Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Friday 30 March 2012

Cinta Itu Milikku Bab 17

Buat yang ternanti-nanti sambungan Athirah dan Mikhail... Jom kita ikuti sambungan kisah cinta mereka...




 TIGA hari berkurung dalam bilik, Athirah rasakan bagai tiga puluh tahun lamanya. Dia tidak mahu menyambung cutinya yang masih berbaki beberapa hari lagi. Esok dia sudah mahu ke kelas.

Athirah juga tidak memberitahu emak dan ayahnya di kampung tentang kakinya yang terseliuh kerana tidak mahu mereka bimbang dan khuatir. Dia juga tidak berani menghubungi abang-abangnya kerana tidak mahu disoal siasat punca kakinya jadi begitu. Athirah takut, rakan karibnya terlepas cakap bila diasak pelbagai soalan oleh abang-abangnya nanti. Mungkin hari ini dia boleh menyimpan rahsia tersebut, esok atau lusa tidak mustahil rahsia itu akan terbongkar jua. Jadi biarlah rahsia!

Athirah  tidak  berani  membohongi  abang-abangnya  dan  yang  paling  dia  takut, rahsia hubungannya dengan Mikhail terbongkar sebelum waktunya. Athirah selalu berpegang pada prinsip, sekali orang tertangkap kita berbohong, selamanya orang tidak akan mempercayai kita lagi. Lagipun Athirah tidak mahu keluarganya tahu dia sudah berbaik dengan Mikhail. Tentu abang-abangnya akan mengutuk dirinya.

“Dulu kata benci dan tak mahu tengok muka langsung, sekarang sudah tidak boleh nak berenggang!” Mungkin inilah ayat-ayat yang bakal keluar dari mulut abang-abangnya.

Rasa rindunya terhadap Mikhail sudah tidak tertahan. Tiga hari tanpa bersua muka membuatkan Athirah nanar untuk melihat wajah itu. Bila Mikhail menelefon dan bertanyakan apakah yang dia ingin makan dan akan menghantarnya seketika nanti, Athirah terus bersiap dan menunggu Mikhail di bawah.

Terkejut Mikhail melihat buah hatinya sudah pun menunggu dengan senyuman manis. Aduh, memang aku rindu untuk menatap senyuman dan wajah ayu itu! Bisik hati Mikhail.

“Assalamualaikum... sayang! Kaki macam mana? Dah baik?” tanya Mikhail sambil menyambut tangan Athirah.


Sejak dia mengisytiharkan mereka pasangan kekasih, Athirah akan mengucup tangan dan pipinya setiap kali bertemu dan berpisah. Mulanya dia teragak-agak dengan perlakuan Athirah itu. Tapi kata Athirah, begitulah caranya dia mengungkapkan perasaan sayang kepada seseorang yang begitu istimewa dalam hatinya. Dah macam duduk dekat US atau UK pulak, main cium-cium pipi.

“Alhamdulillah... nasib baik ada tukang urut yang handal kat sini,” ujar Athirah sambil menunjukkan kakinya yang hampir pulih.

Kak Aminah pelajar tahun akhir jurusan Sains Komputer, banyak membantu memulihkan kakinya. Setiap kali ada masa lapang, Kak Aminah pasti akan ke bilik Athirah untuk mengurut kakinya. Menurut Kak Aminah, ilmu mengurut itu diwarisi daripada emaknya.

“Abang rindukan sayang! Hari-hari, hidup abang rasakan sepi tanpa melihat wajah dan senyuman manja sayang,” ujar Mikhail dengan memek muka yang sedih.

Hu... hu... hu... cik abang aku ni! Kalau nak mengayat tahap tak ingat, pulanglah pada dia, omel Athirah dalam hatinya.

“Eleh, boleh percaya ke... dengan kata-kata abang tu? Masa bercinta, waktu bercintan, saat bercintun... semuanya kata-kata manis bak madu. Tapi bila dah kahwin esok, semua ayat yang keluar rasa pahit laksana hempedu,” bidas Athirah.

“Sekarang ni... tanpamu, akulah yang rindu dan cintaku hanyalah untukmu. Bila dah kahwin lama sikit, dah bosan... dan cutting isteri pun dah macam ‘tong gas’ atau ‘tong drum’, pintu rumah pun suami dah tak nampak. Silap hari bulan, anak bini tercampak entah ke mana,” sindir Athirah.

“Orang lelaki ni bukan boleh percaya sangat. Hari ni... kata-katanya umpama coklat, semuanya manis dan menjilat jari! Esok lusa... disuruhnya kita sain borang untuk bermadu,” bebel Athirah tanpa henti. Ketidakpuasan hatinya terhadap segelintir lelaki dihamburkan kepada Mikhail.

Tercengang Mikhail sekejap terkena tembakan bagaikan peluru mortar. Mulut aku yang tersalah cakap atau buah hati aku ni bulannya tengah mengambang penuh? Desis hati Mikhail. Kepalanya digaru tanpa sebab.

“Eh... mana ada abang cakap semanis madu atau coklat! Abang pun tak suka makan madu walaupun kita disunatkan memakannya. Bila tak suka makan madu, maka dengan ini... abang pun tak terfikir nak cari madu untuk sayang,” ujar Mikhail sambil tersenyum.

Athirah menghadiahkan cebikan dan jelingan menyampah buat Mikhail.

Jelingan dan cebikan Athirah buatkan Mikhail hendak tergelak. Marah sangatlah tu mendengar usikannya.

“Coklat lagilah abang tak suka makan. Nanti rosak gigi dan mudah terkena diabetes. Lagipun... doktor gigi dah pesan, jangan makan yang manis-manis jika nak gigi sentiasa sihat dan cantik.” Mikhail bergurau.

“Sayang janganlah fikir yang bukan-bukan. Abang ni jenis yang setia, tahu! Kalau tidak... dah lama abang ikut jejak kawan-kawan abang ada kekasih. Sayang tanya kawan-kawan abang, bila abang buka ‘pintu’ dan ‘tingkap’ hati abang untuk bercinta? Semuanya berlaku bila kenal sayang tahu. Jadi, cuba jangan ragui kasih sayang dan kesetiaan abang,” hujah Mikhail panjang lebar. Dia tidak mahu walaupun sebesar zarah Athirah meragui keikhlasan cintanya. Mulutnya juga sudah muncung seperti mulut itik. Merajuk! Sedih hatinya apabila ketulusan cintanya dipertikaikan.

Geli hati Athirah melihat muncung Mikhail.


Sorry... buat abang marah! Sayang hanya nak uji tahap kesetiaan dan kesabaran abang. Ternyata abang seorang yang setia, jujur, ikhlas dan penyabar dalam bercinta. Terima kasih abang kerana mengambil berat tentang sayang. Semoga ALLAH balas semua kebaikan abang dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Ditakdirkan cinta kita tidak kesampaian, sayang akan simpan kemas kenangan bersama abang di sudut paling khas dalam hati sayang,” ujar Athirah sebak.  Mana mungkin dia mampu berpisah dengan suaminya itu lagi.


Syyy... abang tak mahu dengar sayang merepek tak tentu pasal. Kita sama-sama berdoa, semoga cinta kita kekal selamanya hingga ke syurga. Abang hanya mahu sayang menjadi bidadari dalam hidup abang,” ujar Mikhail sedikit tegas.

“Sayang harap hubungan kita ini berteraskan kepercayaan dan keikhlasan. Sekiranya ada apa-apa yang abang tidak puas hati tentang sayang, terus abang rujuk dengan sayang. Jangan sekali-kali abang ambil keputusan sendiri atau mempercayai kata-kata orang lain tanpa mengetahui kebenarannya terlebih dahulu. Kadangkala apa yang kita nampak, tidak semestinya benar, melainkan terbukti kesahihannya. Abang faham dan jelaskan, apa yang cuba sayang sampaikan?” tanya Athirah lembut.

“Ya... abang faham!” kata Mikhail sambil mengangguk kepalanya. “Sikap beginilah buat abang tak sabar hendak memiliki sayang secara mutlak. Itulah... abang ajak kahwin cuti semester ni, sayang tolak. Apa salahnya kita kahwin awal? Kalau sayang takut mengandung awal, abang boleh menuntut ilmu dengan Zeck.Tengok sampai sekarang Kak Azah masih belum mengandung...” Dalam hati dia menambah, anak kedua...

Mikhail cuba mengelentong Athirah. Padahal cuti semester yang lalu, Azah baru sahaja melahirkan anak lelaki. Anak mereka kini dijaga oleh ibu Zeck apabila mereka pergi ke kelas. Mujurlah rumah ibu Zeck, tidak jauh dari kampus. Zeck juga tinggal serumah dengan ibunya. Mereka juga bernasib baik kerana Si Azah tidak mengalami sebarang alahan sewaktu mengandung dan bersalin pun ketika cuti semester. Kalau tidak, tentu Si Azah terpaksa menangguhkan dulu pelajarannya. Seandainya Athirah tahu Mikhail menipunya, mahu putus telinga Mikhail kena piat.

“Abang bersabar ya. Insya-ALLAH... hari yang abang tunggu-tunggukan pasti akan tiba jua. Sekiranya sudah ditakdirkan jodoh kita bersama, kita akan tetap bersama. Jika ALLAH inginkan sebaliknya, kita terpaksa reda dengan ketentuannya.” Athirah memujuk buah hati kesayangannya itu.

Mikhail mengakui apa yang dikatakan oleh Athirah ada benarnya. Kita sebagai manusia hanya mampu merancang tapi perlaksanaan ALLAH tiada siapa yang mengetahuinya.

“Sayang... jika Si Masyitah mereng tu ganggu sayang lagi, cepat-cepat bagi tahu abang. Tahulah macam mana abang hendak mengajarnya nanti,” tegas Mikhail.

Athirah angguk kepala.

“Sayang naik atas dulu ya dan banyakan berehat. Cepat sayang sembuh, cepat juga kita boleh berjumpa,” ujar Mikhail.

Athirah tersenyum manis. Sejuk hatinya mendengar luahan si jantung hati.

“Lepas ni terus makan, jangan nak bertangguh-tangguh. Nanti kalau sayang sakit, risau abang dibuatnya,” pesan Mikhail.

Laa... ada lagi rupanya pesanan dari penaja. Ingatkan dah habis. Keningnya digaru.

“Okeylah... abang nak balik asrama dulu. Petang nanti, abang ada kelas lagi. I miss and love you so much sayang,” luah Mikhail dengan penuh perasaan.

Lega! Dah habis pun pesanan-pesanan dari si dia.

I miss and love you too abang. Okeylah, sayang naik bilik dulu,” tutur Athirah malu-malu.

Amboi... Athirah! Tiga hari tak nampak batang hidung Mikhail dah pandai miss you... love you...ya!!! Hai... macam inilah agaknya sakit orang bercinta! Asyik merindu sepanjang masa...

Athirah teringat lagi ketika dia sedang bercuti semasa belajar di matrikulasi. Rostam telah mengajaknya memanjat pokok rambutan. Hendak dijadikan cerita, ketika dia leka mendendangkan lagu Berpaut Di Dahan Cinta dan terlalu teruja hendak mencapai buah rambutan, Athirah tidak sedar dia sudah berada di hujung dahan. Dia cuba berpaut, malangnya dahan itu tidak mampu menampung berat badannya lalu patah. Rostam yang cuba membantunya turut terjatuh.



Teruk Rostam kena marah dengan Abang Roslannya yang kebetulan sedang bercuti. Rostam ketika itu, baru sahaja tamat pengajiannya di UTM, Skudai. Rosman pula masih lagi berada di Jordan.




















































































































































































































































































































































































































Tuesday 27 March 2012

Cinta Itu Milikku Bab 16






Buat tatapan yang merindukan Mikhail dan Athirah. Puteri Atilia dan Ayu.... Lps nnt jgn kacau akak lagi ya... minta post n3 terbaru. Hehehe... Jgn marah, gurau aje!!! Sayang semua!!!!


***************************************************************************







ATHIRAH mendapat cuti sakit selama seminggu. Ketiadaan Athirah selama tiga hari di kampus membuatkan Mikhail seperti cacing kepanasan. Apa sahaja yang dilakukannya pasti tidak kena. Dia lebih banyak termenung dan mendiamkan diri. Dia terlalu rindu hendak menatap seraut wajah yang dicintainya itu.

Mikhail tahu Athirah tidaklah separah mana, namun kerana kasih sayang yang menggunung, dia tidak mahu Athirah merasai sebarang kesakitan. Jika Athirah sakit, dirinya turut merasakannya. Mungkin ini yang dinamakan sehati sejiwa. Dia berasa amat marah dan geram dengan Masyitah. Sudah dua hari dia ingin bersemuka dengan Masyitah, namun Masyitah bagaikan hilang jejak. Baru hari ini Masyitah hadir ke kelas.

Hey... Ita! Kenapa you tolak Athirah?” serang Mikhail. “Apa salah dia pada you?” soal Mikhail kasar. “Dia tak pernah sentuh dan kacau hidup you pun,” ujar Mikhail sambil menunjal bahu Masyitah. “I nak ingatkan you! Sekali lagi you berani sentuh Athirah, nahas you... I kerjakan. Masa itu I tak kira sama ada you ni perempuan ataupun tidak. You tolong masukkan amaran I ni dalam kepala otak you.” Mikhail memberi amaran keras.

Muka Mikhail memerah menahan amarahnya. Tulang rahangnya juga sudah bergerak-gerak. Jika tidak disabarkan hatinya dan tidak memikirkan Masyitah itu perempuan, sudah lama Masyitah makan kasutnya yang bersaiz sembilan.

Masyitah hanya memandang sepi ugutan Mikhail. Dia tertawa sinis di depan Mikhail. Kata-kata Mikhail bagaikan memberi semangat untuknya menghapuskan Athirah dari muka bumi ini.  Kau tunggu Athirah! Masa untuk kau pergi dari hidup Mikhail akan tiba tidak lama lagi, bisik hatinya sombong.

“Ala... Khai! You janganlah marah sangat. Sorry... okey! I tak sengaja tertolak Athirah masa nak keluar washroom hari tu. Lagipun kecederaan dia bukannya serius mana. Awek... you tu, manja sangat! Sikit-sikit nak mengadu. Dia kelentong tentang I pun you percaya,” ujar Masyitah dengan ala gediknya. Jari telunjuknya mencuit hidung mancung Mikhail.

Mikhail menepis tangan Masyitah.

“Cuba ulang balik apa yang you cakapkan tadi! I tak berapa nak dengarlah!” sinis Mikhail sambil mengepal penumbuk. Kecil sahaja Masyitah di matanya.

“I cakap... I tak sengaja tertolak dia,” ulang Masyitah lagi dengan muka bosan.

“You boleh kata you tertolak dia? You kata kesakitan yang Athirah alami hanya sedikit? Kalau dah cuti sakit sampai seminggu, sikit kepala otak you,” jerkah Mikhail geram. Ingin sahaja dilayangkan penumbuk ke muka Masyitah. Tetapi dia bukannya lelaki dayus.

“Yang you nak mengamuk tak tentu pasal dekat I ni kenapa? Macamlah perbuatan I tu boleh menyebabkan kekasih hati you tu mati! Lagipun apa buktinya yang I tolak dia? Dia berbohong ajelah dengan you. I tahu sangat... dia tu sengaja nak keruhkan persahabatan kita,” bentak Masyitah.

Menyinga muka Mikhail memandang Masyitah.

“You ni bercakap guna otak dekat kepala atau otak dekat lutut?” Kemarahan Mikhail sudah sampai kekemuncaknya. Sekiranya Masyitah tidak menjawab tadi, mungkin kemarahannya tidaklah semarak ini. “You jangan nak berbohong dan reka cerita. Kalau takde saksi, mungkin I akan percaya kata-kata you. Tapi ada saksi yang nampak you tampar dan tolak kekasih I,” ujar Mikhail sambil menyabarkan dirinya. Belum pernah lagi dia jumpa perempuan sebodoh dan sedungu Masyitah.

“Eleh! Mungkin saksi tu pun menipu dan reka cerita macam kekasih you. Entah-entah... kekasih hati you tu dah bayar dekat dia supaya memburuk-burukkan I,” ujar Masyitah getik. Benci sungguh Masyitah bila Mikhail menyebut perkataan kekasih dan sentiasa memenangkan Athirah. Bagi Masyitah, Athirah tidak layak menjadi kekasih Mikhail.

“You..!” Mikhail sudah menggenggam penumbuknya kembali. Masyitah dilihatnya semakin mengecil. Berang hatinya bila Masyitah sewenang-wenangnya menuduh Athirah. Nasib baik disabarkan Borhan. Jika tidak... ada yang bersepai gigi hari ini.

Borhan menarik Mikhail jauh dari Masyitah. Melihat kemarahan Mikhail, tidak mustahil Masyitah akan mendapat habuannya hari ini.

 “Baik kau pergi dari sini,” ujar Borhan kepada Masyitah. Dia tidak tahu berapa lama dia boleh menyabarkan Mikhail. 




DALAM kelas, Mikhail hanya mendiamkan diri. Lawak bodoh teman-temannya langsung tidak mampu menerbitkan tawa di bibirnya. Semangatnya sudah hilang dan tumpuan belajarnya juga sudah tiada.

“Rilekslah bro! Awek kau bukannya sakit nak mati, cuma terseliuh kaki je,” pujuk Borhan. “Kau jangan buat hal Khai, kita dah tahun akhir dan tak lama lagi nak periksa. Jika kau tak beri sepenuh tumpuan dalam kelas, macam mana? Aku rasa, Athirah pun tak suka kalau dia tahu kau macam ni.” Borhan memberi nasihat.

“Amboi, Hans!!! Mulut kau dah ambik insurans banyak-banyak? Nanti Masyitah tak makan kasut aku, kau pula yang dapat. Mati-mati jangan sebut ya... sensitif!” marah Mikhail.

Alala... kau janganlah marahkan aku! Aku gurau ajelah,” usik Borhan. Tersilap hari bulan lah pulak nak ajak bergurau. Bahu temannya ditepuk. “Esok kan cinta hati kau dah datang kuliah, tak akan mendung lagi kut?” giat Borhan lagi sambil tersengih. “Eh, Khai! Sanggup ke kau jadi driver dia setiap hari?”

“Kau nak tahu Hans, usah kata driver, lebih dari itu pun aku sanggup lakukan untuk dia,” ujar Mikhail. Wajahnya langsung tidak ceria. “Aku rindu sangat-sangat kat dia. Aku tak boleh nak bayangkan jika suatu hari nanti dia pergi dari hidup aku. Tiga hari tidak berjumpa pun dah terseksa, bagaimana untuk selamanya? Mahu mati aku ni,” ujar Mikhail sedih.

“Beristighfar banyak-banyak Khai. Jangan diikutkan sangat bisikan syaitan. Kita ni umat islam. Yang patut kita sayang, cinta dan utamakan lebih ialah ALLAH. Kedua... kita hendaklah sayang dan cintakan Rasulullah. Ketiga sebagai anak lelaki, kau kena taat dan patuh kepada ibu bapa selagi arahan mereka tidak bertentangan dengan syariat Islam. Dan yang keempat barulah untuk Athirah, itu pun jika dia sudah bergelar isteri kau.” Borhan mengingatkan sahabat baiknya. Bimbang juga dia jika Mikhail terlalu ikutkan perasaan.

“Sekiranya masa bercinta kau dah berikan seluruh hidup kau untuk Athirah, bagaimana jika suatu masa nanti dia benar-benar pergi dari hidup kau? Kita tidak tahu apa akan jadi esok hari, Khai. Ditakdirkan umi dan abi kau dah carikan jodoh untuk kau, kau nak buat macam mana? Tak pun... Athirah bertemu jodoh dengan orang lain, apa yang kau hendak buat? Kau nak bunuh dia? Atau kau nak bunuh diri sendiri?” Borhan cuba menyedarkan Mikhail tentang hakikat hidup.

“Aku rasa... ada baiknya kau simpan sedikit talian hayat untuk diri kau. Kau nak bercinta boleh, tapi janganlah sampai melebihi cinta kau kepada ALLAH.” Begitu panjang sekali nasihat Borhan untuk Mikhail.

“Terima kasih Hans, atas nasihat kau tu. Aku hargai sangat-sangat. Tapi aku tak tahulah nak kata apa. Memanglah ALLAH S.W.T dan Rasulullah S.A.W tempat teratas dalam hati aku. Umi dan abi aku, tempat yang seterusnya. Tapi aku memang tak boleh nak hidup tanpa dia. Sejak hati aku... dia curi, seluruh jiwa dan raga aku telah aku serahkan untuknya,” ujar Mikhail sendu.

Kalaulah kau tahu Hans, jodoh aku sememangnya sudah ditentukan oleh umi dan abi aku, apakah reaksi kau agaknya? Keluh Mikhail dalam hatinya.

“Bersabarlah Khai! Banyakan berdoa semoga jodoh kau dengan Athirah kuat dan kekal hingga ke akhir hayat,” ujar Borhan sambil menepuk bahu kawan karibnya itu. Tak sanggup rasanya dia melihat sinar kesedihan yang terpancar di mata itu.

Mikhail mengangguk lemah.

“Dahlah... jangan bersedih! Jom kita balik kolej. Nanti kelaparan pulak buah hati kau kat bilik tu.” Borhan cuba menceriakan Mikhail.

Ya ALLAH... sesungguhnya hidup dan matiku hanyalah untuk-Mu. KAU ampunilah segala dosa-dosaku dan KAU jauhkanlah aku daripada godaan dan bisikan syaitan. Ya ALLAH... sekiranya Athirah itu jodoh terbaik buatku, KAU satukanlah hati dan jiwa kami. Jika terjadi salah faham, maka KAU hindarkanlah kami dari fitnah dunia. Jika ada jurang antara kami, KAU rapatkanlah kami agar kami kekal bahagia hingga ke akhirnya. Sekiranya ditakdirkan Athirah itu bukan jodohku, KAU teguhkanlah keimananku Ya ALLAH. Agar  aku dapat tempuhi hidup ini dengan tenang dan aman tanpanya. Itulah doa dan harapan Mikhail.

Thursday 22 March 2012

Cinta Itu Milikku Bab 15









KOTA Keriangan Genting menyaksikan penyatuan dua hati. Dia bukan sahaja menerima lamaran cinta tetapi juga bertemu dengan suami yang selama ini tidak pernah dikenalinya. Athirah merasa amat bahagia dan gembira dengan kurniaan ini.
Sahabat baiknya merangkap teman sebilik dan sekelasnya juga tidak kurang hebatnya. Sungguh dia tidak menyangka begitu cepat sekali Fazlina menerima lamaran cinta daripada Borhan. Sedangkan mereka tidaklah serapat mana sebelum ini. Mungkin keperibadian Borhan menarik minat Fazlina dan cinta mereka berputik semasa Fazlina tidur di rumah pak cik Borhan tempoh hari. Emm... kena korek sampai lubang cacing kisah cinta mereka ni! Bisik hati Athirah. Tersenyum dia memikirkan segala yang berlaku dalam hidupnya kebelakangan ini. Begitu indah dan mengasyikkan.
Aisyah juga nampak rapat dengan budak engineering. Manakala Aina, rapat dengan budak sekelas mereka Faizul. Hanya Salmi sahaja yang masih solo. He... he... he... boleh buat kakak ipar aku nanti. Emm... siapakah abang-abangnya yang masih solo? Fikir... fikir... fikir...! Ujar Athirah sambil mengetuk-ngetuk kepala.
Abang Lan masih solo. Katanya ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjayanya terlebih dahulu. Selagi belum bergelar doktor pakar, dia tidak mahu memikirkan tentang perkahwinan. Kalau aku pujuk abang aku tu, agak-agak dia nak tak ikut cakap aku? Lagipun dia nak tunggu sampai umur berapa baru nak kahwin? Bukannya tak boleh jadi doktor pakar walaupun sudah berkahwin. Hisy... macam-macamlah abang aku yang seorang ni! Abang aku ni walaupun tampak ala-ala romantik gitu, tapi tegas yang amat. Jika dia kata tidak, maknanya tidaklah. Nanti... ada Si Salmi menjerut perasaan sekiranya berkahwin dengan dia. Ini bermakna Abang Lan reject daripada senarai pemilihan calon suami untuk Salmi.
Abang Man? Ustaz ni pandai ke bercinta? Aku tengok macam kayu je. Tak pernah lagi aku tengok atau dengar nama-nama perempuan meniti di bibirnya. Mungkin title ustaz yang disandang, membuatkan dia menjaga batas pergaulannya. Abang aku ni, seorang yang manja walaupun bukan anak bongsu. Kadangkala jeles juga aku bila dia bermanja dengan mak. Dia ni suka sangat berebut dengan aku baring atas riba mak. Mungkin sebab terlantar jauh bertahun-tahun kat Timur Tengah menyebabkan perasaan rindunya menebal. Tapi dah bertahun balik, tak akanlah tak hilang lagi perasaan rindu tu? Agaknya kalau dah kahwin nanti dan tiba-tiba bergaduh dengan isteri dia, ada tak dia keluarkan ayat macam ni... “Ayang... kalau awak dah tak cintakan abang lagi, tolong hantar abang balik ke rumah mak bapak abang!” Hu... hu... hu... tak ke niaya Salmi nanti? Setiap kali bergaduh dan merajuk je nak balik rumah mak. Abang Man akan disaring sekali lagi. Andai benar-benar layak baru dipertimbangkan untuk Salmi.
Abang Tam? Emm... memang cocok dan padan dengan Salmi! Tapi single lagi ke orang tua tu? Sekiranya balik kampung, tak sah kalau takde orang perempuan yang telefon dia. Kadangkala sampai empat atau lima orang yang telefon dalam sehari. Dan aku pula, terpaksa menjadi operator telefon bimbit tidak bergaji untuknya. Bila aku tanya... kawan satu ofis, kawan satu universiti dan klien syarikat tempat dia bekerja. Pernah juga dia paksa aku menyamar jadi teman wanita dia. Ketika itu, dia hendak melarikan diri daripada seorang perempuan yang pakai baju tak cukup kain.
Seandainya aku kenenkan dengan Salmi, dia nak tak? Aku rasa mesti dia tak membantah. Aku kan adik kesayangan dia dan banyak membantu dia menyelamatkan diri. Tak akanlah dia tak sanggup berkorban untuk aku? Tapi kesian pulak Si Salmi, asyik kena tinggal setiap masa. Maklumlah bidang kerjanya selalu buat dia keluar daerah. Kiranya Abang Tam calon teratas untuk menjadi bakal suami Salmi.
Otak Athirah juga ligat memikirkan kenapa abang-abangnya masih belum berkahwin? Dari segi rupa paras, tidak ada cacat celanya. Masing-masing juga berjawatan tinggi dan bergaji besar. Mungkin abang-abangnya ini jenis takut perempuan. Tak pun perempuan yang takut nak dekati mereka.
Sedang asyik memikirkan masalah mencari jodoh untuk Salmi, pintu biliknya terbuka. Terjengul muka Fazlina dengan wajah yang berseri-seri.
“Amboi-amboi... orang baru balik dating! Tersenyum simpul nampak?” giat Athirah. “Eh... sejak bila hah, kau rapat dengan Abang Hans?” Athirah memulakan misi mengorek rahsia.
“Mana ada! Kami sekadar kawan biasa ajelah,”  ujar Fazlina menutup rahsia.
“Kau ni... bercakap dah macam artis,” ejek Athirah. “Mana ada... kami hanya kawan biasa aje. Eh... takdelah! Kami ni teman... tapi mesra.” Athirah mengajuk kata-kata Fazlina dan sesetengah artis di Malaysia. Mulutnya juga sudah mencebik.
Fazlina tersenyum kelat mendengar sindiran Athirah.
Hey... kau tahu tak? Itu semua ayat skema dan lapuk. Sekiranya orang lain dengar, mereka pun naik boring dengar ayat yang sama. Kawanku sayang... kau ingat aku ni budak kecik yang kau boleh gula-gulakan? Baik kau bagi tahu aku sekarang! Kalau tidak... aku korek rahsia kau dengan abang sayang aku nanti.” Athirah mula mengugut. Senyuman nakal mula tersungging di bibirnya.
Hisy.... kau ni, suka main ugut-ugut! Perangai sebiji macam abang sayang kau. Ni mesti sedikit sebanyak, kau tuntut ilmu daripada dia, kan?” Fazlina mengeluarkan aura tidak puas hatinya.
Athirah menunjukkan barisan giginya. Tersengih!
“Kau ingat tak... masa aku ikut Borhan balik rumah pak cik dia? Masa tulah dia berkenalan dengan aku. Tapi kami betul-betul serius masa kat Genting.” Tak sampai hati pula dia nak berahsia dengan sahabat baiknya itu.
“Oh... patutlah kau orang berdua nampak pelik bila teman aku dating! Rupa-rupanya kita sama-sama berdating. Bila aku tanya masa kat Genting tentang cincin kat jari kau tu, tak mengaku. Mati-mati kau nafikan Borhan yang bagi.” Athirah memuncungkan mulutnya merajuk.
“Ala... Athirah! Kau janganlah merajuk. Aku bukannya tak nak bagi tahu kau, tapi aku  malu. Nanti semua orang kata... kita berdua sengaja nak rebut lelaki popular di kampus. Lagipun aku malulah sekiranya hubungan kami ini tak sampai ke mana.”
“Habis tu aku tak malu, jika hubungan aku dan Mikhail terkandas? Aku pun takut sebenarnya. Si Masyitah tu macam nak buat aku musuh dia sahaja. Andai selisih dengan aku, macam hendak ditelannya aku hidup-hidup. Bercinta dengan lelaki kacak dan popular ni berisiko sebenarnya,” luah Athirah sambil menatap wajah sahabatnya. “Kita dah sanggup terima cinta mereka, jadi terpaksalah terima kesudahan episodnya. Sama ada happy atau sad ending!” tutur Athirah dengan nada sedih. Mampukah dia menghadapi hari-hari mendatang jika ditakdirkan dia dan Mikhail akan terpisah suatu hari nanti?
“Kita berdoa sajalah Athirah, semoga ALLAH lindungi cinta kita. Seandainya dah ditakdirkan dia jodoh kita, macam mana kita tolak, dia tetap datang juga. Katakanlah, kau putus cinta dengan Mikhail lepas ni, andai memang sudah tertulis di Loh Mahfuz yang Mikhail tu jodoh kau, kau tetap akan bersamanya kembali walau banyak mana dugaan dan cabaran yang melanda,” pujuk Fazlina bukan sahaja untuk Athirah tetapi juga untuk dirinya sendiri.


TELEFON bimbit Athirah berbunyi. Lantas butang hijau ditekan tanpa melihat terlebih dahulu pemanggilnya.
“Assalamualaikum...”
Wajah Athirah berubah serta-merta sebaik saja mendengar suara orang di sebelah sana memberi salam. Alamak!!! Macam mana boleh terlupa nak telefon dia hari ini? Habislah kena bebel lepas ni..., getus Athirah.
“Helo, sayang! Helo... sayang abang yang cantik manis, ayu jelita, ada ke tak tu? Senyap aje! Salam abang pun tak berjawab.” Suara romantis Mikhail memecah gegendang telinga Athirah.
“Waalaikumsalam. Abang... sorry!!! Lupa sangat-sangat nak telefon abang. Abang tengah buat apa tu?” Athirah bersuara manja. Sebenarnya dia bimbang jika Mikhail membebel. Sebelum mendengar ceramah Mikhail di tengah hari, ada baiknya dia jadi kucing siam sekejap. Mikhail kalau membebel mengalahkan Si Salmi.
“Takpe... abang tak marah! Sekarang abang tak buat apa-apa. Tapi sekejap lagi abang nak keluar, ada study group. Sayang dah makan?” soal Mikhail.
Sejak Athirah diserang gastrik dan hampir kena tahan di wad, dialah yang sentiasa mengingatkan gadis itu tentang waktu makannya. Athirah kalau sudah belajar, waktu makan diabaikannya. Ini yang membuatkan Mikhail selalu runsing apabila dia tamat belajar kelak. Siapa yang hendak diharapkan menjaga kekasih hatinya itu?
“Belum makan lagi. Tengoklah macam mana nanti. Kalau rajin... sayang pergi makan. Jika tak... makan biskut pun dah cukup,” ujar Athirah acuh tak acuh. Dia sebenarnya malas hendak ke kafe.
“Sayang bersiap, sekejap lagi abang ambik. Jangan nak tengok-tengok atau rajin ke tidak. Waktu makan, kena makan. Jangan sekali-kali cuba abaikan atau pandang remeh,” marah Mikhail. Itu yang dia risaukan. Athirah tidak pernah fikirkan tentang kesihatannya sendiri. “Sebelum itu, sayang temankan abang pergi study group. Lepas tu, abang bawa sayang pergi makan. Lagipun Borhan bawa Fazlina sekali. Mana adil sekiranya abang tiada pasangan.”
“Ha... bercakap tentang Borhan dan Faz! Kenapa abang tak bagi tahu sayang, mereka ada affair?” marah Athirah pula. 
Mata Fazlina sudah membuntang memandang Athirah.
Athirah tersenyum kambing.
“Bukan abang tak nak bagi tahu. Tapi apa hak abang hendak menerombosi privasi orang lain? Sayang pun tak suka kan... kalau orang lain mengganggu privasi sayang? Sayang pergi siap ya. Setengah jam lagi abang sampai.” Mikhail memujuk buah hatinya.
Sejak berkasih dengan Athirah, dia sudah faham rentak buah hatinya itu. Athirah kuat merajuk dan manja. Sekiranya sudah merajuk dan tak kena cara pujukannya, jangan harap dia boleh mendengar suara Athirah yang merdu tu. Jika Athirah tengah marah, dia lalu di sebelah Athirah pun Athirah buat tak kenal.
“Kehadiran sayang tak mengganggu ke kawan-kawan abang yang lain? Nanti kalau ada kawan abang yang tak suka macam mana?” tanya Athirah. Athirah bimbangkan Masyitah. “Tentu ada rakan perbincangan abang yang tak suka sekiranya sayang turut serta.” Athirah mencipta alasan. Dia tidak betah jika Masyitah ada bersama.
“Tak ada mengganggunya! Malahan dengan adanya sayang, tentu abang lebih bersemangat hendak belajar dan idea pun mesti datang mencurah-curah. Lagipun semua kawan abang, sayang kenal dan rapat. Tentu mereka tak kisah punyalah. Entah-entah semuanya datang berteman. Beritahu abang... siapa yang tak suka dan berani marahkan sayang abang ni? Biar abang belasah dia.” Mikhail bertanya. Dia ingin tahu juga jika ada di kalangan rakan-rakannya yang tidak puas hati dengan gadis kesayangannya itu.
 “Takde sesiapa pun yang marah dan tak suka,” balas Athirah. Athirah tidak akan memberitahu siapakah gerangannya yang tidak suka dia mendekati Mikhail. Dia tidak mahu Mikhail bermasam muka dengan rakan-rakan karibnya. “Okeylah abang, sayang nak bersiap ni, nanti lambat pulak.” Athirah akhirnya menyetujui rancangan Mikhail.
“Jangan lupa pakai blouse warna merah dan skirt putih yang abang hadiahkan hari tu,” pesan Mikhail.
Emm... baiklah!” Itu mesti nak suruh aku pakai baju sama warna dengan dia. Kadangkala dah macam boria jikalau keluar berdua. Itulah trademark mereka. Satu fakulti dah tahu.
“Amboi... kau risik juga tentang aku daripada abang sayang kau ya?” rungut Fazlina tidak puas hati.
“Alah... bukannya dia bagi tahu pun! Dia kata, tak baik ganggu privasi orang lain. Dahlah... aku nak bersiap! Nak tengok kau orang berdating!” giat Athirah.
Muka Fazlina merona merah bila diusik Athirah.


KETIKA mereka tiba, rakan-rakan Mikhail yang lain sudah pun menunggu. Mikhail dan Borhan mengambil tempat duduk masing-masing. Kelihatan di situ, Masyitah, Zeck, Kak Azah isteri Zeck dan Farah sedang berbual-bual. Melihat renungan tajam Masyitah, Athirah jadi tidak selesa.
Jangan risau Athirah, Mikhail itukan suami kau. Masyitah tu bukan siapa-siapa dalam hidup Mikhail. Kau jangan takut dan bimbang. Mikhail pasti akan melindungi kau, bisik hati Athirah. Sepanjang perbincangan berlangsung, Athirah sering menangkap jelingan maut Masyitah.
“Abang... sayang nak pergi tandas sekejap,” bisik Athirah.
Temannya Fazlina sudah hilang entah ke mana bersama Kak Azah. Kata mereka, hendak membeli air dan sedikit makanan ringan. Athirah ingin menyertai mereka, tapi Mikhail tidak izinkan. Sebagai isteri solehah, dia harus mentaati suaminya.
“Nak abang temankan?” bisik Mikhail dengan suara menggoda.
“Jangan nak menggatal kat sini boleh tak?” bisik Athirah sambil mencubit lengan Mikhail.
Mikhail tertawa senang.
“Jangan lama-lama. Nanti abang rindu bila Barbie doll abang tiada di depan mata. I love you with all my heart,” bisik Mikhail sambil tersenyum dan mengenyit matanya.
Athirah tersenyum dan geleng kepala. Makin hari, makin nakal suaminya ini.
Kepala Masyitah semakin berasap apabila Mikhail tanpa segan silu mengusik dan bermanja dengan Athirah. Dia memandang dengan perasaan sebal. Adegan romantik itu mengganggu konsentrasinya hendak melakukan perbincangan. Dia tidak menyangka Mikhail boleh jatuh ke tangan budak hingusan yang tidak tahu bergaya dan kekampungan itu. Apa kurangnya dia hingga Mikhail tidak memandangnya walaupun sebelah mata?
Mikhail yang dulunya sedingin ais terhadap perempuan, kini bertukar menjadi seorang yang sangat romantik dan penyayang. Paling Masyitah tidak puas hati, Mikhail selalu  melebihkan Athirah dalam setiap hal. Jika dulu, sukar hendak melihat senyuman Mikhail. Tapi kini, senyuman menawan sentiasa menghiasi bibir merah itu. Hinggakan satu ketika dulu, Masyitah sanggup membayar sejumlah wang jika Mikhail tersenyum padanya.
Mikhail yang dulu hanya melayan dan bergelak ketawa dengan rakan lelakinya sahaja. Kaum perempuan di kampus langsung tidak dipandangnya. Tapi sejak berkasih dengan Athirah, karektor Mikhail berubah seratus peratus. Semua orang, dia beramah mesra. Mikhail juga sentiasa ceria dan semangatnya bertambah berlipat ganda. Kata Mikhail, dia perlu berusaha gigih dari sekarang kerana tidak lama lagi dia ingin membina sebuah keluarga. Dia mahu zuriatnya bangga kerana mempunyai seorang bapa yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga dalam hidup. Begitu besarkah kesan Athirah dalam hidup Mikhail? Masyitah tidak boleh terima jika Mikhail jatuh ke tangan orang lain.


ATHIRAH membelek penampilannya di cermin. Lamanya jiran sebelah aku ni memerap kat dalam tu! Dia buat apa ya? Sakit perut ke? Gumam Athirah. Atau dia buang anak dalam tandas? Habis tu lama sangat! Bisikan-bisikan jahat mula bermaharajalela dalam hatinya. Hisy... tak baik Athirah bersangka buruk dengan orang, desis hatinya. Lantak dialah nak buat apa. Jangan menyusahkan aku sudah, omel Athirah dalam hatinya lagi. Ketika dia hendak keluar, tiba-tiba pintu tandas ditolak kasar.
“Oh... kat sini rupanya budak kampung! Hey... dengar sini baik-baik budak kampung! Aku nak kau jauhkan diri daripada Mikhail. Kalau tidak... kau jangan menyesal!” ujar Masyitah kasar dengan nada mengugut. Masyitah menampar dan menolak Athirah hingga terjatuh. Senyuman sinis dilemparkan buat Athirah sebelum berlalu pergi.
Fazlina yang mendengar kekecohan yang berlaku hanya mendiamkan diri. Dia ingin lihat sejauh mana tindakan Masyitah terhadap Athirah. Sebenarnya dia sudah lama siap dan ingin keluar. Melihat rakan baiknya sibuk menggayakan tudung dan lihat penampilan diri, dia hanya mengintai di balik pintu dan berhasrat ingin mengejutkan Athirah dari belakang. Belum sempat dia berbuat demikian, Masyitah masuk dan menyerang Athirah. Fazlina fikirkan hanya berlaku perang mulut sahaja. Dia tidak menyangka Masyitah sanggup bertindak sejauh itu kerana seorang lelaki.
“Athirah... kau tak apa-apa?” tanya Fazlina kalut apabila melihat rakan baiknya mengerang kesakitan.
“Kaki aku sakit. Aku tak boleh bangun. Kau tolong aku berdiri Faz.”
Muka Athirah sudah berkerut-kerut menahan kesakitan. Athirah berpaut pada bahu Fazlina, tetapi kudrat Fazlina yang tidak sekuat mana menyebabkan dia terjatuh sekali lagi. Athirah terjerit dan menangis kesakitan. Kesakitan yang dialaminya semakin bertambah.
Athirah dapat rasakan kakinya yang terseliuh semasa jatuh pokok rambutan dulu sudah semakin teruk. Abang Roslannya telah berpesan supaya berhati-hati dan jangan sampai terjatuh atau tercedera. Jika tidak... kakinya mungkin akan disimen. Dia tidak pasti sama ada abangnya bercakap benar atau sekadar ingin menakutkannya sahaja. Teruk Abang Rostamnya kena marah kerana disangkakan penyebab dia terjatuh. Kesian Abang Rostam! Pada hal dia juga tercedera ketika itu.
“Kau tahan sikit ya... aku telefon Borhan. Aku tak larat nak angkat kau. Nanti kalau jatuh sekali lagi tentu kecederaan kau bertambah teruk,” ujar Fazlina. Dia semakin runsing melihat muka sahabatnya yang berkerut-kerut.
“Helo, abang! Boleh ajak Abang Khai datang washroom kat ‘sayap kiri’ tak? Athirah jatuh, kena tolak dengan Masyitah tadi. Athirah tak boleh berdiri, kakinya sakit. Mungkin terseliuh.” Fazlina terus mengadu.
Athirah membulatkan biji matanya pada Fazlina.
“Kenapa kau cakap macam tu Faz? Nanti bergaduh pula Mikhail dengan Masyitah. Kau tahulah perangai Mikhail tu macam mana. Aku tak makan pun dia dah bising, inikan pulak tercedera. Aku takut Masyitah semakin berdendam dengan aku.”
“Kau janganlah bimbang! Mikhail kan ketua pelajar, tak akanlah dia nak buat sesuatu tanpa berfikir panjang. Tahulah bagaimana caranya Mikhail hendak mengendalikan masalah  ini. Lagipun orang macam Masyitah tu memang patut kena ajar. Suka hati dia aje nak serang orang. Dia ingat dia tu dah bagus sangat?” Dalam sabarnya Fazlina, tercetus juga api kemarahan bila teman baiknya diserang dan tercedera. Sayang sungguh dia pada Athirah.
Mendengar ketukan, Fazlina dengan pantas membuka pintu tandas.
Mikhail menyerbu masuk dan terus mencempung Athirah. Perasaan marahnya terhadap Masyitah sudah tidak dapat dibendung lagi. Mikhail sangkakan kecederaan Athirah hanya sedikit dan Athirah sekadar ingin bermanja dengannya. Tetapi bila mendengar Athirah mengerang dan menitiskan air mata semasa dia mengangkatnya tadi, tahulah Mikhail kesakitan Athirah bukan kepalang. Sepanjang dia mengenali Athirah, gadis itu hanya manja tetapi tidak cengeng. Kau tunggu pembalasan aku, Ita. Sekali kau sakiti insan yang aku sayang, sepuluh kali ganda kau akan merasa pedihnya, ikrar Mikhail dalam hatinya.
Mikhail mendudukkan Athirah dan memeriksa pergelangan kaki Athirah yang semakin merah dan membengkak. Mikhail meminta rakan baiknya Borhan dan Fazlina menjaga Athirah seketika sementara dia mengambil kereta.
“Hans... kau teruskan perbincangan! Aku nak bawa Athirah pergi klinik.”
“Tentang perkara tu kau jangan risau,” ujar Borhan sambil menepuk lembut bahu sahabatnya.
Melihat keruhnya air muka Mikhail, dia tahu Mikhail sedang membendung perasaan marah yang hampir meletup. Jika dia pun akan mengamuk bila insan yang dia cintai tercedera kerana perbuatan orang lain. Borhan tahu Masyitah cemburukan Athirah. Dia bimbang jika Masyitah bertindak lebih jauh selepas ini.
“Si Masyitah tu macam mana?” bisik Borhan.
“Pasal itu kau jangan bimbang, aku uruskan kemudian. Aku pergi dulu,” ujar Mikhail. 
Mikhail mencempung Athirah menuju ke keretanya.
“Sayang tahan sikit ya. Sekejap lagi kita sampai klinik,” pujuk Mikhail.
Kekalutan Mikhail seperti Athirah mengalami kecederaan yang serius. Kecoh klinik milik kawan uminya dengan aksi Mikhail. Mujurlah tiada siapa yang mengenali mereka.


ATHIRAH tertawa bila mengingatkan kekalutan Mikhail ketika di klinik tadi. Dia menceritakan detik-detik cemas dan kelakar itu kepada rakan-rakan karibnya.
Nurse tolong... isteri saya sakit,” jerit Mikhail.
Nurse... boleh cepat sikit tak, buat kerja tu? Kalau berlaku apa-apa ke atas isteri saya, saya saman awak dan klinik tempat awak bekerja ni!” ugut Mikhail.
“Apalah Pak Cik Nasir ni, pekerja yang lembab macam ni pun nak simpan lagi. Kalau aku, dah lama suruh hantar surat resign,” omel Mikhail tak henti-henti.
Naik kasihan Athirah melihat wajah nurse itu. Dari tadi asyik dileteri oleh Mikhail. Ada sahaja yang tidak kena di mata lelaki itu.
“Encik baringkan isteri encik di sini dulu. Saya panggilkan doktor,” ujar nurse tersebut.
“Isteri encik sakit nak bersalin ke?” Doktor lelaki yang berusia lingkungan 50an itu bertanya bila melihat Athirah mengerang kesakitan dan Mikhail tidak sudah-sudah memujuk Athirah supaya bersabar.
“Nak bersalin?” Mikhail memandang pelik ke arah doktor yang bakal merawat Athirah sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bila masa pulak aku dengan Athirah...? Adoi... kenapalah kat klinik Pak Cik Nasir ni ramai sangat manusia yang pelik-pelik? Mikhail mengomel dalam hatinya.
Belum sempat Mikhail meneruskan kata-katanya, doktor tersebut menyampuk.
“Kami tidak menyediakan perkhidmatan tersebut di sini. Encik terpaksa bawa isteri encik ke hospital dengan segera. Jika tidak... isteri encik akan bersalin dalam kereta. Ini akan merumitkan lagi keadaan,” sambung doktor tu lagi. Mungkin dia tidak memahami apa yang Mikhail cuba sampaikan tadi.
“Doktor, isteri saya bukannya nak bersalin, tapi kakinya terseliuh, jatuh bilik air.” Mikhail memperbetulkan tanggapan doktor tersebut.
Mikhail terpaksa meneruskan panggilan isteri untuk Athirah. Semasa menguruskan pendaftaran Athirah tadi, dia tersasul menyebut perkataan isteri. Sememangnya dia selalu menggunakan perkataan isteri bila berdua-duaan dengan Athirah. Dia selalu berkata, cantik isteri abang hari ini. Isteri abang merajuk ke...? Bermacam-macam lagi ayat yang dia gunakan ketika bergurau atau memujuk Athirah.
“Oh... saya ingat isteri encik sakit nak bersalin tadi! Macam mana boleh jatuh ni? Sebelum ini pernah terjatuh?” tanya doktor itu kembali. Tangannya menekan kaki Athirah.
“Tadi saya tergelincir di bilik air. Sebelum ni saya pernah jatuh pokok,” ujar Athirah sambil menahan kesakitan.
Terlopong mulut Mikhail bila mendengar Athirah pernah jatuh pokok. Dia yang lelaki pun belum pernah panjat pokok.
“Hebat juga isteri awak ni! Siap panjat pokok lagi. Lepas ni, awak kena pastikan isteri awak tidak buat sebarang aktiviti lasak. Pastikan juga dia tidak jatuh lagi dalam masa terdekat,” pesan doktor tersebut. “Baiklah, saya nak balut kaki dia untuk kurangkan kesakitan. Awak tolong pegang isteri awak elok-elok,” arah doktor yang bernama Samad.
Athirah menghadap mukanya ke dada bidang Mikhail. Dia memeluk erat lengan Mikhail untuk mengurangkan kesakitan. Tentu merah lengan Mikhail kena cengkam dengannya.
“Abang sakit!” rengek Athirah.
“Sabar sayang... sikit je. Tahan ya!” ujar Mikhail sambil mengusap lembut kepala Athirah.
Belaian dan sentuhan lembut Mikhail dapat meredakan sedikit kesakitan Athirah. Haruman yang dipakai Mikhail bagaikan terapi buat dirinya.
“Bahaya betul abang kau. Berani sungguh dia buat statement yang kau dengan dia suami isteri. Kalaulah ada budak kampus kita yang dengar, tak ke haru? Ada yang kata kau berdua kahwin senyap-senyap. Sudahlah kau berdua dapat jolokan Couple Of The Year,” usik Aisyah.
“Aku pun naik terkejut Aisyah, bila dia cakap macam tu. Tapi nak buat macam mana, dah memang perangai dia begitu, suka buat lawak tak bertempat,” ujar Athirah. Tapi memang dia suami aku pun, bisik hati kecilnya.
“Jomlah kita balik bilik. Dah lama sangat kita kat sini. Kesian Athirah, dia mesti nak berehat,” ujar Salmi.
“Terima kasih Kak Salmi kerana memahami keadaan adik ipar kau ini,” usik Athirah.
Hisy... nakalnya! Tak padan dengan sakit, masih lagi nak bergurau. Bila masa aku kahwin dengan abang kau?” tanya Salmi. Lantas lengan Athirah dicubitnya.
“Tak lama lagi jadilah kakak ipar aku. Kau nak yang mana satu? Doktor, ustaz atau arkitek?” sakat Athirah lagi.
“Sudahlah! Malas aku nak layan kau. Dulu... Mikhail pening sebab kena baling botol dengan kau. Sekarang ni kau pulak yang pening, lepas kena tolak dengan Masyitah. Memang betullah jodoh kau dengan Mikhail. Sama aje kepala, suka kenakan orang,” usik Salmi sebelum berlalu.
“Kau rehat ya, Athirah. Sekiranya kau nak apa-apa, jangan segan beritahu aku. Jika kau nak suruh aku belasah perempuan berlagak tu pun aku sanggup,” ujar Aina. Aina memang terkenal dengan sikap antinya terhadap Masyitah. Semuanya bermula sejak minggu orientasi lagi. Masyitah selalu mencari kesalahan mereka satu kumpulan. Apa sahaja yang kumpulan mereka lakukan mesti mendapat kritikan.