadiri mesyuarat.”

Damia hanya mengangguk kepalanya tanda setuju. Biarlah Darwisy rapat dengan anak-anaknya, getus Damia. Kagum Damia melihat perlakuan Darwisy. Terserlah sifat kebapaannya. Tekun dia melihat Darwisy melayan kerenah anak-anaknya. Begitu berselera sekali anak-anaknya menikmati makan tengah hari. Sambil menyuap anak-anaknya, Darwisy juga menyuap makanan ke mulutnya. Kecoh jadinya bila anak-anaknya tidak sabar menunggu giliran. Saat mata bertentangan, senyuman manis menghiasi ulas bibir Damia.

Selesai memberi anak-anaknya makan, Darwisy menuju ke bilik utama untuk bersolat. Damia hanya memandang perlakuan Darwisy. Hatinya tertanya-tanya, adakah pakaian yang terdapat dalam bilik itu adalah milik Darwisy? Darwisy kelihatannya langsung tidak kekok dengan suasana dalam bilik hotel itu.

Darwisy menukar pakaiannya. Pakaiannya tadi kotor apabila Isya tiba-tiba mengesat mulut di lengan bajunya. Baru dia hendak membuka mulut bercakap dengan Damia, telefonnya berbunyi.

“Helo... Hassan! Ada apa?”

“Aku telefon ni nak beritahu tentang rumah tu. Semuanya dah siap.”

“Oh... dah siap ya? Nanti kita jumpa. Terima kasih banyak-banyak Hassan.” Darwisy menamatkan perbualannya.

“Jom sayang kita pergi,” ujar Darwisy sambil memandang Damia. “Oh ya... sebelum abang terlupa! Sayang bolehlah kemas barang-barang sayang dan anak-anak. Rumah yang sayang hendak duduk tu sudah siap diubah suai.”

Damia sudah tidak terkata apa. Semua maklumat tentang dia, Darwisy telah tahu. Tapi apa yang hendak dipelikkan? Darwisy kan bosnya. Tentu Darwisy tahu apa jua yang melibatkan dirinya.

“Bila boleh masuk rumah tu?” Tanya Damia.

“Abang rasa hujung minggu ni pun boleh. Nanti abang tolong sayang berkemas.”

Emmm... baiklah!” Damia memberikan persetujuannya. Langsung dia terlupa hendak bertanyakan tentang bilik utama di hotel itu kepada Darwisy.