Assalamualaikum....

Buat semua pengunjung yang disayangi dan dihormati....
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa melawat Bingkisan Hati Setulus Kasih. Mudah-mudahan anda semua terhibur membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Ilham yang dipersembahkan dalam Bingkisan Hati Setulus Kasih adalah imaginasi semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Sekiranya ada yang terkena batang hidung tu harap maaf. Itu adalah tidak disengajakan, hehehe....

Sekiranya terdapat kebersamaan dalam penulisan, itu berlaku di luar bidang kuasa. Idea yang datang secara spontan diluahkan mengikut cetusan rasa.

Sebarang aktiviti menciplak atau meniru idea adalah dilarang sama sekali. Haaa... tak baik tau, curi-curi niee...!!!

Pastikan anda semua menunaikan solat terlebih dahulu sekiranya waktu solat sudah masuk ya...

Sayang anda semua. Muah... Muah...

Followers

Tinggal Link Blog Korang

Tuesday 28 February 2012

Cinta itu Milikku - Bab 10


SEPERTI yang dijanjikan, Athirah akan keluar makan malam bersama Mikhail, Borhan dan Fazlina. Athirah mengenakan jeans hitam dan blouse berwarna putih serta bertudung putih. Dia mencalit pelembab bibir dan menyapu bedak Nutri Metics di pipinya. Berpuas hati dengan penampilannya, Athirah turun ke bawah bersama Fazlina.
“Hati-hati tuan puteri berdua, jangan sampai ikut putera impian bermalam di hotel sudahlah,” usik Aina.
Salmi dan Aisyah hanya tersenyum penuh makna.
“Sudahlah kau orang!” marah Athirah. “Kami bukannya nak pergi mana-mana. Sekadar keluar makan sahaja,” bidas Athirah. Dia tidak suka dengan gurauan sahabat karibnya itu.
“Mula-mula memanglah pergi makan. Takut lepas tu melencong ke lain,” sakat Aisyah pula.
Fazlina hanya menggeleng dan tersenyum mendengar usikan nakal kawan-kawan baiknya. Malas dia hendak lawan bertekak. Buat sakit jiwa aje!
“Beranilah dia orang nak buat perkara tak senonoh! Ada nanti yang tak merasa dapat zuriat. Siapa yang susah? Mereka dan keluarga mereka juga!” seloroh Athirah sambil ketawa.
Salmi, Aisyah, Aina dan Fazlina juga turut ketawa kelucuan mendengar lawak selamba Athirah. Setelah tawa mereka reda, Athirah menyambung kembali kata-katanya.
“Kau orang jangan berkecil hati ya. Aku bukannya tak nak bawa kau orang. Tapi kau orang tahu ajelah kereta Mikhail tu macam mana. Tak muat nak sumbat kita semua. Nanti aku ajak abang aku datang sini, aku belanja kau orang makan. Janganlah sedih-sedih,” pujuk Athirah sambil merenung sahabatnya yang sudah menunjukkan muka satu sen.
“Kami turun dulu, nanti bising pulak Mikhail dengan Borhan,” ujar Athirah.
Athirah mendapatkan Mikhail yang sedang bersandar di pintu kereta.
“Assalamualaikum. Sudah lama menunggu?” Athirah menegur Mikhail yang sedang tersenyum menawan.
“Waalaikumsalam...”
Sejuk hati Mikhail mendengar suara buah hatinya itu. Walaupun Athirah belum diangkat secara rasmi sebagai kekasihnya, namun Mikhail bersyukur kerana Athirah tidak lagi bermasam muka dengannya. Antara mereka juga, sudah tiada lagi perang dingin atau bertikam lidah. Harap-harap selepas ini, tiada lagi tercetus tegang urat antara mereka. Mikhail juga tidak mahu tergesa-gesa memberitahu hasratnya pada Athirah. Dia bimbang jika Athirah kembali dingin. Biarlah dia pendamkan sahaja dahulu.
“Mana Abang Hans?” Athirah bertanya. Kepalanya terjenguk-jenguk ke dalam kereta.
“Tu... kat seberang sana!” Panjang muncung Mikhail menunjuk kereta Borhan.
“Fazlina naik dengan Abang Hans boleh? Kesian pulak dia pandu seorang diri,” pinta Mikhail.
“Kenapa naik kereta berasingan? Bukan ke kita nak keluar makan sekali?” tanya Athirah. Athirah sebenarnya kurang selesa keluar bersama Mikhail. Dia khuatir jika terserempak dengan keluarga suaminya. Dia juga bimbang jika terjatuh sayang pada Mikhail, sedangkan ada tembok tinggi yang menghalang untuk dia membina impian.
“Asalnya memang begitu. Tetapi selepas makan, Borhan kena pergi rumah pak cik dia di Taman Maluri. Ada hal sikit.”
“Faz... kau tak kisahkan naik kereta dengan Abang Hans?” Athirah risau sekiranya Fazlina tidak selesa. Melihat anggukan temannya, Athirah tersenyum mengusik. “Tapi... jangan lebih-lebih pulak ya?” bisik Athirah sambil tersenyum nakal.
Fazlina mencubit lengan Athirah sebelum bergerak ke kereta Borhan. Geram sungguh rasa hatinya bila diusik sebegitu oleh Athirah. Malu pada Mikhail, satu hal!
“Aduh!” Athirah terjerit kecil.
“Kenapa sayang?” Mikhail sedikit kalut. Risau juga dia jika Athirah tiba-tiba jatuh sakit.
“Takde apa-apa! Cuma ada ketam terlepas sangkar! Tu yang asyik nak menyepit aje,” ujar Athirah sambil menggosok lengannya yang sedikit perit.
“Macam-macamlah sayang ni. Buat terperanjatkan abang aje!” luah Mikhail. “Dah masuk kereta. Penat tangan abang duk buka pintu dari tadi, tapi buah hati abang ni tak reti-reti nak masuk,” usik Mikhail.
Athirah menjeling Mikhail sepintas lalu. Kenapalah dia ni makin aku pandang makin hensem? Nasib baik bukan suami aku! Mahu jeles tahap meroyan jika ada yang pandang-pandang dan jeling-jeling kat dia, getus Athirah.
 Tampannya dia dengan t-shirt putih dan jeans hitam, omel Athirah dalam hatinya. Apa aku kata tadi? Baju putih? Jeans hitam? Athirah menilik baju yang tersarung di tubuhnya. Aikk... dia pun pakai baju putih juga? Dia ni mengintai aku pakai baju ke tadi? Bisik hati kecil Athirah sambil menggaru kepalanya.


SUASANA sepi yang mengiringi perjalanan mereka tadi, kini bertukar ceria. Celoteh DJ radio dan alunan muzik menyemarakkan lagi suasana yang agak sunyi seketika tadi. Sesekali Mikhail menjeling Athirah. Melihat Athirah keresahan, Mikhail tahu dia perlu menghidupkan suasana supaya Athirah tidak kekok berada di sampingnya.
“Cantik sayang malam ni, terpegun abang dibuatnya,” puji Mikhail sambil matanya melirik ke arah Athirah. Ringan sahaja tangannya hendak menggenggam jemari runcing itu. Baru sahaja tangannya hendak menyentuh tangan Athirah...

Boleh  pandang-pandang
Jangan pegang-pegang
Duduk renggang-renggang
Bertambah sayang

Hisy... DJ ni! Takde lagu lain ke... nak putarkan masa ni? Macam tahu-tahu aje apa yang aku nak buat. Tak sporting langsung! Bisik hati Mikhail. Mukanya sudah kemerahan menahan malu. Harap-harap Athirah tidak perasan dengan tindakannya tadi. Tentu malu besar jadinya jika ketahuan. Pasti Athirah akan melabelkan dirinya sebagai lelaki yang tidak bermoral dan suka mengambil kesempatan ke atas perempuan. Dan Athirah pasti membenci dirinya.
Mikhail menarik nafasnya panjang-panjang dan bereaksi seperti biasa.
“Sayang nak makan kat mana malam ni? Abang sedia jadi pemandu peribadi sayang. Sayang cakap sahaja nak pergi mana, abang akan bawa. Suruh pandu ke rumah tok kadi sekarang ni pun, abang sanggup.” Mikhail mengusik. Matanya melirik Athirah.
Bercakap tentang tok kadi, teringat Mikhail peristiwa yang berlaku beberapa tahun dahulu. Argh... buat apa hendak dikenang peristiwa yang pernah membunuh semangat aku itu? Jangan harap aku akan menoleh ke belakang lagi. Apa yang ada di depan mata perlu aku rebut,  bisik hati Mikhail.
Laju sahaja tangan Athirah mencubit pinggang Mikhail. Mukanya sudah merona merah mendengar usikan nakal Mikhail. Dia juga semakin tidak selesa bila Mikhail asyik menjeling ke arahnya sambil tersengih seperti kerang busuk.
“Saya tak kisah makan kat mana-mana. Tapi jangan jauh sangat dari kolej. Nanti lewat pula kita balik,” ujar Athirah  malu-malu. Cantik sangat ke aku ni? Dari tadi duk jeling-jeling. Nak kena cucuk biji mata agaknya!
“Bukan saya, tapi sayang! Jangan buat kesilapan lagi, nanti abang denda,” ugut Mikhail.
Dari kaca mata Athirah, sesiapa yang menjadi pasangan Mikhail memang beruntung. Mikhail bukan sahaja kacak malah berada. Paling buat hati Athirah cair, lelaki itu sering memanggilnya sayang. Mikhail benar-benar romantik. Kalaulah suami misterinya itu seperti Mikhail, kan best! Tentu aman bahagia dan sentosa hidup. Syoknya jika Mikhail ni suami aku! Gumam Athirah.
Athirah... kau jangan nak berangan dan menggedik boleh tak? Dulu masa Mikhail kata kau gedik, kau tak mengaku! Marah Athirah pada dirinya sendiri. Ingat Athirah... sebelum kau kecewa dan menderita, kau perlu simpan dalam kepala otak kau, jangan sesekali jatuh cinta dengan Mikhail. Kau dengan dia hanya berlakon sebagai kekasihnya, tidak lebih dari itu. Yang paling penting dan perlu kau ingat, kau tu milik orang. Berdosa... Athirah... berdosa...! Nasihat Athirah pada diri sendiri.


MEREKA akhirnya tiba di sebuah restoran masakan Thai yang agak popular di kalangan pelajar kampus. Ketika mencari tempat kosong untuk melabuhkan punggung, telefon bimbit Mikhail berbunyi.
“Helo, Hans! Ada apa?” Pantas sahaja Mikhail menjawabnya.
Sorry Khai, aku tak dapat join kau malam ni. Aku kena cepat. Pak cik aku dah telefon suruh pergi rumah dia. Beritahu Athirah, kemungkinan besar aku hantar Fazlina balik esok. Dan bagi tahu dia jangan bimbang, aku akan hantar kawan baik dia balik dengan selamat.”
“Okey... nanti aku bagi tahu dia,” ujar Mikhail sebelum menamatkan perbualannya.
“Kenapa abang?” Athirah bertanya cemas. Bimbang juga dia jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
“Borhan dan Fazlina tak dapat join kita malam ni. Borhan perlu cepat ke rumah pak ciknya. Fazlina juga tak balik malam ni, dia bermalam di rumah pak cik Borhan,” jelas Mikhail. “Sayang jangan bimbang! Borhan tak akan buat sesuatu yang tidak elok kat kawan baik sayang tu. Abang kenal rapat dengan Borhan.” Mikhail cuba menenangkan Athirah yang sedikit gusar dengan keselamatan Fazlina.
Athirah mengangguk kepalanya. Dia akan pegang kata-kata Mikhail. Jika Borhan buat hal... tahulah dia bagaimana hendak mengajarnya.
Seorang pelayan datang mengambil pesanan mereka.
“Bagi saya nasi goreng kerabu dan jus tembikai,” ujar Mikhail pada pelayan tersebut.
“Sayang nak makan apa?” tanya Mikhail lembut.
“Saya nak nasi goreng kerabu dan air suam,” kata Athirah bersama senyuman manis.
“Sayang tak marahkan, abang suruh ubah panggilan antara kita?” tanya Mikhail setelah pelayan tersebut berlalu pergi.
“Marah tu tidaklah! Tapi rasa macam tak selesa dan malu pula jika ada orang lain yang mendengarnya. Nanti apa pula tanggapan mereka. Abang kena ingat! Hubungan kita ini tak akan kekal lama dan tak akan ke mana-mana.” Athirah mengingatkan Mikhail status hubungan mereka.
Mikhail mengeluh. Tidak fahamkah Athirah bahasa tubuhnya? Tidak nampakkah Athirah, cahaya cinta yang jelas terpancar di matanya? Mikhail tidak mahu hubungan mereka sekadar lakonan sahaja. Mikhail ingin lebih dari itu. Tetapi Mikhail tidak tahu bagaimana caranya untuk menyampaikannya. Dia bimbang akan penerimaan Athirah. Jika boleh... dia ingin Athirah jatuh cinta padanya atas kerelaan Athirah sendiri dan bukannya kerana dia mengugut atau memaksa. Nampak gayanya dia perlu bersabar dan bekerja lebih keras untuk memenangi hati Athirah.
“Abang nak ingatkan sayang. Jangan sekali-kali ubah cara panggilan kita sampai bila-bila. Sekiranya abang dengar sayang tersalah cakap, abang denda,” ugut Mikhail seperti biasa. “Apa kata, kita gabungkan nama kita berdua. Emm....” Mikhail memikirkan gabungan nama yang sesuai untuk mereka. “Ha... apa kata kita gabungkan Khai dan Ira! Sayang guna nama Khaira, sekiranya tak nak guna panggilan sayang. Panggilan sayang tu biar abang aje yang guna.”
Wah... wah...!!! Suka-suka dia saja nak ugut orang dan panggil nama yang berbagai-bagai! Khaira... tambah huruf ‘t’ dah jadi khairat, pastu tambah kematian, jadilah khairat kematian. Dia ingat aku ni apa? Makwe dia ? Tunang atau isteri dia? Gerutu Athirah tidak berpuas hati dengan cara Mikhail. Tapi dia hanya berani memberontak dalam hatinya sahaja.
“Andai tak nak juga, abang nak buat apa?” Athirah memberanikan diri menyoal.                                                                                                                                                                             
Emm... berani ke sayang membantah cakap abang?” tanya Mikhail. Dia juga sudah mempamerkan aksi menggoda sambil menjungkit sebelah keningnya. “Jikalau sayang tersilap cakap, abang cium bibir sayang yang merah merekah tu. Abang pun dah lama teringin nak rasa bagaimana nikmatnya bibir sayang tu,” ugut Mikhail kembali.
Athirah sudah menelan air liur berulang kali sambil menekup mulutnya. Dia tidak menyangka Mikhail begitu berani. Hisy... miang sungguh mamat ni! Desis hati Athirah.
“Tapi abang nak suruh sayang guna nama Adiralah. Nama ni gabungan Ad dan Ira. Ad tu nama singkatan bagi Adam. Macam mana sayang setuju tak? Abang rasa Adira lebih nampak feminine berbanding Khaira,” tambah Mikhail lagi.
Berdegup hebat jantung Athirah tatkala mendengar nama Adam. Alah... bukannya nama Mikhail saja yang guna pangkal Adam. Athirah cuba menyedapkan hatinya. Ramai lagi rakyat Malaysia yang guna pangkal Adam. Itu adik Rafidah, nama dia... Adam juga. Tak akanlah budak tak cukup umur tu suami kau? Nama lelaki yang duduk di hadapan kau ni, Adam Mikhail. Suami kau, namanya Adam sahaja. Entah-entah suami kau yang bernama Adam tu kulitnya hitam legam dan gigi pun takde. Itu yang tak berani nak tonjolkan diri. Athirah cuba mengukuhkan teorinya sambil meredakan gelora yang melanda hati.
“Ba... baiklah saya  setuju. Eh...!!! Eh...!!! Cup...!!! Cup...!!! Cup...!!! Baiklah sayang setuju. Bolehkan kalau tak nak guna nama Adira? Panggilan ‘sayang’ dah sebati dengan diri sayang.”  Athirah mempamerkan senyuman manjanya.
Mikhail sudah tersengih gatal melihat kegugupan Athirah.
“Boleh saja. Abang pun lebih suka sayang bahasakan diri sayang ‘sayang’, nampak lebih mesra dan romantik.”
Tidak lama kemudian pesanan mereka tiba.
Athirah dengan rakus meneguk air suamnya untuk menghilangkan kegugupan dan ketidakselesaan. Mata Mikhail yang tidak sudah-sudah merenungnya membuatkan Athirah malu. Mukanya juga sudah membahang.
Cantik sungguh dia ni! Begitu sempurna ciptaan ALLAH yang berada di hadapan aku kala ini, desis hati Mikhail.
“Kenyang ke... dengan asyik merenung muka sayang sahaja?” Athirah mengusik Mikhail. Sebenarnya dia tak senang duduk bila mata Mikhail tak berkelip merenungnya.
Mikhail tersenyum mendengar usikan Athirah itu.
Baru mereka hendak menikmati makanan, ada suara manja menggoda menegur Mikhail.
“Hai... Khai! Makan sorang-sorang aje ke? Tak nak pelawa I sekali?” Masyitah bertanya manja lalu melabuhkan punggungnya di sebelah Mikhail.
Dia sengaja menghimpit Mikhail untuk mempertontonkan aksi manjanya pada Athirah. Dia menjeling tajam ke arah Athirah sambil mencebikkan mulutnya. Dasar perempuan perampas! Aku akan miliki kembali apa yang sepatutnya menjadi hak aku, hati Masyitah berbisik angkuh. Sakit hatinya menyaksikan keakraban Mikhail dan Athirah sepanjang minggu orientasi.
Athirah memandang Masyitah melalui ekor matanya dengan perasaan jelek. Masya-ALLAH, daringnya pakaian perempuan ni! Si Masyitah ni, bukannya nak menikmati makan malam, tetapi hendak menghidangkan tubuh badannya sebagai santapan orang ramai. Inilah salah seorang manusia yang mencemarkan dan menjatuhkan martabat perempuan.
Pakaian Masyitah yang agak sendat dan ketat itu memperlihatkan bentuk tubuh badannya serta mendedahkan bahagian yang tidak sepatutnya dipertontonkan kepada orang ramai. Jelingan orang sekeliling membuatkan Athirah tidak selesa. Dia pula yang merasa malu. Apakah dia terlalu jahil tentang arus kemodenan atau Masyitah yang terlalu jahil dengan hukum ALLAH?
Sorry... Ita!  Malam ni, I hanya ingin bersama kekasih I sahaja. I harap you tidak terasa hati. Mungkin lain kali kita boleh keluar makan ramai-ramai,” ujar Mikhail mengambil hati Masyitah. Dia tidak mahu sahabatnya itu berkecil hati.
Mikhail tahu Athirah tidak selesa dengan kehadiran Masyitah. Apatah lagi dengan cara pemakaian Masyitah yang kurang sopan dan menjolok mata. Dia yang lelaki pun tidak sanggup memandang, inikan pula Athirah yang sering menjaga auratnya.
“Sombongnya you! Sejak ada awek baru, terus lupakan I, ya? Bukan ke selama ini, I yang selalu temani you siang dan malam?” Masyitah sengaja membuat Athirah cemburu.
“Apa yang you cuba sampaikan ni, Ita? Bila masa I ada awek sebelum ni? Pernyataan you tadi, seolah-olah I ni pemburu perempuan pulak. Seperkara lagi, kita tak pernah keluar berdua-duaan okey. Biasanya kalau you dan I keluar, kawan-kawan kita yang lain juga turut serta.” Mikhail menjadi berang dengan pernyataan Masyitah. Seolah-olah dia sering bertukar pasangan dan mengambil kesempatan terhadap perempuan. Dia tidak mahu Athirah tersalah tafsir akan dirinya.
Athirah hanya memerhati dua sahabat itu bertikam lidah. Malas dia nak ambil pusing. Terasa malu pun ada bila banyak mata yang menjeling ke arah mereka.
“Okeylah I pergi dulu. Kawan I pun dah lama tunggu,” ujar Masyitah sedikit kecewa. Dia berlalu dengan perasaan dendam yang membara. Jika aku tidak dapat memiliki Mikhail, kau juga akan mengalami nasib yang sama. Itu janji aku Athirah, bisik hati Masyitah.
“Maaf, seandainya sayang tak selesa.” Mikhail memujuk Athirah yang sedikit canggung dengan kehadiran Masyitah sebentar tadi.Si Ita ni pun satu, time aku tengah dating nilah dia datang menyibuk. Macam tak boleh tunggu masa lain, bisik hati Mikhail.
Sambil menikmati makan malam, Mikhail memerhati tingkah laku dan keperibadian Athirah. Athirah begitu sempurna di matanya. Athirah juga tidak pernah menyembunyikan tingkah lakunya yang sebenar. Daripada pengamatan Mikhail, kebanyakan perempuan yang dia kenal begitu menjaga perlakuan dan tutur kata mereka terutama jika baru pertama kali berjumpa. Tapi Athirah tidak begitu. Tengok sahajalah macam mana keadaan mereka sebelum ini. Asyik bertekak dan bergaduh. Dia suka dengan sikap Athirah yang tidak hipokrit. Itulah sebabnya dia sayangkan Athirah sepenuh hatinya.


USAI makan, Mikhail menghantar Athirah pulang. Wajah Mikhail cukup ceria. Siapa yang tidak gembira dapat menghabiskan masa dengan orang yang tersayang.
“Esok kita keluar lagi boleh?” Mikhail memancing perasaan Athirah. “Please... jangan katakan tidak dengan ajakan abang ini.” Mikhail memujuk Athirah.
Hisy... mamat ni! Dia tanya soalan, dia juga yang tolong bagi jawapan seperti biasa untuk kita. Macam mana aku nak kata tidak boleh atau tak nak, jika dia sudah berkata JANGAN KATAKAN TIDAK. Atau dengan kata lain, dia sudah menggunakan kuasa VETOnya. Eeii... pening kepala aku melayan kerenah mamat ni! Nasib baiklah kau hensem dan pandai beli jiwa aku. Jika tak... mungkin ini kali pertama dan terakhir kita keluar bersama, gumam Athirah.
Emm... baiklah! Esok abang ambil lepas Maghrib. Tapi kita tak boleh keluar lama-lama, lusa hari pertama sayang ke kelas. Sayang nak buat sedikit persediaan.” Athirah akhirnya memberi persetujuan.
“Okey! Esok lepas Maghrib abang ambil sayang! See you tomorrow night. Sweet dreams love,” bicara Mikhail penuh romantik.

Monday 27 February 2012

Cinta itu Milikku - Bab 9


MEREKA kini sudah bergelar mahasiswa dan mahasiswi. Berakhirnya minggu orientasi, bermakna berakhirlah jua azab seksa yang mereka tanggung lebih kurang seminggu itu.
Mikhail menghampiri Athirah yang sedang sibuk memasukkan dokumen ke dalam beg sandangnya.
“Sudah selesai semua urusan? Ada apa-apa yang perlu abang tolong?” Mikhail  bertanya.
Athirah sedikit terperanjat bila ada suara garau di tepi telinganya. Dia mengurut dada untuk menghilangkan debar. Pantang bagi Athirah seandainya ada orang membuatnya terkejut atau terperanjat. Tetapi tak akan dia hendak meninggikan suara dengan Mikhail pula. Tidak perlu membayar saman pun dia sudah merasa sangat-sangat bersyukur. Andai dia buat hal lagi, tidak mustahil Mikhail akan mengotakan kata-katanya. Athirah sangat-sangat fobia mendengar perkataan S.A.M.A.N!
“Awak tanya apa tadi? Maaf... saya tak dengar,” tanya Athirah sambil menutup beg sandangnya. Wajah Mikhail dipandang sepintas lalu.
“Abang tanya... semua urusan dah selesai? Ada apa-apa yang perlukan pertolongan abang?” Mikhail mengulangi pertanyaannya sebentar tadi.
“Oooo....” Bulat mulut Athirah menyebut perkataan oooonya...
“Apa yang oooo... nya?” tanya Mikhail tidak faham.
“Oooo... tu maksudnya saya faham soalan yang awak ajukan.”
So...”  Mikhail inginkan penjelasan Athirah.
“Alhamdulillah, semuanya sudah beres. Cuma nak tunggu pergi kelas sahaja hari Isnin  ni,” jelas Athirah bersama senyuman manis.
“Betul-betul pasti ke semuanya dah selesai? Manalah tahu ada yang terlepas pandang.” Mikhail mengambil berat.
“Rasanya dah tak ada apa-apa kut!” Athirah bersuara. “Err... terima kasihlah sebab banyak bantu saya selama seminggu ni,” ujar Athirah. Sekali lagi senyumannya dihadiahkan buat Mikhail.
Asyik seketika Mikhail memandang senyuman manis itu.
“Tak perlulah nak ucapkan terima kasih. Sudah jadi tanggungjawab kami selaku pelajar senior menjaga kebajikan pelajar junior,” terang Mikhail. Cehwah... ayat! Macamlah semua pelajar junior, dia ambil tahu!
“Kawan-kawan yang lain mana?” Mikhail bertanya lagi.
“Mereka masih ada lagi di sana.” Athirah menuding jarinya.
“Jom kita pergi kafe, abang belanja minum,” pelawa Mikhail. Peluang yang ada akan digunakan sebaik mungkin. Dia perlu belajar menambat hati Athirah.
Emm... boleh juga! Tekak ni pun dah haus.” Athirah menerima pelawaan Mikhail dengan senang hati. “Tapi kawan-kawan saya macam mana?” tanya Athirah. Muka Mikhail dipandang sekilas.
“Ajaklah mereka sekali,” balas Mikhail.
“Awak tunggu sini sekejap ya, saya pergi tanya mereka,” pinta Athirah dan berlalu bertemu rakannya.
“Mari kita pergi dulu. Nanti mereka menyusul,” ujar Athirah tidak lama kemudian.
Athirah mengatur langkah namun terhenti bila Mikhail menahannya.
“Tunggu dulu... abang ada benda nak selesaikan dengan Athirah terlebih dahulu.” Mikhail bersuara. “Boleh tak kita ubah cara panggilan kita sebelum pergi ke kafe? Abang mahu Athirah tukar panggilan awak kepada ‘abang’ dan saya kepada ‘sayang’, boleh?” soal Mikhail. Matanya merenung anak mata Athirah. “Abang mahu lakonan kita ini nampak betul! Abang hendak orang mempercayai yang kita ini adalah pasangan kekasih,” jelas Mikhail penuh pengharapan.
Emm... okey!” jawab Athirah. Dia tidak mahu memanjangkan perbualan mereka. Athirah tidak selesa apabila ada mata-mata yang asyik menjeling ke arah mereka. Athirah juga tidak mahu menarik perhatian ramai dengan berada di samping lelaki paling popular di kampus.


SETIBANYA di kafe, Athirah memesan sirap limau manakala Mikhail memesan teh o ais limau. Mereka berbual dan cuba mengenali antara satu sama lain. Barulah Athirah tahu, Mikhail ini kelakar dan ramah orangnya.
“Wah... wah... wah..., di sini rupanya pasangan kekasih memadu asmara!” giat Borhan sambil melabuhkan punggung di sebelah Mikhail.
Mendengar aje suara Borhan, Mikhail mengeluh. Kacau daun betullah kawan aku yang sorang ni, bisik hati Mikhail. Dia menoleh ke sisi memandang Borhan.
“Kau ni... tahu aje aku duduk kat ceruk mana?” sindir Mikhail sedikit geram. Sekiranya boleh, dia tidak mahu sebarang gangguan buat masa ini. Dia hanya mahu berdua-duaan dengan Athirah. Bagaimana dia ingin beramah mesra dengan Athirah jika sahabat baiknya itu datang mengganggu.
 “Alah, setakat nak cari kau bukannya susah sangat! Bau badan kau, satu kampus dah tahu,” jawab Borhan selamba.
Mikhail sudah mengetap bibirnya. Mahu sahaja dia mendebik kawan baiknya yang satu itu.
“Berdua aje ke? Mana kawan-kawan yang lain?” tanya Borhan. Matanya memandang sekeliling. Borhan sebenarnya mencari Fazlina. Dia ingin memikat Fazlina. Semenjak Mikhail dilamun cinta, dia juga ingin merasai kehangatan cinta itu.
Mikhail mencari sesuatu di bawah meja dan di dalam bajunya.
Oii... kau cari apa tu?” tanya Borhan. Pelik dia melihat sahabatnya itu. Seolah-olah sedang mencari sesuatu yang tercicir. Tak akan tertinggal dompet kut? Mikhail jarang lalai dengan barang peribadinya.
“Aku cari orang lainlah dekat meja ni. Manalah tahu menyorok bawah meja atau terselit dalam baju aku,” seloroh Mikhail. “Kau ni... kalau nak bertanya tu agak-agaklah. Dah nampak aku berdua saja kat sini, lagi mahu tanya!” Mikhail buat lawak bodoh. Dia sudah terkekeh-kekeh ketawa melihat muka cemberut Borhan.
“Cis... tak guna punya kawan! Aku ingatkan tadi apa bendalah yang hilang sampai begitu sekali khusyuknya mencari,” marah Borhan. Sakit hatinya bila dipermainkan Mikhail.
Athirah sudah tertawa geli hati melihat gelagat dua orang sahabat itu. Perlakuan mereka berdua tak ubah seperti dia dan Rafidah. Terasa rindu pula dengan sahabatnya itu. Rafidah kini mengikuti Sarjana Muda Pendidikan di UPSI.
Mikhail dan Borhan merenung Athirah.
Opps... sorry!” ujar Athirah. Dia terus menutup mulutnya.
“Tak apa! Abang suka tengok sayang happy macam ni. Seandainya sayang tersenyum dan ketawa sepanjang masa, terasa indah dunia ni.” Bagi Mikhail senyuman Athirah umpama terapi buat dirinya. Jika boleh dia ingin menatap senyuman itu sepanjang hidupnya.
Gila ke apa nak suruh aku senyum dua puluh empat jam? Ada nanti kena angkut ke Tanjung Rambutan, gerutu Athirah.
“Sejak bila kau bersayang-sayang ni? Aku tak tahu pun?” bisik Borhan.
Mikhail tersenyum menawan buat Athirah. 
“Yang kau sibuk ni kenapa? Suka hati akulah nak panggil dia apa! Tak akan aku nak panggil kau sayang pulak?” balas Mikhail dengan berbisik juga.
“Ehem... ehem...!!! Bisik apa tu? Tak baik tahu main bisik-bisik bila ada orang lain di samping kita. Abang mengumpat sayang ya? Jikalau macam tu, sayang balik dululah.” Athirah mula bangun dan pura-pura merajuk.
Borhan sudah tersengih bila ditegur.
Mikhail tersenyum memandang Athirah. Sejuk hatinya bila Athirah membahasakan dirinya sayang dan memanggilnya abang. Kalaulah Athirah itu gadis yang dia nikahi hampir dua tahun lalu, tentu tidak sukar baginya untuk membajai kasih sayang dan cinta yang sememangnya segar dan mekar buat gadis itu.
Kini dia tidak dapat membohongi perasaannya lagi. Dia benar-benar cinta dan sayangkan Athirah. Oleh itu, dia perlu lakukan sesuatu terhadap perkahwinannya. Dia tidak mahu menggantung isterinya lagi. Daripada dia menyeksa isterinya, lebih baik dia lepaskan sahaja.
Mikhail beralih tempat duduk. Dia duduk di sebelah Athirah dan menghalang Athirah dari pergi.
“Sayang janganlah merajuk. Mana ada abang mengumpat sayang. In  ha... Si Borhan sibuk bertanyakan tentang kawan sayang yang bernama...” Mikhail memetik-metik jarinya untuk mengingati nama sahabat Athirah itu. “Ha... Fazlina! Abang Hans awak yang tak berapa nak hensem ni tanya, Fazlina tu masih kosong lagi ke? Andai masih kosong... Abang Hans awak ni nak berkenalan.” Mikhail sudah tersenyum mengejek pada Borhan. Keningnya juga sengaja dijungkitkan.
Muka Borhan sudah merah menahan malu. Hampeh punya member, ada ke patut tanya macam tu. Tolonglah jaga air muka sahabat baik ni sikit! Tak pasal-pasal terbocor rahsia, omel Borhan dalam hatinya. Borhan menendang kaki Mikhail tanda memprotes. Borhan memberi isyarat mata yang membawa maksud, ‘Jaga kau! Lepas ni aku gulai kau cukup-cukup. Kenapa kau heboh satu Malaya aku suka kat Fazlina? Memang tak boleh harap. Sepatutnya kau tolong aku, bukannya malukan aku.’
Mikhail menggosok kakinya yang kesakitan. Dia juga memberi isyarat mata dan senyuman mengejek. ‘Eleh, aku sikit pun tak takut dengan ugutan kau! Memang betul apa kau sudah jatuh hati dekat Fazlina. Mengaku ajelah! Buat apa nak sorok-sorok? Nanti melepas, baru padan muka! Nasib baik kawan kau ni ada nak tolong. Kalau tidak... sampai ke  tualah kau menganggotai KELAB JIWA LUKA, tak pun KELAB BUJANG TERLAJAK. Seperkara lagi, siapa suruh kau gatal-gatal ganggu aku tengah dating?’
Borhan mencebik melihat best friend forevernya itu. Eksen!
Hairan Athirah melihat tingkah laku dua jejaka terhangat di kampus ini. Kedua-duanya saling merenung dengan pandangan yang sukar Athirah fahami. Seperti orang tengah bergaduh pun ada!
Tidak lama kemudian Fazlina tiba. Dia tidak tahu hendak duduk di mana. Mikhail sudah pun duduk di sebelah Athirah.
“Duduklah Fazlina... jangan malu-malu. Abang Hans kita ni, tak makan orang. Dia makan nasi aje,” ujar Mikhail sambil tersenyum meleret memandang Borhan.
Borhan tersengih mendengar kata-kata Mikhail.
Muka Fazlina sudah merona merah menahan malu. Perlahan-lahan dia melabuhkan punggung di sebelah Borhan.
“Mana yang lain-lain?”Athirah bertanya setelah tiga lagi rakannya tidak kelihatan.
“Mereka tak dapat join. Aisyah nak telefon emaknya, manakala Salmi ada urusan yang belum selesai. Aina temankan Salmi,” ujar Fazlina malu-malu. Terasa janggal pula dirinya duduk bersama orang terhangat di kampus.
“Malam ni macam mana? Jadi tak nak keluar makan dengan abang?” Mikhail berbisik di tepi telinga Athirah.
Athirah dan Mikhail memandang Borhan bila terdengar Borhan mengeluarkan suara.
“Ehem... ehem...!!!” Borhan berdehem. “Tak baik berbisik. Aku dengan Fazlina wujud lagi kat sini.” Borhan mengulang kembali ayat Athirah sebentar tadi.
“Kau ni Hans, kacau daun betullah. Aku tanya buah hati aku ni, jadi ke tidak nak keluar makan, malam ni? Bukan ke aku dah janji nak bawa dia keluar makan malam. Kau nak ikut? Kalau nak ikut, boleh kita ajak Fazlina sekali,” pelawa Mikhail. Dia sebenarnya ajak-ajak ayam aje.
“Eh... takpelah Abang Khai! Abang Khai keluarlah dengan Athirah. Saya tak nak ganggu privasi abang berdua.” Fazlina menolak. Dia malu jika Borhan turut serta.
“Beginilah! Sekiranya Faz tak nak ikut, saya pun tak jadi pergi.” Athirah bersuara.
Athirah sebenarnya tidak mahu keluar berdua-duaan dengan Mikhail. Untuk apa mereka kerap bertemu? Sedangkan hala tuju hubungan mereka tidak akan ke mana-mana. Daripada pandangan mata kasar sahabatnya dan orang lain, dia dan Mikhail kelihatan seperti pasangan ideal, ironinya hubungan mereka hanyalah palsu semata-mata.
“Mana boleh macam tu sayang!” Mikhail sudah keresahan bila Athirah menolak untuk keluar dengannya.
“Fazlina pergi ya! Kesianlah kat Abang Khai,” pujuk Mikhail. Dia sudah mempamerkan muka kasihan.
“Baiklah! Faz temankan Athirah malam ni,” ujar Fazlina. Tidak sampai hati pula dia hendak menolak bila Mikhail mula merayu. Mungkin inilah masanya untuk mereka saling kenal antara satu sama lain, desis hati Fazlina.
“Kau nak ikut tak Hans malam ni?”
“Aku on aje!” ujar Borhan dengan nada ceria. Sekurang-kurangnya malam nanti dia boleh mengenali Fazlina dengan lebih dekat lagi.
“Lina nak minum? Abang boleh belikan,” tanya Borhan membeli jiwa Fazlina.
“Tak payah tanya, belikan aje. Kalau kau tanya, tentulah dia cakap tak nak!” Mikhail berkata. “Sejak bila Faz dah bertukar jadi Lina?” Mikhail menyakat Borhan.
Borhan  tersengih.
Muka Fazlina sudah bertukar warna. Dia menunduk malu.
“Kau ingat, kau seorang sahaja ada panggilan manja untuk buah hati kau? Aku pun nak juga panggil Fazlina dengan panggilan lain. Kalau aku panggil dia Faz, dah serupa macam kawan-kawannya yang lain,” ujar Borhan sambil menjeling Fazlina di sisinya.
Athirah tersenyum memandang sahabatnya. Mungkinkah hati temannya itu bakal terisi tidak lama lagi? Bisik hati Athirah.


BORHAN bangun membeli minuman untuk Fazlina dan juga dirinya. Dia juga seperti Mikhail, baru belajar hendak mengenal apa itu cinta. Bukan tidak ada yang berkenan akan dirinya, cuma dia sahaja yang tidak berkenan dengan orang tersebut.
“Eh! Hari ni pun warna baju Abang Khai dan Athirah sama lagi? Berjanji ke malam tadi nak pakai baju sama warna?” Fazlina pura-pura bertanya. Dia cuba menukar topik dan menutup perasaan malunya. Sejak bilalah Si Borhan ni memandai tukar panggilan nama manjanya?
Muka Athirah sudah merona merah. Athirah menjeling ke arah Mikhail.
Mikhail melemparkan senyuman menawannya.
Aduh, bisa copot jantung aku bila melihat senyuman cowok gantang ini! Aikk... bila masa pulak aku bertukar jadi minah Jakarta ni? Getus Athirah.
Ditilik bajunya sekilas. Hisy... macam mana boleh tak perasan, warna baju aku dengan dia sama lagi hari ni? Patutlah orang pandang semacam aje tadi. Memang betullah dia ni ada bela hantu raya. Tak akanlah dalam seminggu ni asyik sama aje warna baju kami berdua. Kalau tak sama pun, pasti hampir-hampir sama warnanya. Mujurlah aku bukan isteri dia! Mahu terbias anak-anak aku dengan saka yang ada dalam dirinya, getus Athirah.
Apa pasal pulak kau ni Athirah? Melalut jadi isteri dan anak-anak berbagai! Dah tersangkut dengan mamat yang berada kat sebelah ni ke? Kau jangan Athirah! Tak cium bau syurga nanti menduakan suami, bisik hati Athirah.
“Mana ada? Memandai aje engkau ni!” sanggah Athirah.
Tidak lama kemudian, Borhan tiba bersama dulang berisi air.
“Ini air untuk Lina.” Borhan menghulur sirap bandung buat Fazlina.
“Kita tak nak makan ke?” Borhan bertanya teman baiknya.
“Boleh juga! Perut aku pun dah lapar ni.”
Mikhail memandang Athirah di sisinya.
“Sayang nak makan?”
Athirah mengangguk.
“Sayang nak makan apa?”
“Sayang nak makan nasi campurlah.”
“Fazlina orderlah! Tengah hari ni, Abang Hans kita belanja,” ujar Mikhail sambil tersenyum ke arah Borhan. Bila lagi dia nak merasa kawannya itu belanja? Si Borhan bukannya sengkek!
Borhan mengukir senyuman dan mengangguk. Dia tidak kisah berhabis duit, asalkan impiannya menjadi kenyataan.
“Mari Faz, kita tengok lauk apa yang sedap.”
Emm... sayang pergi dengan abang, biar Faz pergi dengan Borhan! Jom... sayang!” Mikhail menarik tangan Athirah.
Hisy... suka-suka dia aje pegang tangan orang! Agak-agaklah, kalau aku tarik tangan aku ni, kena saman tak? Tapi takde dalam perjanjian, kan? Athirah menarik tangannya perlahan-lahan. Dia ni tak bosan ke asyik menghadap muka aku? Athirah mengomel dalam hatinya.
“Maaf... tak sengaja! Tapi berlapik, kan?” usik Mikhail. “Sekiranya ada air sembahyang, masih belum batal,” sakat Mikhail lagi. Melihat muka Athirah merona merah, Mikhail tersenyum. Malu agaknya, desis hati Mikhail. Beruntung dia jika dapat memiliki Athirah. Sudahlah rupa paras cantik, akhlak pun baik.


ATHIRAH memandang jam tangannya. Hampir dua jam, dia dan Fazlina berbual dengan Mikhail dan Borhan.
“Abang... sayang balik dululah. Sekejap lagi dah nak masuk waktu Zohor.” Athirah meminta diri untuk beredar. Badannya sudah tidak selesa. Dia ingin segera pulang ke asrama dan mandi.
“Abang hantar sayang balik ya,” beritahu Mikhail. Andai diberi peluang, dia sanggup menjadi pemandu tanpa gaji untuk Athirah.
“Hans... kau nak duduk sini atau nak balik dengan aku?” Mikhail bertanya Borhan.
“Takpelah... kau balik dulu. Tadi aku datang sini naik motor,” jelas Borhan. Matanya tidak lepas memandang Fazlina.
“Lina nak tumpang abang ke?” tanya Borhan sambil melemparkan senyuman menggoda.
 Amboi... Borhan! Sejak Mikhail ada buah hati, kau pun sama nak menggatal juga ya...???
Fazlina sudah tersipu malu. Hisy... ada ke patut nak ajak aku naik motor! Ada karang kena kejar dengan parang kontot. Ayah aku tu dahlah sensitive bab-bab macam ni, omel Fazlina dalam hatinya.
“Takpelah! Lina tumpang Abang Khai sahaja,” ujar Fazlina malu-malu.  Aikk... sejak bila aku tukar nama ni? Bisik hati Fazlina.
Gelak tawa Athirah dan Mikhail membuatkan air muka Fazlina berubah. Malunya usah dikatakan lagi. Borhan hanya tersenyum memandang Fazlina.
Setibanya di kolej, Fazlina berlalu selepas memberi salam dan mengucapkan terima kasih buat Mikhail. Dia menunggu Athirah di tempat duduk yang disediakan. Yalah... tak akan nak kacau daun orang sedang hangat bercinta. Mesti mereka nak ucapkan selamat tinggal dan ucapan rindu.  
Itulah Athirah! Dulu kau cakap besar sangat, tak nak kan Si Mikhail tu. Tengok sekarang, dah susah nak berenggang. Lebih baiklah korang kahwin, habis cerita! Omel Fazlina dalam hatinya.
“Malam ni, abang ambil sayang pukul sembilan. Tunggu hingga abang call baru turun.”
Athirah angguk kepala tanda faham.
Take care sayang, miss me okay.”
Athirah hanya tersenyum manis mendengar kata-kata Mikhail. Dia tidak berupaya membalasnya. Ada sempadan yang menghalang. Lagipun hubungannya dengan Mikhail akan terlerai bila-bila masa. Jadi, apalah gunanya jika dia turut mengungkapkannya.
Usai memberi salam, Mikhail memandu pulang ke kolej kediamannya. 

Friday 24 February 2012

Cinta itu Milikku - Bab 8


SEPERTI yang dijanjikan, Athirah menghubungi Mikhail walau hati membungkam. Athirah menenangkan perasaannya sebelum menekan nombor telefon Mikhail. Sengaja dia menyuruh Mikhail top up RM100 jika ingin dia menghubungi. Tak sangka pula Mikhail sanggup menuruti kata-katanya. Buat masa ini, apa yang perlu difikirkannya adalah untuk mengelakkan diri daripada disaman oleh Mikhail. Nak tak nak, terpaksa juga dia menjayakan rancangan Mikhail yang agak kebodohan itu. Jika tidak... dia juga yang susah nanti!
“Helo...” Kedengaran suara di hujung talian.
“Assalamualaikum..., abang ke tu?” Athirah terus memberi salam dan menggunakan panggilan sepertimana yang Mikhail inginkan. Jika ingkar, kena saman pulak. Fobia sungguh Athirah dengan perkataan saman!
Bila masa pulak Si Mikhail ni ada adik? Oh... jangan-jangan adik angkat dia tak? Kata hati Borhan.
“Boleh saya tahu siapa ni?” Borhan bertanya.
Hisy... mamat ni! Dia suruh aku telefon, lepas tu... dia boleh tanya aku siapa? Ada yang nak kena cepuk ni! Ramai sangat ke perempuan yang hubungi dia setiap malam? Marah Athirah dalam hatinya. Terbit juga perasaan cemburu dalam dirinya.
“Athirah di sini!” Athirah memperkenalkan dirinya.
Bila masa pulak Mikhail menjalinkan hubungan sulit dengan Athirah? Bukan ke... kalau berjumpa mereka berperang sahaja? Pandai sungguh mereka berlakon ya? Depan orang buat-buat gaduh, belakang orang bukan main romantik lagi. Rupa-rupanya, mereka ni ada skandal! He... he... he..., baik aku uji tahap percintaan mereka! Di atas kepala Borhan sudah tumbuh dua batang tanduk yang menyeramkan!
“Athirah tengah buat apa tu? Rindu abang tak?” soal Borhan manja.
Mamat ni bengong ke? Dah tentulah aku tengah bercakap dengan dia dekat telefon. Nak buat apa lagi? Rindu? Eeii... tak kuasa aku nak merindu mamat sengal lagi mereng ni! Athirah menunjukkan aksi geli-gelemannya. Nasib baik orang di sebelah sana tak nampak. Kalau tidak... mahu dinaikkan kadar saman apabila melihat aksi Athirah sebentar tadi.
“Ala... abang ni! Buat-buat tanya pulak? Sekiranya Athirah telefon, tentulah Athirah rindukan abang. Rindu sangat-sangat. Jika boleh malam ni jugak nak jumpa abang. Nak tengok muka abang yang hensem tu.” Athirah mengalunkan nada manja dan menggoda.
Nah, ambik kau! Nak sangat menggatal dengan aku! Biar aku jadi ulat bulu sekejap. Biar meremang bulu roma kau. Alang-alang kau kata aku minah gedik, biar malam ini aku tonjolkan kegedikkan itu. Lepas ni... gerenti kau serik nak suruh aku telefon lagi, gumam Athirah.
Aduh, dah lemah longlai dah lutut aku ni dengar suara Athirah yang mendayu-dayu! Untungnya kau Khai... dapat pikat Athirah! Kalau aku yang dapat Si Athirah ni, mahu aku ajak kahwin terus. Tak tahan iman aku bila digoda dengan suara manja dan lemak berkrim macam ni, desis Borhan. Mana pulaklah Si Khai ni? Agaknya dia lupa kut nak bawa telefon bimbitnya sekali. Untung juga telefonnya tertinggal, boleh aku berborak dengan awek dia.
Borhan meneruskan penyamarannya.
“Athirah dah makan?”
“Dah lewat macam ni, tentulah dah makan. Abang dah makan?” tanya Athirah manja.
“Abang tak ada seleralah. Sekiranya Athirah tolong suapkan tentu berselera abang nak makan.” Borhan bersuara miang keladi.
Alamak, mamat ni! Dah keluar aura kegatalan dia. Ha... padan muka kau Athirah! Kononnya tadi nak test buat-buat gatal, mudah-mudahan orang di sana tarik diri. Rupa-rupanya orang di sebelah sana semakin menjadi-jadi merenyamnya. Layan... Athirah... layan! Nanti kalau dia merajuk susah pula kau.
Borhan menoleh apabila ada orang menepuk bahunya. Dia menghulurkan telefon bimbit tersebut kepada tuannya dan tersengih sambil menyusun sepuluh jari.
“Alahai... kesiannya buah hati Athirah ni! Emm... betul ke jika Athirah suapkan, abang berselera nak makan? Kalau macam tu datanglah sini, biar Athirah tolong suap. Ta... pi... dah malam sangatlah abang. Esok boleh?” Athirah memanjakan suaranya.
“Okeylah sayang, malam esok kita keluar makan. Sayang tidur dulu ya... dah lewat malam ni. Good night and sweet dream!” Tanpa menunggu balasan daripada Athirah, Mikhail terus menekan butang merah. Dia perlu menanyakan beberapa soalan pada Borhan.
Athirah sedikit pelik. Kenapa suara yang baru kedengaran sangat berbeza daripada yang tadi? Kenapa baru sekarang dia panggil aku sayang dan tidak sedari tadi? Lantak kaulah! Janji aku dah menurut perintah dan tak akan kena saman.
“Siapa izinkan kau jawab panggilan aku?” Mikhail menyoal Borhan.
“Aku manalah tahu buah hati kau yang nak telefon! Aku ingatkan tadi parents kau,” jawab Borhan sambil tersengih.
Emm... betul juga tu! Tapi selepas kau tahu bukan parents aku yang telefon, kenapa kau tak suruh dia call balik?” Tegas Mikhail.
Borhan hanya tersengih mendengar kata-kata Mikhail. Tidak terjangkau dek akalnya hendak menyuruh Athirah menghubungi Mikhail semula. Waktu itu hanya dia tahu, dia ingin mengetahui sejauh mana hubungan Mikhail dan Athirah.
“Apa yang kau bualkan dengan dia?” soal Mikhail lagi.
“Aku tanya dia sedang buat apa? Dah makan ke belum? Biasalah soalan skema. Tapikan Khai, suara dia... fulamak! Mengancam! Romantik dan menggoda... aku cakap kat engkau! Sampaikan aku terpikat dibuatnya. Nasib baiklah aku ni jenis yang kuat iman. Jika tidak... mahu meleleh air liur aku ni dibuatnya! Ini pun setitik dua hampir terkeluar,” seloroh Borhan.
“Kau jangan nak lebih-lebih dengan buah hati aku ya? Nanti aku debik karang.” Mikhail menunjukkan penumbuknya.
“Eh, Khai! Bila masa kau mengayat Si Athirah tu? Bukan ke kau orang selalu bertekak macam anjing dengan kucing bila bertemu?” soal Borhan tidak berpuas hati.  “Pandai betul korang sorok ya? Aku baru nak masuk jarum, sekali kau dah potong queue. Ini buat aku jeles ni!” Borhan pura-pura marah.
“Bila masa aku mengorat dia? Kau nampak ke aku mengayat dia, telefon atau kacau dia? Tak ada... kan?” Mikhail menafikan.
“Nampak gayanya, kawan Athirah yang bernama Fazlina tu pulak yang menjadi sasaran aku. Harap-harap tiada siapalah yang berkenan kat dia lagi. Jika tidak, melepas lagilah aku kali ini,” ujar Borhan dengan nada sedih yang sengaja dibuat-buat.
“Eh, Hans! Kau tak nak tidur lagi ke? Aku dah mengantuk ni. Esok acara kemuncak minggu orientasi, nanti terlewat pulak kita.” Mikhail melihat jam di tangannya sudah menunjukkan ke angka satu pagi. Harap-harap malam ni, datanglah si dia dalam mimpi aku. Begitu besar harapan Si Mikhail.


ATHIRAH gelisah di tempat tidurnya. Seluruh wajah dan badannya sudah dibasahi peluh dingin. Kelihatan lembaga serba hitam sedang menuju ke arahnya sambil mengacukan sepucuk pistol dan mengarahkannya menuju ke tali gantung. Ketika itu dia tengah sarat mengandung. Dia merayu-rayu minta dilepaskan. Namun lembaga itu tidak mengendahkan rayuannya. Lembaga yang hodoh itu terus mentertawakan dirinya sambil memperlihatkan rupa paras yang sangat mengerikan. Sedang dia meronta-ronta minta dibebaskan, muncul cahaya terang benderang menuju ke arahnya. Pabila cahaya itu menghampirinya, terdengar bisikan suara...
“Sabar sayang... abang akan selamatkan sayang dan lindungi sayang dengan seluruh kasih sayang dan nyawa abang.”
Athirah terus tersedar daripada mimpi ngerinya apabila terasa ada tangan yang menggoncang tubuh badannya.
“Kenapa Athirah?” tanya Fazlina cemas. Risau dia melihat keadaan Athirah yang meracau-racau dalam tidurnya.
“Aku tak apa-apa, cuma bermimpi sahaja. Dahlah kau pergi tidur.” Athirah menenangkan sahabatnya.
“Tapi keadaan kau tadi benar-benar membimbangkan aku. Kau mimpi apa?”
Athirah merenung wajah Fazlina. Kasihan pula dia melihat muka sahabatnya yang menagihkan penerangannya.
“Aku mimpi ada orang nak bunuh aku. Dahlah... kau tak payah risau, hanya mainan tidur sahaja,” pujuk Athirah. “Jomlah kita sambung tidur! Baru pukul dua setengah pagi,” ajak Athirah.
“Itulah... semangat sangat nak telefon cik abang gorila kau, sampai tidur pun tak ambil wuduk. Jangan-jangan doa pun terlupa nak baca. Macam manalah tak kena ganggu dengan syaitan,” bebel Fazlina.
“Cik Fazlina Firhad, kau tak payahlah nak buat kuliah Subuh dekat aku. Lagipun waktu Subuh belum masuk lagi. Pergi tidur... nanti terlambat bangun pula,” sindir Athirah.
Apakah maknanya mimpi ini? Adakah ini amaran daripada ALLAH kerana aku mencurangi suamiku? Siapakah lelaki itu? Adakah dia suamiku? Ya ALLAH... bantulah hamba-Mu ini. Andai dia benar-benar jodohku, Kau rapatkanlah kami. Kau pertemukanlah kami dalam lembayung kasih-Mu. Satukanlah hati kami Ya  ALLAH. Kau limpahkanlah hubungan kami ini dengan kasih sayang yang berpanjangan. Kau anugerahkanlah kami kebahagiaan yang berkekalan hingga ke syurga. Amin...
Athirah meraup kedua-dua belah tapak tangannya ke muka seusai berdoa. Abang... di manakah kau? Datanglah padaku. Tunjukkanlah wajahmu, agar bisa kukenal akan dirimu. Jangan kau bimbang, aku tidak akan berdendam denganmu. Malah akan aku pupuk cinta dan kasih sayangku ini hanya untukmu.
Teringat Athirah rentetan peristiwa yang berlaku dua tahun lalu sebelum keputusan SPM diumumkan...
Pemandangan Laut China Selatan yang hijau membiru terhampar indah di halaman matanya. Desiran ombak yang mengasyikkan, membuai-buai perasaannya untuk terus menikmati alunan irama tersebut. Bayu pagi yang berpuput lembut menampar-nampar pipi gebunya. Sungguh nyaman Athirah rasakan, hingga fikirannya menerawang entah ke benua mana. Kedengaran suara memanggil namanya mematikan terus lamunan Athirah.
“Athirah, ayah kamu panggil.” Mak Munah menyampaikan pesan.
“Ayah panggil? Ada apa Mak Munah?” tanya Athirah dalam nada kehairanan.                                                                                                                                                          
“Entahlah, tak pula ayah kamu beritahu. Cuma itu saja yang ayah kamu pesan.”
“Baiklah, Mak Munah.”
“Kamu pergi tahu, jangan tak pergi pulak. Nanti bising ayah kamu tu. Tak pasal-pasal dengan Mak Munah sekali yang terkena,” pesan Mak Munah lagi sebelum berlalu dari tempat Athirah berdiri.
“Yalah... Mak Munah,” laung Athirah apabila langkah Mak Munah semakin menjauh. Bibir Athirah tanpa sedar memasang senyuman sambil matanya menghantar pergi kelibat Mak Munah. Mak Munah adalah salah seorang pekerja ayahnya yang bertanggungjawab membersihkan ruang dalam Teratak Emelda.
Teratak Emelda adalah homestay yang ayahnya usahakan lebih sepuluh tahun lalu. Di samping itu, ayahnya juga melakukan kerja-kerja kampung dan sekali-sekala akan turun ke laut. Dusun buah-buahan yang diusahakan ayahnya juga banyak mendatangkan hasil buat mereka sekeluarga. Selain untuk dinikmati pengunjung Teratak Emelda, ayahnya juga memajak sebahagian dusun mereka.
Tanpa menunggu lama, Athirah turut berlalu dari tepian pantai. Dia mendapatkan ayahnya yang ketika itu sedang berbual dengan Abang Aris. Abang Aris adalah salah seorang  pekerja ayah yang biasanya menjadi pemandu pelancong bagi tetamu yang menginap di Teratak Emelda.
“Ayah... ayah panggil Baby?” Athirah bertanya.
Aah... macam ni! Petang nanti ada tetamu yang akan sampai. Nanti Baby layan mereka... ya.” Terus Pak Kassim memberitahu Athirah sebab musabab kenapa dia memanggil anakya itu.
“Haaa...? Baby? Kenapa Baby yang kena layan mereka? Abang Aris kan ada ni!” Athirah betul-betul terkejut dengan arahan yang baru sahaja ayahnya beritahu.
“Abang Aris kena ikut ayah hari ni. Ayah perlu ke tanah besar sebab ada pelanggan yang ingin berjumpa dengan ayah. Ayah kena cepat ni, nanti ketinggalan bot pulak.” Tanpa menghiraukan sama ada Athirah bersetuju ataupun tidak dengan arahannya itu, Pak Kassim terus mengatur langkah bersama Abang Aris.
“Aduh... macam mana aku nak handle mereka ni? Aku manalah pernah layan tetamu kat Teratak Emelda! Buatnya tersalah cakap masa bagi penerangan, bagaimana? Tak ke busuk nama teratak ni? Adoi, masalah... masalah!!!” Athirah mengomel sendirian.      
Baby... segala butiran tetamu, ayah dah letak atas meja dalam bilik ayah. Nanti kalau tetamu tu dah sampai, suruh mereka berehat dahulu sebab mereka tiada sebarang aktiviti petang ni. Dan jangan lupa bagi jadual aktiviti pada mereka. Oh, ya... lagi satu! Jangan duk mengomel sorang diri. Masa nilah nak belajar layan tetamu.” Kedengaran suara Pak Kassim melaung padanya. Rupanya mereka berdua masih belum jauh lagi.
“Yalah... ayah!” jawab Athirah malas. Langkahnya diatur menuju ke Teratak Emelda. Kerja sedang menantinya disana.


ATHIRAH menyapu daun-daun rambutan dan mangga yang berguguran di halaman Teratak Emelda. Matanya juga meliar memandang kawasan sekitarnya. Athirah pernah bertanya kenapa teratak ini diberi nama Emelda dan bukannya Athirah? Alasan emaknya mudah sahaja, nama Emelda lebih glamour.
Sedang Athirah terbongkok-bongkok menyapu, kedengaran suara orang memberi salam. Selepas menjawab salam pasangan suami isteri itu, dia menyambut kedatangan mereka dengan sopan dan ramah. Senyuman manis sentiasa menghiasi bibirnya. Athirah menjemput mereka naik dan berehat sepertimana yang diarahkan oleh ayahnya.
“Silakan naik tuan... puan! Tuan dan puan berehat dulu ya, saya nak sediakan minum petang,” ujar Athirah sopan.
“Panggil umi dan abi sahaja,” kata Dr. Zulaikha sambil tersenyum manis. Tangannya mengusap bahu Athirah dengan penuh kasih sayang.
Athirah memandang tetamu yang datang bertandang ke terataknya dengan pandangan yang pelik. Namun bagi menghormati permintaan tetamu tersebut, dia turutkan sahaja.
“Puan, eh.... eh... umi!” Tergeliat lidah Athirah hendak membahasakan diri Dr. Zulaikha dengan panggilan umi. “Umi dan abi, tengok-tengoklah dulu kelengkapan dan kemudahan yang disediakan. Andai ada yang tidak memuaskan hati, boleh bagi tahu saya,” ujar Athirah sebelum berlalu. Begitulah cara mereka memuaskan hati tetamu yang berkunjung ke Teratak Emelda.
Athirah membantu emaknya di dapur. Dia menyediakan karipap pusing, kek coklat kukus dan bubur jagung. Usai semuanya, dia menghidangkan juadah tersebut untuk tetamu yang berkunjung ke Teratak Emelda.
Dr. Zulaikha yang kebosanan terperap di dalam bilik, keluar mencari Athirah. Dia memerhati Athirah yang sedang menghidangkan juadah minum petang. Athirah kelihatannya tidak kekok melakukan kerja-kerja rumah. Tentu anaknya beruntung beristerikan Athirah nanti, fikir Dr. Zulaikha.
“Assalamualaikum..., Kak Sal, Athirah,” tegur Dr. Zulaikha.
“Waalaikumsalam...,” balas Mak Salamah seraya berpaling.
Mak  Salamah memeluk erat tubuh Dr. Zulaikha. Hampir lapan belas tahun dia tidak bertemu dengan bekas majikannya itu.
 “Ya ALLAH, Ika rupanya. Patutlah Abang Kassim ada bagi tahu tetamu istimewa dari Kuala Lumpur akan tiba petang ni. Rupa-rupanya Ika yang nak datang. Mana yang lain-lain?” Mak Salamah ramah bertanya.
“Abang Malik ada dalam bilik sedang berehat. Adam tak dapat ikut, ada kelas,” ujar Dr. Zulaikha. Anak lelakinya itu berada di tahun dua dan sedang sibuk dengan kuliahnya.
Dr. Zulaikha mengambil sepotong kek coklat kukus.
Emm... sedap! Siapa buat ni?” tanya Dr. Zulaikha. “Anak saya... Adam memang suka dengan kek coklat kukus ni. Kalau dia ada, tentu licin kek ni dia kerjakan,” tambah Dr. Zulaikha lagi.
“Kuih-muih ni Athirah yang buat semuanya. Sekiranya dia tak sibuk, dialah yang tolong. Bila lagi nak memahirkan diri? Sekarang nilah. Bila dah berumah tangga nanti senang nak uruskan makan pakai suami,” ujar Mak Salamah sambil menjeling anak daranya itu.
“Betul Kak Sal, saya bersetuju. Untung Adam dapat memperisterikan Athirah nanti.” Dr. Zulaikha sudah tersenyum manis sambil memandang Athirah.
Athirah terpegun mendengar kata-kata Dr. Zulaikha. Berkahwin dengan Adam? Siapa  Adam? Majistret? Doktor? Ahli muzik? Wah, dah macam dialog cerita P. Ramlee pulak! Melihat keakraban emaknya dan Dr. Zulaikha, Athirah tertanya-tanya siapakah Dr. Zulaikha itu. Dia tidak pernah tahu emaknya ada kenalan di Kuala Lumpur.
“Umi nak makan di ruang tamu atau di bawah pokok mangga?” Athirah bertanya di mana Dr. Zulaikha ingin menikmati minum petangnya.
“Bawah pokok mangga ya. Umi nak panggil abi dulu,” ujar Dr. Zulaikha. Dia berlalu memanggil suaminya. Dr. Zulaikha memilih di bawah pohon mangga kerana ingin menikmati suasana petang dan menghirup udara segar.
Mak Salamah sibuk di dapur menyediakan makan malam. Dia meminta Athirah melayan Dr. Zulaikha dan Tuan Malik. Athirah menunjukkan muka masam tanda tidak berpuas hati dengan permintaan emaknya itu. Jika boleh dia ingin bertemu dengan rakan baiknya Rafidah. Sudah lama rasanya mereka tidak bersua dan bertukar-tukar cerita. Terasa rindu pula.


SEMINGGU selepas keputusan SPM diumumkan. Emak dan ayahnya tergesa-gesa mengajaknya pulang ke Taiping, Perak.
Setibanya mereka di rumah opah, kelihatan beberapa orang penduduk kampung sedang sibuk memasang khemah dan menyusun kerusi. Di samping itu juga, ada yang menolong memotong ayam, memilih beras dan mengupas bawang serta melakukan kerja-kerja yang lain. Bagaikan ingin mengadakan kenduri kahwin sahaja, fikir Athirah.
Emm... mesti opah hendak buat kejutan untuknya. Maklumlah keputusan SPMnya cemerlang dan dia juga merupakan satu-satunya cucu perempuan yang opah ada, bisik hati Athirah. Dia sedikit girang.
Namun jawapan yang diterima lewat petang, amat mengecewakan dirinya. Rupa-rupanya bukan majlis kerana dia mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tetapi majlis pernikahannya. Kenapa perlu tergesa-gesa majlis ini diadakan? Umurnya masih muda, baru lapan belas tahun. Bagaimana dia ingin hidup dengan orang yang dia tidak pernah kenal? Apa yang dia tahu, bakal suaminya itu adalah anak kenalan emak dan ayahnya yang datang ke Teratak Emelda tempoh hari. Menurut emaknya, lelaki itu bernama Adam, berusia dua puluh satu tahun dan masih menuntut.
Majlis pernikahan Athirah diadakan di masjid. Walaupun sukar untuk dia menerima keputusan orang tuanya, namun sebagai anak, siapalah dia hendak mengingkarinya. Masih ada lagi rasa hormat terhadap mereka yang telah membesarkannya. Dia juga tak mahu dilabel sebagai anak derhaka dan tidak tahu mengenang budi.
Sebaik sahaja upacara akad nikah selesai, perjalanan majlis menjadi sedikit kelam-kabut dan gempar. Belum sempat upacara membatalkan air sembahyang dan menyarungkan cincin dilangsungkan, nenek suaminya tiba-tiba diserang sakit jantung dan terpaksa dikejarkan ke hospital. Dia juga tidak berkesempatan bertemu empat mata dengan suaminya. 
Cincin pernikahan mereka pun hanya diserahkan kepada wakil pihak pengantin lelaki sahaja. Melalui wakil berkenaan, keluarga Athirah dimaklumkan bahawa nenek suaminya terpaksa mendapatkan rawatan segera di IJN, Kuala Lumpur. Terdengar juga desas-desus mengatakan, punca nenek pengantin lelaki terkena serangan jantung disebabkan cucunya melarikan diri sebaik sahaja upacara akad nikah selesai.
Panggilan telefon yang diterima pada malam pernikahannya juga amat mengejutkan Athirah. Namun segala-galanyanya disimpan di dalam hati kerana tidak mahu ibu bapa dan ahli keluarganya bersedih dan kecewa.
“Helo...!” ujar lelaki itu kasar.
Athirah sudah terpinga-pinga mendengar suara yang tidak kenalinya.
“Aku nak beritahu kau, aku tak kenal kau dan aku juga tak cintakan kau. Aku tahu... kau pun tak suka dengan pernikahan ini, kan? Jadi kau dan aku bebas melakukan apa yang sahaja yang kita suka. Kau jangan cuba nak mengongkong hidup aku. Faham!” jerkah suara di sebelah sana.
Athirah sedikit terkejut dengan jerkahan si pemanggil.
“Ada juga manusia yang tak bertamadun dalam dunia ni,” omel Athirah. “Telefon orang pun main terjah aje tanpa bagi salam. Dia ingat aku heran sangat nak kahwin dengan dia? Hisy... aku pun tak ingin tahu!” omel Athirah lagi sambil merenung telefon bimbitnya yang sudah pun diputuskan talian. Nombor telefon lelaki tersebut terus dipadam daripada senarai panggilan yang diterima.
Inikah lelaki yang mereka pilih untuk menjadi pembimbing dan pelindung hidupku? Inikah lelaki yang akan memimpin tanganku hingga ke Syurga Firdaus ALLAH SWT? Lelaki angkuh lagi bongkak inikah yang telah menikahiku siang tadi? Andai inilah lelakinya, porak-peranda! Mahu karam bahtera kehidupanku nanti jadinya. Mak... tolong Baby! Athirah menangisi dirinya sepanjang malam, mengenang badai yang melanda nasib hidupnya.
Sejak terputusnya talian telefon itu, maka terputuslah juga hubungannya dengan lelaki yang telah menjadi suaminya itu. Khabar berita daripada mentuanya dan wang nafkah yang diterima setiap bulan sahaja yang menjadi jambatan hubungan mereka. Apa yang dia tahu, lelaki itu masih lagi bernafas di muka bumi ini.
Dirinya juga diziarahi mentuanya sewaktu ingin melanjutkan pelajaran ke universiti. Menyedari hubungan mereka suami isteri bagaikan kutub utara dan kutub selatan kedudukannya, mentuanya merayu agar dia bersabar. Mentuanya juga meyakinkan dia bahawa jodohnya bersama suami pasti ada, cuma masanya belum tiba. Tapi sampai bila dia harus menunggu dan berharap? Perlukah dia bersabar dan terus menanti untuk disayangi juga dicintai oleh suaminya seperti pasangan suami isteri yang lain?
Athirah seperti biasa, mengambil wuduk lalu menyerahkan dirinya yang kerdil kepada TUHAN Yang Maha Esa. Hanya DIA yang mampu mendengar doa dan rintihan hatinya.


DI KOLEJ KEDIAMAN sebelah sana, seorang jejaka turut mengalami mimpi ngeri yang seakan-akan sama. Mikhail bermimpi seorang perempuan merayu-rayu meminta pertolongannya.
“Abang tolong sayang, lembaga itu ingin membunuh sayang. Abang tolong!” rintih suara itu.
Mikhail tercari-cari lembaga yang dimaksudkan oleh perempuan itu. Kelihatan lembaga yang amat mengerikan menoleh ke arahnya. Mendengar hilai tawa lembaga itu, Mikhail sendiri merasa seram sejuk dibuatnya. Dia menghulurkan tangan dan cuba menarik perempuan itu ke dalam dakapannya. Namun belum sempat dia berbuat demikian, lembaga itu telah melepaskan beberapa das tembakan hingga perempuan itu terkulai layu. Mikhail terus menerpa dan menyambut tubuh yang tidak bernyawa itu. Dipangkunya kepala perempuan itu sambil menangis tersedu-sedan.
“Sayang jangan tinggalkan abang. Abang terlalu cinta dan sayangkan dirimu.”
Mikhail tersedar dari lenanya bila terasa ada cairan panas mengalir di pipinya. Dia duduk berteleku seketika memikirkan maksud yang tersirat di sebalik mimpinya tadi. Dia beristighfar berkali-kali dan berdoa semoga mimpinya itu adalah mainan tidur semata-mata dan bukanlah suatu petanda buruk.
Siapakah perempuan itu? Adakah itu isteri yang telah aku abai dan nafikan haknya? Berdosakah aku Ya ALLAH... membenihkan perasaan cinta ini buat insan lain, selain isteriku? Kejamkah aku Ya ALLAH... menghukum isteriku yang tidak berdosa itu? Apa yang harus aku lakukan Ya ALLAH? Persoalan  demi persoalan  menerjah  mindanya.
Bantulah hamba-Mu ini Ya ALLAH. Ya ALLAH... andai dia benar-benar jodohku yang telah Engkau tetapkan di Loh Mahfus, eratkanlah ikatan dan hubungan yang suci ini. Ya  ALLAH... aku mohon agar kami dipertemukan dan limpahkanlah perasaan kasih dan sayangku ini hanya untuknya.
 Maafkan aku wahai isteri, aku gagal menjalankan amanah dan tanggujawabku selama ini, bisik Mikhail dengan nada penuh penyesalan.
Tapi Athirah bagaimana? Layakkah isterinya menerima curahan kasih sayang dan cintanya? Sanggupkah isterinya berkongsi kasih dengan perempuan yang dia benar-benar cinta? Aku tidak akan sekali-kali melepaskan Athirah pergi dari hidupku. Perlukah aku lepaskan sahaja isteriku itu daripada aku terus menyeksa dan menghukum dirinya yang tidak berdosa? Jika itu jalan yang terbaik, maka aku harus lakukannya. Ya ALLAH... bantulah aku dalam mencari jalan penyelesaian yang membelenggu hidupku ini.
Mikhail bangun lalu berwuduk dan menunaikan solat sunat taubat dan solat istikharah seperti malam-malam sebelumnya. Dia perlu memohon petunjuk daripada ALLAH agar dapat menetapkan hatinya, sama ada melepaskan isterinya dan memilih Athirah atau melepaskan Athirah dan memilih isterinya. Dia tidak mahu menjadi lelaki yang tamak. Tapi apa yang dia rasakan sekarang ini, perasaan cinta dan sayangnya semakin menggebu untuk Athirah. Athirah akan kekal menjadi kekasihnya dan kekal di sampingnya sehingga dia benar-benar yakin dan pasti ke mana hati perlu diserahkan. Sesudah melakukan solat sunat, dia menyambung kembali lenanya.
Gemersik azan Subuh yang berkumandang mengejutkan Mikhail dari lenanya yang tidak seberapa. Dia benar-benar mengantuk, namun ditahan jua kantuknya demi menunaikan seruan Ilahi.
Mikhail menghampiri Borhan. Mengejutkan Borhan juga sudah menjadi rutin hariannya.
Oii... pak cik! Bangunlah mandi! Lepas ni nak pergi masjid pulak.”
Mikhail berlalu untuk membersihkan diri selepas mengejutkan Borhan.
“Hans... cepatlah sikit! Nanti ramai orang, kita tak dapat duduk saf depan.Terhegeh-hegeh betullah kau ni!” Mikhail berleter. “Kalau tak kejutkan, bukan main lagi merungut ini dan ini. Dikejutkan pulak, susah nak bangun,” bebel Mikhail lagi.
“Yalah... yalah...! Aku cepatlah ni! Kau ni cubalah bawa bersabar sikit. Ini tak menyempat-nyempat. Kau ada temu janji dengan awek kau ke pagi-pagi buta ni?” giat Borhan.
“Awek kepala otak kau! Aku cuma nak duduk saf depan, itu saja. Bukan ke banyak pahala sekiranya kita berada di saf hadapan? Sembahyang pun lebih khusyuk,” terang Mikhail.
Selepas kuliah Subuh, masing-masing pulang ke bilik sementara menunggu masa untuk melakukan aktiviti selanjutnya. Mikhail menyambung kembali lenanya buat seketika.
“Hans... pukul tujuh setengah nanti kau kejutkan aku ya. Aku nak tidur kejap.”
Borhan hanya menganggukkan kepalanya. Dia meneliti buku program dan menyemak segala aktiviti yang bakal berlangsung sepanjang hari ini.